HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Julai 2010

PAS-Umno: Nik Aziz kagum pendirian Anwar


Tuan Guru Nik Aziz FREE MALAYSIA TODAY

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memuji pendirian Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung konsep idea penggabungan Umno dan PAS.

Anwar semasa wawancaranya dalam akhbar Sinar Harian semalam menegaskan kerjasama antara PAS dan Umno tidak akan menjadi realiti walaupun tanpa ketiadaan Nik Aziz.

Merujuk kepada peristiwa sejarah Islam di zaman kepimpinan Nabi Muhammad SAW semasa berdepan halangan kaum Quraisy, Nik Aziz menyifatkan nilai Istiqomah (ketegasan) yang dimiliki Nabi Muhammad ada dalam diri Anwar.

"Saya ucapkan tahniah dengan sepenuh hati kepada Anwar atas nilai ketegasan beliau.

"Dari segi Islam, ketegasan itu merupakan sifat istiqomah yang selayaknya ada pada setiap pemimpin yang memperjuangkan kebenaran, keadilan dan hak yang hakiki.

"Percayalah, apa halangan dan ujian yang mendatang pastinya akan mengukuhkan lagi sifat istiqomah dalam mempertahankan kebenaran.

Pertahan lima perkara

"Kerana setiap pemimpin Islam hendaklah istiqomah di atas jalan agamanya yang mewajibkan umatnya mempertahan lima perkara wajib, iaitu akidahnya, nyawanya, keturunannya, maruahnya dan hartanya.

"Sesungguhnya, Anwar seorang yang memiliki sifat istiqomah dalam mempertahankan maruahnya demi kebenaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar dalam temu bual itu berkata, Umno beranggapan bahawa Nik Aziz menjadi halangan besar bagi kerjasama politik dan perpaduan antara Umno-PAS, idea yang dicetuskan berulang kali sejak selepas 8 Mac 2008.

“PAS tetap dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Umno berdasarkan pengalaman lalu dan tanpa bersandarkan prinsip. Pemimpin PAS juga menolak kerjasama ini,” katanya.

Anwar juga berkata, konsep perpaduan merupakan faktor penting yang membawa ketiga-tiga parti itu di bawah Pakatan Rakyat memandangkan ia adalah satu tuntutan, dan kalau betul mana-mana pihak mahukan perpaduan ia mesti dimulakan dengan “premis yang betul”.

Berikutan sifat ketegasan yang ditonjolkan Anwar dalam melihat isu ini, Nik Aziz yakin nilai kepimpinan itu mampu menjadi faktor kejayaan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Anwar memiliki sifat istiqomah itu. Kerana istiqomah bukanlah suatu nilai kedegilan, tetapi suatu kebenaran yang dituntut oleh agama.

Diharapkan berbekalkan prinsip mempertahankan kebenaran secara istiqomah sudah pasti akan menyemarakkan lagi perjuangan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Tiada ulasan: