HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Julai 2010

Anggota Paskau Sempat Beli Baju Raya Untuk Ibu, Isteri

BERNAMA

BATU PAHAT: Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Laskar Udara Kanan Hasnizam Ab Wahid, yang terbunuh selepas payung terjunnya gagal berfungsi semasa latihan, sempat membelikan baju raya untuk ibunya.

Ibunya, Nik Hasnah Nik Yeh, 47, yang ditemui di rumahnya di Jalan Peserai Kecil, Simpang Lima, di sini, berkata Hasnizam atau lebih dikenali sebagai Angah membelikan sepasang kain itu ketika sambutan hari jadinya pada 3 Mac lepas.

"Angah belikan kain ini semasa hari jadi mak cik untuk dipakai semasa hari raya ini, tetapi nampaknya dia tidak sempat untuk melihat mak cik memakainya" kata suri rumah itu.

Katanya Hasnizam,25, juga turut membelikan kain jenis dan warna yang sama untuk isterinya Noraniza Zakaria, 22, dan adik beradik perempuan lain.

Anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) TUDM itu terbunuh selepas payung terjun yang digunakannya gagal berfungsi semasa latihan di Pangkalan Udara TUDM, Gong Kedak, dekat Besut, Terengganu, Isnin.

Menurut Nik Hasnah, Hasnizam sempat menelefonnya semalam dan meminta didoakan supaya dapat melakukan terjunan dengan selamat.

"Ini kali kedua dia buat terjunan," katanya sambil menambah Hasnizam menyertai TUDM pada 2002 sebelum menyertai Paskau setahun lepas.

Menyifatkan Hasnizam sebagai seorang yang pendiam, Nik Hasnah berkata anak kedua daripada enam beradik itu mendirikan rumah tangga dengan Noraniza pada 31 Oktober lepas.

Sementara itu, bapa Hasnizam, Ab Wahid Saim, 52, reda dengan kejadian yang menimpa anaknya dan menganggap ajal maut boleh berlaku di mana-mana.

Ab Wahid, yang merupakan bekas tentera, berkata jenazah Hasnizam akan dikebumikan di sebelah pusara neneknya, Fatimah Buang, di Tanah Perkuburan Masjid Mampan, Simpang Lima, malam Isnin

Tiada ulasan: