HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Julai 2010

Benarkan Berpolitik Semula Bukti Umno-BN Tandus Sokongan Guru Melayu

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Nordin Mahmood menjangka langkah kerajaan membenarkan golongan guru berpolitik semula demi meraih semula sokongan di kalangan guru-guru Melayu adalah kurang bijak kerana ia bakal mencetuskan diskrimainasi pemilihan berpandukan jalur kepartian.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Nordin yang juga bekas Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) meramalkan guru yang memohon untuk melibatkan diri dalam parti politik kerajaan akan memperoleh keistimewaan sementara bagi mereka yang memohon untuk parti pembangkang - Pakatan Rakyat akan diketepikan.

Justeru itu sambil menyambut baik langkah tersebut, beliau melahirkan kebimbangan peluang demikian tidak mungkin adil pada peringkat pelaksanaannya.

"Saya merasakan kebenaran berpolitik membabitkan 140,000 guru siswazah tidak mendapat sambutan yang baik daripada guru-guru kerana guru-guru sekarang ini lebih berminat dengan parti politik pembangkang iaitu Pakatan Rakyat dan amat sedikit bilangannya yang menyokong parti kerajaan Umno-Barisan Nasional.

"Saya juga yakin permohonan mereka di kalangan parti pembangkang akan ditolak kerajaan dengan pelbagai alasan. Malah guru-guru yang memohon di kalangan parti pembangkang akan dipandang serong oleh pihak kerajaan," katanya.

Nordin berkata, beliau mengakui dan bersetuju kenyataan KSN yang menyatakan salah satu sebab kelonggaran ini dibuat kerana mengenangkan guru-guru ini pernah aktif dalam politik pada satu masa dahulu terutamanya bagi guru Melayu dalam Umno.

Katanya, perkara tersebut berlaku sehingga tahun 1970-an dan sebelumnya tetapi selepas itu, guru-guru Melayu sudah agak bosan dan tidak berminat untuk berpolitik kerana perjuangan mereka tidak diberikan perhatian bahkan tidak dihormati terutamanya dalam isu-isu bahasa Melayu, pendidikan Melayu, ekonomi dan agama Islam.

Menurut beliau, ketidakpuasan guru-guru ini pernah berlaku dalam tahun 1959 apabila desakan guru Melayu pada ketika itu supaya kerajaan menubuhkan sekolah menengah Melayu ditolak.

"Akibatnya guru-guru Melayu telah keluar daripada Umno secara beramai-ramai," katanya.

Mengulas lanjut, Nordin turut menjangkakan berlakunya kekosongan pemimpin dalam Umno yang boleh mendokong perjuangan Melayu sebagaimana yang dikehendaki oleh perlembagaan Umno itu sendiri.

"Usaha terdesak kerajaan ini supaya guru-guru berpolitik semula membuktikan kerajaan Umno-BN bankrap dalam perjuangannya," ujar beliau.

Selain itu, katanya guru-guru juga merasa kecewa dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mengorbankan 500,000 pelajar setahun yang diakui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

"Ini menjadikan pukulan kepada beliau walaupun menteri (Muhyiddin) telah berjanji pada 2012 untuk pemansuhannya, tetapi kesan buruk itu sukar diubati dalam masa singkat," jelas Nordin lagi.

Disebabkan antara isu berkaitan orang Melayu yang berlaku, Nordin berkata ia boleh mengakibatkan minat guru-guru Melayu sukar dipulihkan untuk menyokong Umno.

"Mereka kecewa bahasa Melayu hari ini sudah menjadi bahasa kedua bahkan menjadi bahasa ketiga dalam negara ini.

"Di samping mengembalikan PPSMI ke dalam bahasa Melayu mulai 2012 tetapi peruntukan untuk memperkasakan bahasa Inggeris telah diberi peruntukan sebanyak RM5 bilion untuk lima tahun yang akan datang," katanya.

Selain itu, jelas Nordin, kedudukan pelajar-pelajar Melayu mula dipinggirkan dan hak mereka mengikut Perlembagaan terutamanya dari segi mendapatkan biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran.

Menurut beliau, suatu ketika dahulu, biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk ke luar negara, peruntukan untuk Bumiputera adalah 90 peratus.

Namun, tidak lama kemudian pada 2009, ianya dipinda kepada 55 peratus.

Tambah beliau, baru-baru ini dalam biasiswa yang dinamakan 'Biasiswa 1Malaysia' yang dikeluarkan oleh JPA telah mensyaratkan 9A+ dalam SPM.

"Saya dapati dalam sekolah-sekolah biasa, kebanyakannya tidak ada pelajar Melayu dan Bumiputera memasuki asrama penuh, jika adapun mungkin tidak sampai 10 peratus," katanya.

Beliau juga berkata, peluang untuk melanjutkan pelajaran di dalam negara juga telah diubah dasarnya berdasarkan kepada meritokrasi.

Katanya, akibat daripada penubuhan itu, pengambilan pelajar-pelajar ke Institusi Pengajian Tinggai Awam untuk sesi 2009/2010, peratus Melayu dan Bumiputera hanya 26 peratus.

Tegas beliau, kesemua faktor ini menguatkan lagi Umno-BN bakal hancur meskipun terpaksa membuka peluang kepada pendidik berpolitik semula.

Tiada ulasan: