HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Julai 2010

Cukai RM1.3 Bilion Dibayar Felda Tidak Gambarkan Kedudukan Kewangan Sebenar

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM - Pengumuman Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Felda telah membayar cukai sebanyak RM1.3 bilion dalam tempoh 5 tahun tidak menggambarkan kedudukan sebenar kewangan yang kukuh.

Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang dihubungi Suara Keadilan berkata jikalau dalam tempoh lima tahun menunjukkan nisbah setahun tidaklah sebesar mana iaitu hanya RM300 juta setahun.

"Sebagai sebuah agensi kerajaan boleh membayar cukai pendapatan sebanyak itu tetapi apa yang beliau lupa Itu sememangnya sudah menjadi tanggungjawab agensi kerajaan yang telah dikorporatkan pada tahun 1995, tidak ada kena mengena dengan Felda bankrap.

Ini adalah bukti yang menunjukkan perolehan yang tinggi adalah tidak tepat kerana ada dibawah Felda ada 43 anak syarikat sepatutnya memberikan pulangan yang lumayan," tambah beliau lagi.

Semalam media melaporkan Ahmad mengumumkan data kewangan Felda buat pertama kali bertujuan menepis isu Felda bankrap yang masih menjadi perbualan rakyat terutamanya di kalangan peneroka Felda.

Kata Ahmad cukai yang dibayar adalah usaha Felda membantu kerajaan dan rakyat secara keseluruhannya.

Bagaimanapun Mazlan mengulas apa yang digembar-gemburkan Ahmad sebenarnya menimbulkan tanda-tanya kerana cukai pendapatan sebanyak RM1.3 bilion itu sepatutnya dalam tempoh setahun.

"Saya rasa ada yang tidak kena dengan pengurusan anak syarikat Felda kerana apabila apabila saya teliti laporan kewangan anak syarikat berkenaan. Sepatutnya, pihak Lembaga hasil Dalam Negeri yang umumkan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri dan bukannya beliau sebagai menteri membuat pengumuman tersebut," kata Mazlan mengulas kenyataan Ahmad.

Menurutnya lagi dalam tempoh tiga tahun yang lepas, laporan kewangan Felda tidak pernah dibentangkan di parlimen dan sepatutnya Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengambil tindakan menyiasat perkara ini.

Beliau berkata pihaknya sedang mengumpul data dan maklumat berhubung kedudukan kewangan Felda dan akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) dan seterusnya meminta jawatankuasa itu menyiasat dakwaan ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Datuk Dr Tan Kee Kwong pula mempersoalkan mengapa laporan kewangan Felda pada tahun 2005, 2006 dan 2007 dibentangkan tetapi tiga tahun selepas itu tidak ada lagi laporan dibentangkan.

"Kerajaan sepatutnya membentangkan laporan ini di Dewan Rakyat kerana ini merupakan aset negara.Apa yang kita bangkitkan adalah apakah kepentingan pihak Felda Korporat membina bangunan bertaraf 6 bintang sedangkan peneroka tertindas.

"Kita minta pihak Felda memberikan penjelasan mengapa tidak ada satu laporan kewangan dibentangkan sepanjang tiga tahun lepas," kata Dr Tan.

Dalam pada itu beliau dalam nada berseloroh berkata adakah disebabkan Felda tidak ada wang yang mencukupi maka mereka tidak mampu untuk mencetak laporan berkenaan.

Tiada ulasan: