Oleh Faizal Ezzany
LINGGI - Kenaikan harga barangan keperluan asas dan penarikan subsidi petrol yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini membuktikan Umno-Barisan Nasional gagal mentadbir Malaysia ini dengan baik meskipun mempunyai hasil mahsul yang melimpah.
Akibat daripada tindakan tidak bertanggungjawab tersebut rakyat yang sepatutnya mendapat pembelaan sewajarnya kini menerima tekanan hidup yang teruk dan menjadi bertambah miskin.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas menegaskan Umno-BN sepatutnya mengatasi masalah ketirisan ekonomi yang mencapai tahap sehingga 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum mengambil sebarang tindakan menaikkan harga barangan.
"Alasan kerajaan untuk menaikkan harga barangan adalah kerana ingin mengurangkan subsidi sebanyak RM750juta setahun, bagi saya kenaikan harga itu sebenarnya kerana ingin menampung segala kerugian yang berlaku dalam kerajaan yang sudah mencecah berbilion ringgit.
"Najib sebenarnya tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri dengan baik, beliau hanya tahu memberi tekanan kepada rakyat bila mengetahui kewangan kerajaan sudah mula merosot. Kita melihat sekarang soal ketirisan yang berlaku di dalam pentadbirannya melebihi apa yang beliau katakan untuk penjimatan RM750 juta setahun.
"Sebagai contoh pembinaan Istana Negara yang pada awalnya kos hanyalah sekitar RM400 juta dan sekarang telah meningkat RM800 juta, saya pasti disebabkan kenaikan harga baru ini kos akan mencecah RM1 bilion. Ini jelas ketirisan ataupun pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan untuk satu projek sahaja sudah mencecah RM400 juta.
"Jadi apa alasan Najib yang mengatakan untuk penjimatan RM750 juta daripada pengurangan subsidi tersebut, macam mana Umno-BN memerintah, ketirisan yang berlaku setiap tahun mencecah RM20 bilion dan jika soal ini dapat diatasi saya yakin bukan sahaja harga tidak dinaikkan malah kita boleh menurunkan harga barangan tertentu," jelas Kamarul semasa berucap pada cderamah di Linggi Sabtu lalu.
Tambah beliau lagi, rakyat tidak tahu mereka juga telah menyumbang subsidi kepada kerajaan dan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengurangkan subsidi tersebut agar tidak membebankan rakyat.
"Saya ingin nyatakan sebenarnya rakyat adalah penyumbang terbesar subsidi kepada kerajaan, tentu rakyat tidak sedar selama ini mereka menyumbang subsidi sejak sekian lama.
"Subsidi rakyat kepada kerajaan adalah melalui membayar cukai bila kita membeli kereta, kita lihat berapa ramai penduduk Malaysia mempunyai kereta. Subsidi rakyat kepada kerajaan setiap tahun berjumlah berbilion ringgit, itu tidak pernah kerajaan hargai dan bila mereka mendapat subsidi dari kita mereka gunakannya sesuka hati, melakukan pemborosan yang besar melalui projek-projek besar kerajaan.
"Kenapa kerajaan tidak mahu mengurangkan cukai kenderaan? Jawapannya jelas kerajaan sebenarnya ingin menipu rakyat dan mereka rasa yang rakyat tidak akan tahu penyumbang subsidi terbesar kepada kerajaan adalah melalui cukai kenderaan yang dibeli oleh rakyat," kata beliau.
Bercakap mengenai ceramah yang diadakan, Kamarul yang juga Ahli Parlimen Telok Kemang berkata ia adalah satu sejarah dalam politik di Negeri Sembilan kerana ia di adakan di dalam kebun getah berhampiran hutan.
"Ini merupakan sejarah kepada politik kita yang mana setelah dihalau dari tempat asal di padang sekolah, kita ditempatkan di dalam kebun getah yang berhampiran dengan hutan.
"Tapi saya bangga dengan kehadiran pada malam ini, walaupun Umno-BN mengunakan kuasa mereka dan pihak polis tidak memberi permit untuk perhimpunan perdana ini masih ramai yang hadir untuk mendengar amanat dari pemimpin KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun tidak ada permit dikeluarkan kita masih dapat menunaikan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat.
"Malam ini kita kuatkan semangat untuk terus menentang Umno-BN di bumi Malaysia ini, kita perlu pastikan kerajaan yang kejam ini tidak lagi memerintah Malaysia," tegas beliau penuh semangat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan