HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Julai 2010

BN tidak ada hala tuju – Yong

yong teck lee 1 Masalah pendatang tanpa izin

Oleh Staf FMT

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee menggesa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang bertelagah sesama sendiri "bersatu" untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah pendatang tanpa izin di negeri itu yang jumlahnya menjangkau ratusan ribu.

Yong yang juga pemimpin Parti Progresif Sabah (SAPP) berkata, "kelihatan seolah-olah pemimpin BN, baik di peringkat pusat maupun negeri, menjadi tidak tentu arah apabila menyentuh masalah yang sensitif ini.

"Ini membuat kerajaan BN berdolak dalih dengan beberapa langkah yang tidak menyakinkan dan mencari jalan mudah daripada memfokus tugas mereka untuk menyelesaikan masalah itu dengan cara yang komprehensif," katanya.

"Adalah menyakitkan hati apabila melihat menteri pusat dan negeri tidak mempunyai hala tuju. Setiap hari, beberapa menteri BN atau pemimpin parti menyatakan sesuatu yang berlainan yang mengelirukan orang ramai," kata Yong dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, "para pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menentang keras kepada cadangan untuk mengambil pendatang asing sebagai tenaga kerja harus ingat bahawa Presiden Joseph Pairin Kitingan terlebih dahulu memberi laluan untuk mencari "jalan penyelesaian".

"Pairin meminta isu ini dikaji oleh "lab khas" di bawah Keputusan Bidang Utama Nasional (NKRA), Program Transformasi Kerajaan," terang beliau.

"Cadangan ini disokong oleh Presiden Upko (United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation), Bernard Dompok.

Yong berkata keadaan menjadi bertambah keliru apabila pemimpin kerajaan mahu "menyelaraskan para pekerja ini secara rasmi" setelah menolak hasrat kerajaan pusat untuk menaikkan levi pekerja asing.

"Ketua Menteri (Musa Aman) menyahut seruan ini pada hari yang sama," kata Yong.

Beliau memberitahu PBS, selama 12 tahun (dari 1990 hingga 2002) menjadi parti pembangkang, menyatakan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah pendatang tanpa izin yang menjadi sebab utama parti itu menyertai semula BN tetapi setelah lapan tahun, namun masih gagal mencari jalan penyelesaian.

Para pengundi hantu

Yong juga menolak dakwaan bahawa beliau terlibat dalam membantu pendatang tanpa izin mendapatkan kerakyatan dan beliau menerima faedah daripada "pengundi-pengundi hantu" pada pilihan-pilihan raya yang lalu.

"Ucapan-ucapan saya dan laporan-laporan akhbar (dari 1989 hingga 2000) merupakan sebahagian dari bukti yang dikemukakan untuk menyokong dakwaan wujudnya para pengundi hantu. Mahkamah telah menolak dakwaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) ini, bukan saya, yang membuat keputusan tentang para pengundi haram ini.

"Saya menjadi mangsa kegagalan SPR untuk memastikan satu pilihan raya yang bersih. Saksi-saksi daripada PBS telah mengenalpasti beberapa personaliti dari Umno terlibat dalam sindiket kad pengenalan ini. Semua ini ada dalam rekod," katanya.

Beliau menggesa penolong menteri dan naib presiden PBS Herbert Timbun Lagadan, yang membuat dakwaan itu, meminta ketua-ketuanya dalam Umno menjelaskannya, jika mereka ingin tahu lebih lanjut tentang pendatang tanpa izin dan para pengundi hantu di Sabah.

Mengenai kedudukan para pengundi dari Pulau Gaya, beliau berkata, Herbert harus tahu bahawa mereka telah dipindahkan ke Tanjung Aru, kawasan PBS, sejak dua pilihan raya lalu bermula 2004.

"Adakah Herbert menyatakan bahawa PBS telah mendapat faedah dari sokongan para pengundi hantu? Kenapa penolong menteri dan menteri PBS dalam BN tidak berbuat apa-apa tentang para pengundi hantu?

"Adakah Herbert buta untuk memikirkan para pengundi hantu wujud hanya dalam senarai daftar pemilih Likas tahun 1999 dan tidak di kawasan lain, yang diwakili oleh Umno?"

Yong juga mengkritik para pemimpin PBS kerana tidak berani untuk menyoal kewujudan para pengundi hantu dalam kawasan Umno.

Kata beliau, "semua orang tahu bahawa kebanyakan mereka yang mengepalai sindiket kad pengenalan ini yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah ahli-ahli Umno."

Pengusiran secara teratur

Yong juga memberitahu bagaimana kerajaan tidak menghadapi masalah mengusir beribu-ribu pendatang tanpa izin pada tahun 1997.

"Para pemimpin BN dewasa ini seperti Yahya Hussein, Raymond Tan, Dompok, Joseph Kurup, Pandikar Amin dan yang lain-lain terlibat secara aktif dalam penggubalan dasar ini," katanya.

Operasi bersama polis dan tentera di bawah penyeliaan Majlis Keselamatan Kebangsaan berjaya mengusir beratus ribu pendatang tanpa izin dalam tempuh beberapa bulan sahaja, manakala beribu-ribu lagi secara sukarela pulang ke negara asal.

"Ini merupakan pertama kali usaha ini mendapat bantuan logistik ketenteraan untuk mengusir pendatang tanpa izin.

Memandangkan operasi dijalankan dengan menggunakan maklumat yang terkini dan kerjasama negara-negara jiran dalam BIMP- EAGA (Kawasan Pertumbuhan Timur Asean Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina), pengusiran dijalankan secara teratur dan berkesan.

"Penghargaan harus diberi kepada kerjasama rapat di antara kerajaan persekutuan dan negeri serta agensi-agensi penguatkuasa undang-undang, termasuk Majlis Keselamatan Nasional dan Kementerian Luar.

"Malangnya usaha-usaha sebegini tidak diteruskan."

Tiada ulasan: