HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Julai 2010

Khairy: Sokongan ahli politik perlu selagi ‘Napoleon Kecil berkuasa’


KUALA LUMPUR — Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sambil mengakui wujudnya “Napoleon Kecil” dalam perkhidmatan awam yang “bertindak atas motivasi tertentu”, peranan ahli-ahli politik dalam memberi surat sokongan tidak boleh diketepikan sama sekali.

“Di sini, saya ingin mengatakan bahawa suka atau tidak, di kalangan penjawat awam juga terdapat ‘Napoleon Kecil’ yang bertindak atas motivasi tertentu.

“Hakikatnya, kakitangan awam juga tidak terlepas daripada kemungkinan salah guna kuasa melalui tindakan ‘pilih kasih’ atau favouritism,” kata Khairy (gambar) dalam tulisan blognya berhubung arahan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan baru-baru ini.

Mohd Sidek mengarahkan kakitangan awam agar melaporkan sebarang kes di mana ahli politik cuba mempengaruhi pemberian kontrak kerajaan melalui surat sokongan mahupun secara lisan.

Pekeliling yang dikeluarkan oleh beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan dalam hal pemberian kontrak Kerajaan — baik kementerian, agensi mahupun jabatan — perlu berdasarkan merit dan kelayakan sesuatu permohonan, bukan sebarang hubungan politik.

Akibat dari kelemahan birokrasi ini, kata Khairy, ramai pemohon yang layak dan melalui saluran biasa ditolak. Dalam erti kata lain, sistem awam yang sedia ada telah menggagalkan mereka, lantas mereka terpaksa meminta bantuan dari wakil rakyat.

Dalam hal ini beliau juga membangkitkan persoalan mengenai peranan ahli politik yang dipilih rakyat.

“Apa guna kita mengadakan pilihan raya untuk memilih wakil rakyat sekiranya perkara seperti menulis surat sokongan pun tidak dibenarkan?

“Jika seorang wakil rakyat gagal membuktikan kebolehan membantu dan membela rakyat, maka beliau akan diundi keluar, manakala kakitangan awam pula tidak dipilih,” katanya.

Oleh itu, saran Khairy, pihak-pihak tertentu jangan terlalu cepat memandang serong peranan wakil rakyat dalam menyokong sesuatu permohonan kepada Kerajaan.

“Bukan niat saya untuk memburukkan kakitangan awam. Malah, saya yakin sebahagian besar daripada mereka mempunyai integriti dan keikhlasan yang tinggi.

“Namun, selagi wujud fenomena ‘Napoleon Kecil’ di kalangan kakitangan awam, kita tidak boleh menolak langsung peranan ahli politik yang mewakili kepentingan rakyat,” katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau mencadangkan bahawa jika penjawat awam berperanan melaporkan sebarang surat sokongan dari ahli politik, maka ahli politik juga perlu diberi ruang untuk memanjangkan sesuatu permohonan apabila dirasakan sistem birokrasi telah menggagalkan permohonan itu sungguhpun mempunyai merit untuk diterima.

“Saya melihat kaedah ini dapat membantu dalam memantau penyalahgunaan kuasa di kalangan mereka yang mempunyai hubungan politik, serta kegagalan birokrasi atau juga rasuah dalam perkhidmatan awam.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa cadangan ini dibuat bukan berasaskan dasar campurtangan politik, tetapi atas prinsip merit dan keperluan.

Tiada ulasan: