HALAMAN SANTAI

Khamis, 8 Julai 2010

3,000 PENDUDUK LALUI JALAN BAHAYA

KENINGAU KINI

KENINGAU: Lebih 3,000 penduduk di sepuluh kampung merayu supaya kerajaan menyelenggara jalan raya yang menjadi jalan perhubungan mereka sama ada ke daerah Nabawan dan Keningau.

Kampung yang terbabit adalah Kg. Pengaraan, Kg. Pohon Batu A, Kg. Pohon Batu B, Kg. Sumbiling, Kg. Binanun, Kg. Nangkawangan, Kg. Lumiri Tengah, Kg. Mamagun, Kg. Likowon dan Kg. Susungoi.

Ketua Kampung Kg. Lumiri Tengah KK Laumin Bintang berkata, berikutan kerosakan jalan raya dan beberapa jambatan yang dibina oleh syarikat pembalakan beberapa tahun yang lalu penduduk di kampung-kampung terbabit kini menghadapi masalah apabila keluar berurusan ke pekan Keningau, Sook dan Nabawan.

Katanya, penduduk terpaksa membuat jambatan laluan kenderaan kerana tiada pilihan lain apabila keluar ke pekan untuk mendapat keperluan harian.

“Namun jambatan yang dibina dengan tenaga manusia bagaikan perangkap maut kerana keadaannya tidak stabil. Tetapi apa yang hendak dibuat itulah kemampuan kami,” kata Laumin kepada New Sabah Times di sini kelmarin.

Keadaan itu kata Laumin menyulitkan lagi apabila ada orang yang sakit tenat dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan di hospital Keningau kerana kadangkala kenderaan tersadai di tengah jalan dan terpaksa bermalam dalam kenderaan.

“Inilah masalah yang dihadapi oleh penduduk sejak jalan raya dan jambatan rosak,” jelas Laumin.

Laumin berkata, selain penduduk di sepuluh kampung berkenaan mengalami masalah, warga pendidik di lima sekolah di kawasan itu seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Pengaraan, SK. Pohon Batu, SK. Binanun, SK. Nangkawangan dan SK. Mamagun turut mengalami masalah.

Katanya, guru-guru sukar membawa keperluan mereka dan peralatan sekolah juga sukar dibawa masuk kerana kenderaan pengangkutan awam enggan masuk di kawasan itu.

“Perkhidmatan Jabatan Kesihatan Bergerak yang sebelum ini mengunjungi kampung-kampung di kawasan itu mengikut jadual kini tidak lagi dapat menjalan kan perkhidmatan berikutan kerosakan jalan raya yang dibina syarikat pembalak itu,” tambah Laumin.

Menurut Laumin beberapa tahun lalu semasa aktiviti pembalakan berjalan di kawasan itu jalan raya berkenaan tidak sukar dilalui kerana ia sekali sekala dibaiki.

Namun katanya, apabila pembalakan tidak lagi beroperasi jalan raya yang menjadi laluan utama penduduk kampung semakin teruk dan kini sukar dilalu oleh kenderaan.

Dalam masa yang sama Lumin juga berharap Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) yang bercadang menerokai tanah penduduk di kawasan Lumiri beroperasi dengan segera supaya jalan raya itu dapat diselenggarakan.

Laumin yakin jika LKTNS menerokai kawasan itu sudah tentu jalan raya itu akan dibaiki.

Bagi penduduk yang terbabit katanya, tiada halangan malah sudah bersetuju supaya LKTNS menerokai kawasan itu kerana selain memberi sumber ekonomi kepada penduduk ia sekali gus membolehkan jalan raya yang ditinggalkan oleh syarikat pembalak itu diselenggarakan.

“Itulah jalan penyelasain masalah itu selain kerajaan meletakkan jalan raya pembalakan itu dibawah jagaan Jabatan Kerja Raya (JKR) kata Laumin.

Tiada ulasan: