HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Julai 2010

Anwar jadikan Abdul Khalid kambing hitam: Syed Ali

SINAR HARIAN



KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshe tidak menolak kemungkinan isu pasir yang semakin panas di Selangor sengaja dicetuskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, isu pasir dibangkitkan Anwar kerana beliau mempunyai strategi serampang dua mata, iaitu untuk mendapatkan sebanyak mungkin dana hasil jualan pasir dan menjadikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai kambing hitam.

Beliau berkata, Anwar menggunakan isu pasir itu sebagai alasan untuk menjatuhkan reputasi Khalid yang akhirnya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Menurutnya, strategi licik itu dilakukan Anwar bagi membolehkan Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali dilantik Menteri Besar.

“Khalid ditekan secara halus dan dijadikan kambing hitam oleh Anwar manakala Azmin pula sudah bersedia untuk menduduki kerusi Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata, sebelum isu pasir meletup, Anwar sudah memalukan Khalid apabila kedudukan beliau sebagai Pengerusi PKR Selangor dilucut serta-merta untuk digantikan oleh Azmin.

“Anwar sengaja membiarkan isu pasir menjadi fokus rakyat Selangor bagi membangkitkan kemarahan pengusaha pasir terhadap Khalid,” katanya.

Menurutnya, Anwar juga secara licik menggunakan isu tersebut untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kes liwat yang sedang beliau hadapi.

Tiada ulasan: