HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Julai 2010

Bekas MB Selangor sedar wujud lombong bijih timah


khir-toyo_61 Oleh Rahmah Ghazali

PETALING JAYA: Bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo sedar mengenai kewujudan lombong bijih timah di Selangor tetapi terpaksa menutup operasinya kerana aktiviti itu lebih banyak mendatangkan kemudaratan.

Beliau membidas mereka yang menuduh Barisan Nasional (BN) mempunyai agenda tersembunyi dengan mendesak operasi mengorek pasir dihentikan di kawasan tanah kerajaan negeri kerana "menemui" rizab bijih timah di bawah lombong pasir.

"Kami sedar mengenai wujudnya lombong bijih timah ketika di bawah pentadbiran saya tetapi kami tidak menumpukan kepada operasinya kerana ia mendatangkan kerosakan (atas permukaan tanah) yang dahsyat," kata beliau kepada Free Malaysia Today, semalam.

Lagi pun katanya, bijih timah hanya menyumbang sebanyak "lima hingga 10 peratus" sahaja kepada sumber pendapatan Selangor berbanding 90 peratus dari aktiviti melombong pasir.

Sumbangan kecil

"Sumbangan kecil ini tidak berbaloi berbanding kerosakan yang dialami ke atas tanah akibat aktiviti perlombongan timah," kata pemimpin pembangkang negeri itu.

"Kita terpaksa menutup kawasan bijih timah kerana kerosakan terhadap tanah dan untuk memulihkannya memerlukan perbelanjaan yang besar," kata Mohd Khir, menambah, bijih timah "tidak begitu berharga".

"Kami dapati jumlah pendapatan dari melombong bijih timah tidak dapat menampung kos kerosakan," katanya.

Terdapat juga para kontraktor yang menyalahguna lesen operasi mengorek pasir, apabila mereka "mengorek lebih dalam" untuk mendapatkan bijih timah di bawahnya.

"Kawasan panas" untuk operasi melombong bijih timah termasuk Kuala Langat, Hulu Langat, Hulu Selangor dan yang paling relevan buat masa ini ialah dalam Sungai Selangor, yang kini telah rosak teruk," katanya.

Kelmarin, Jawatankuasa Bertindak Kontraktor dan Pengusaha Melombong Pasir, yang berdaftar dengan syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) menuduh BN menghalang kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dari menemui "timbunan rizab yang luas" bijih timah di bawah lombong pasir.

Ini, menurut mereka, dilihat sebagai usaha untuk menghalang kerajaan negeri dari memberi kemakmuran kepada rakyat menerusi industri bijih timah, yang akhirnya memberi undi kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya akan datang.

BN sebelumnya mendesak kerajaan negeri menamatkan khidmat KSSB ekoran aktiviti haram mengorek pasir yang berleluasa di negeri itu.

Lombong pasir bukan sumber utama

Menurut Mohd Khir, pentadbirannya tidak pernah menjadikan operasi mengorek pasir sebagai sumber pendapatan utama, tidak seperti kerajaan negeri sekarang ini.

"Sebenarnya terdapat banyak masalah berhubung dengan aktiviti mengorek pasir terutamanya apabila para kontraktor gagal memulihkan tanah itu.

"Kami boleh mendapat hasil lebih banyak dari membuat kerja lain. Sebab itu kami menghentikan, kedua-dua aktiviti melombong pasir dan bijih timah," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Khir berkata, kerajaan BN telah meluluskan 148 lesen swasta untuk melombong pasir di atas tanah milik swasta dan langkah ini tidak akan merosakkan tanah milik kerajaan negeri.

"Pada pandangan kami, tanah-tanah milik swasta ini biasanya dijaga dengan baik. Di samping itu, kami tidak membenarkan operasi itu dijalankan selepas waktu bekerja dan hanya sebelum jam 5.00 petang untuk mengelak dari kecurian pasir," katanya.

Bagaimanapun, beliau berhujah bahawa para pelombong pasir sekarang ini tidak begitu, di mana beliau mendakwa operasi mereka adalah mencurigakan.

"Apabila kami melawat di kebanyakan kawasan, kenapa para pekerja lari daripada kami? Kenapa masih terdapat lori yang keluar masuk selepas waktu pejabat? Apa yang dapat anda fikirkan tentang hal ini?", soal beliau.

Mohd Khir juga mengambil peluang untuk mengkritik kerajaan negeri kerana meninggalkan "lubang yang besar" ke atas tanah-tanah milik kerajaan negeri ekoran dari projek-projek mega.

"Keadaan tanah kita menjadi lebih kritikal kerana kerajaan negeri memberi keutamaan kepada projek-projek mega, di mana saya enggan lakukan ketika di bawah pentadbiran saya," katanya

Tiada ulasan: