PETALING JAYA — Bekas sarjan TUDM N. Tharmendran yang mendakwa beberapa pegawai sayap itu mahu menculiknya, hari ini dihantar semula ke penjara selepas dia gagal dalam permohonannya mendapatkan perintah perlindungan mahkamah.
Bapa Tharmendran, N. Nagarajah (gambar) menarik balik ikat jamin ke atasnya selepas Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan sarjan itu agar diberikan perlindungan daripada dibawa oleh pegawai TUDM.
“Tertuduh (Tharmendran) tiada pilihan tetapi menarik balik ikat jamin kerana dia pasti bahawa TUDM akan menculik dia bila-bila masa,” kata peguam Tharmendran M. Manogaran.
Peguam menambah Tharmendran, yang didakwa bersubahat mencuri enjin milik TUDM, juga mendakwa nampak kakitangan unit risikan TUDM di mahkamah ketika permohonannya didengar hari ini.
“Seorang yang telah diseksa sebelum ini tidak mahu diseksa sekali lagi. Itu sebabnya (Tharmendran) dia memilih untuk kembali ke (penjara) Sungai Buloh,” kata seorang lagi peguam Tharmendran, N. Surendran kepada pemberita di sini.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menolak permohonan perintah perlindungan atas alasan Mahkamah Sesyen tiada kuasa untuk memenuhi perkara itu.
“Mahkamah merujuk kepada Seksyen 2 dan 4 Akta Melarikan Orang dan Mengugut Saksi Secara Jenayah 1947 dan mendapati akta ini tidak boleh digunakan untuk tertuduh. Ia khusus untuk saksi,” kata Hayatul.
Manogaran dan Surendran berhujah bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk memberi perintah perlindungan kepada Tharmendran memandangkan aspek perlindungan yang disenaraikan dalam akta itu terpakai kepada Tharmendran.
“Jika anda melihat pada Seksyen 4, kenyataan merujuk kepada ‘sesiapa sahaja menculik seseorang’. Mana-mana orang termasuk juga mereka yang tertuduh yang akan memberi keterangan di mahkamah,” kata Manogaran.
Hayatul juga berkata, laporan polis Tharmendran mendakwa pegawai-pegawai TUDM mahu menculik “hanya tuduhan semata-mata”, dan tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mendapatkan perintah perlindungan.
Dua minggu lalu Mahkamah Tinggi mengurangkan wang jaminan RM150,000 kepada RM50,000 dengan seorang penjamin bagi Tharmendran yang didakwa bersubahat mencuri enjin milik TUDM.
Tharmendran telah membuat permohonan supaya wang jaminan itu dikurangkan selepas Hakim Mahkamah Sesyen Aslam Zainuddin mengekalkan wang jaminan terhadap Tharmendran sebanyak RM150,000 pada 29 Mac lalu.
Pada 6 Jan lalu, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.
Ketika menyampaikan keputusan itu, hakim juga mengambil faktor tertuduh telah berkhidmat dengan TUDM selama 22 tahun sebagai sarjan sehingga dituduh pada Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Tharmendran yang bebas dengan diikat jamin kini dikatakan berhadapan dengan tekanan pihak tertentu yang memintanya kembali ke kem.
Pagi tadi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menggesa pentadbiran Najib digesa memberi perlindungan kepada Tharmendran bagi mengelakkan berulangnya kejadian “saksi hilang” selepas membuat akuan bersumpah.
Selain itu, kerajaan pusat juga diminta menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menghuraikan kejadian kehilangan dua enjin jet milik TUDM secara terperinci.
Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, memandangkan negara pernah berhadapan dengan kehilangan detektif persendirian P. Balasubramaniam selepas membuat dua akuan bersumpah, negara tidak mahu kejadian yang sama berulang.
“Kami tidak mahu Tharmendran juga dikambinghitamkan,” kata beliau ketika mengulas lanjut keperluan kerajaan mewujudkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kejadian dua enjin jet hilang dua tahun lalu.
“Kejadian ini berlaku ketika Datuk Seri Najib Razak masih merupakan Menteri Pertahanan. Kami menggesa agar beliau mengadakan suruhanjaya ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan