HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Julai 2010

GMMA Cadang Magna Carta Ganti AUKU


Oleh Frederick Luccas

KUALA LUMPUR - Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) telah merangka Rang Undang-Undang yang dinamakan Magna Carta yang memberi lebih ruang kebebasan kepada mahasiswa di negara ini bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang sudah usang dan ketinggalan zaman mengekang kegiatan politik golongan mahasiswa.

Dalam siri keempat ceramah berhubung AUKU yang diadakan di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) baru-baru ini, Setiausaha GMMA, Teh Yee Keong berkata dengan memperkenalkan Magna Carta yang diilham serta dibangunkan sepenuhnya oleh NGO itu tugas ahli parlimen menjadi lebih mudah dengan menjimatkan masa dan sumber kerajaan untuk menggubal akta lain.

"Kita telah membuat pelbagai cara untuk meminta kerajaan Umno-BN menerima Magna Carta ini. Pada tahun 2008, saya dan Faridzul Nasaruddin (Presiden GMMA) beserta kira-kira 100 mahasiswa telah mengadakan protes di hadapan Parlimen menentang pindaan AUKU pada masa itu.

"Walaupun kami telah berbaring di atas jalan raya menghalang ahli parlimen daripada memasuki Parlimen, malangnya kami telah diangkat oleh polis untuk membuka laluan. Bantahan dan desakan kami akhirnya berhasil apabila Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Harun bersetuju berjumpa dan menerima memorandum kami iaitu untuk Parlimen membahaskan dan menerima Magna Carta.

"Tetapi kepentingan politik telah mengaburi Idris kerana Magna Carta tidak langsung dicadangkan di dalam persidangan Parlimen," jelas beliau mengenai sejarah Magna Carta.

Tambah Yee Keong, pindaan AUKU kali ini hanyalah satu pindaan kosmetik yang jelas bertujuan mengaburi pandangan rakyat.

"Pindaan kali ini jika diteliti memberikan kuasa lebih besar kepada Menteri Pengajian Tinggi melangkaui Naib Canselor mana-mana universiti awam," tegas beliau.

Menurut Yee Keong, pindaan pada Seksyen 15(1) yang memberikan takrifan 'pelajar' kini dipinda untuk merangkumi semua jenis kursus daripada pra diploma hinggalah ke ijazah kedoktoran (PhD), dan pelajar luar kampus termasuk Pengajian Jarak Jauh (PJJ).

Pindaan pada Seksyen 15(d) pula meminda prosiding jenayah kepada prosiding tatatertib dan Naib Canselor berhak menggantung mana-mana pelajar yang mana prosiding tatatertibnya belum selesai.

"Jika diteliti dengan kes semasa, ini memberikan kuasa kepada NC untuk menggantung kesemua empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini telah mendapatkan injuksi 'inter partes' daripada menghadiri kuliah seperti mahasiswa lain," tegas Yee Keong kepada hadirin.

Faridzul dalam ucapan beliau menjelaskan secara terperinci berkenaan perjuangan GMMA dan kesan pindaan AUKU terbaru kepada kuasa Menteri Pengajian Tinggi dan Naib Canselor.

"Seksyen 4(a) memperuntukkan Menteri untuk melantik jawatankuasa yang akan melantik NC, dan Menteri mempunyai kuasa untuk melantik NC. Maksudnya mudah sahaja, menteri ini akan melantik beberapa kroni kesukaannya dan akan menyuruh mereka ini mencadangkan NC kegemarannya. Kemudian Menteri akan melantik NC kegemarannya tanpa apa-apa halangan daripada mana-mana pihak.

"Inilah contoh kepimpinan yang tidak patut berlaku terutamanya di institusi pengajian tinggi yang menjadi kebanggaan mahasiswa tempatan," tegas Faridzul.

Tambahnya lagi, pindaan Seksyen 4(b) pula memberi Menteri kuasa untuk memindahkan mana-mana kakitangan universiti ke mana-mana universiti dan jabatan yang beliau fikirkan baik.

"Maksud Seksyen 4(b) ini senang sahaja, kalau seseorang pekerja tidak suka NC tetapi rapat dengan Menteri, pekerja ini boleh meminta Menteri menukarkannya ke universiti lain dan NC tiada hak langsung untuk mempersoalkan tindakan Menteri.

"Ini memberikan kuasa kepada Menteri Pengajian Tinggi untuk menstruktur semua universiti awam di Malaysia mengikut suka beliau. Apa akan terjadi kepada status dan kedudukan univeriti? Hilang begitu sahaja," kata Faridzul lagi.

Tegasnya lagi, GMMA telahpun mencuba pelbagai cara dan akan teruskan perjuangan, tetapi jika mahasiswa dapat bersatu dengan mengenepikan ideologi politik, maka satu perubahan drastik dapat dilakukan.

"Suara kami beberapa kerat ahli GMMA tidak begitu kuat tetapi jika kami mendapat sokongan mahasiswa institut pengajian tinggi seluruh negara, kesemua suara kita mampu menundukkan Parlimen," kata Faridzul.

Tiada ulasan: