KUALA LUMPUR: Orang Melayu Pulau Pinang tidak menentang pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri tetapi mereka hanya mahukan keadilan sebagaimana kaum lain di negeri itu.
"Jika penduduk India di Kampung Buah Pala mendapat rumah teres dua tingkat berharga RM500,000 sekeluarga tetapi mengapa orang Melayu di Kampung Pokok Asam cuma diberi pampasan RM10,000 sekeluarga dan tanpa sebarang rumah serta di halau dari kampung itu.
"Konsep 1Malaysia tidak diguna pakai oleh kerajaan negeri Pulau Pinang," kata Senator Saripah Aminah Syed Mohamad di Kuala Lumpur semalam.
Ketua Wanita Umno Jelutong itu mendakwa kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng sedikit semi sedikit menghapuskan kampung milik Melayu di negeri itu.
Saripah Aminah berkata, 22 keluarga Kampung Pokok Asam yang sudah menetap di situ selama 100 tahun tidak mendapat pembelaan dari kerajaan negeri.
"Apa makna semua ini sedangkan penduduk Kampung Buah Pala yang berketurunan India diberi rumah teres dua tingkat," katanya.
Saripah Aminah juga mendakwa di bahagian pulau di Pulau Pinang hanya tinggal tanah wakaf yang masih boleh menjadi kebanggaan orang Melayu.
Katanya, ahli majlis Pakatan Rakyat juga bersekongkol dengan ketua menteri untuk menghapuskan kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang.
Hala tuju politik Pulau Pinang
Sementara itu, Senator Datuk Roslan Awang Chik berkata, dalam tempoh dua tahun sahaja landskap politik Pulau Pinang telah berubah.
"Di manakah hala tuju politik Pulau Pinang ini," katanya ketika berucap membahaskan ucapan dasar Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai rancangan Malaysia (RMK-10) di Dewan Negara semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri BN Teluk Bahang Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya pula mendesak supaya kerajaan negeri memberi pampasan kepada penduduk Melayu yang terlibat di Kampung Pokok Asam berdasarkan formula pembahagian yang sama seperti Kampung Buah Pala.
Beliau mendakwa, pampasan yang ditawarkan kepada para penduduk di Kampung Buah Pala (kini telah dirobohkan) adalah yang tertinggi yang pernah diberikan oleh kerajaan negeri.
Sejak 24 penduduk Kampung Buah Pala ditawarkan rumah teres dua tingkat bernilai RM500,000 sekeluarga, Hilmi berkata, maka barulah adil sekiranya 22 buah keluarga yang terbabit dengan projek bandar baru di Kampung Pokok Asam menerima jumlah pampasan yang sama.
"Kerajaan negeri hendaklah bertindak sebagai orang tengah untuk mendapatkan jumlah pampasan yang serupa berasaskan projek Kampung Buah Pala," kata beliau yang juga setiausaha Barisan Nasional Pulau Pinang.
Minggu lalu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Dr Mujahid Yusuf Rawa mengingatkan Umno supaya tidak menggunakan para penduduk sebagai "umpan" untuk kepentingan parti.
"Pemaju memiliki keseluruhan tapak projek itu. Kita hanya boleh mengharapkan belas ehsan syarikat itu untuk menerima cadangan kita untuk mengekalkan kampung itu sebagai warisan Melayu dan berusaha ke arah pembangunan penempatan semula para penduduk
kampung itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan