HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Julai 2010

Kerajaan perlu dasar kawal pembangunan hartanah


Yusmadi Yusoff Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Kerajaan pusat dan negeri perlu mengadakan satu dasar yang boleh mengawal pembangunan hartanah bagi memastikan pembangunan mengikut keperluan rakyat setempat.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmaidi Yusof berkata, ketiadaan dasar tersebut menyebabkan pembangunan di satu-satu tempat ditentukan oleh pasaran.

"Dasar ini akan membolehkan kerajaan mempertahankan hak rakyat terutama di kawasan perkampungan tradisi.

"Kerana tidak ada kawalan, pembangunan ditentukan oleh permintaan dan penawaran, maka banyak penduduk menjadi mangsa kepada pembangunan itu.

"Di Balik Pulau, Pulau Pinang projek perumahan kebanyakannya bernilai RM400,000 dan ke atas, jadi penduduk tradisional tidak mampu. Sepatutnya di kawasan itu projek kos rendah tetapi kerana pasaran, dibuat projek mewah.

"Akibatnya mereka terpaksa berpindah. Jika kerajaan mempunyai dasar mengawal pembangunan yang tidak seimbang ini boleh dikawal," katanya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

Yusmaidi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelbagai desakan dan rasa tidak puas hati penduduk Pulau Pinang terutama dari kawasan perkampungan Melayu kerana kerajaan negeri merobohkan rumah mereka untuk memberi laluan kepada pemaju membangunkan kawasan itu.

Ia berlaku di beberapa tempat termasuk di Kampung Asam, Jelutong di mana 200 penduduknya dilapur diusir oleh pemaju.

Pemimpin Umno Pulau Pinang mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP membenarkan pemaju merobohkan perkampungan Melayu di negeri tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Lim Guan Eng menafikan kerajaan negeri campur tangan dalam isu tersebut.

Tiada ulasan: