HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Julai 2010

Kesilapan pindaan akta pengguna bukan remeh

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) melahirkan rasa bimbang terhadap implikasi besar yang mungkin berlaku akibat daripada kesilapan kecil berkenaan rang undang-undang untuk meminda Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, dewan tidak seharusnya menganggap kesilapan itu sebagai perkara remeh kerana ianya melibatkan pembuat undang-undang negara ini.

"Tanpa membuat pembetulan, saya kira suatu yang memalukan pembuat undang-undang dan saya bimbang ada pihak tertentu yang akan mencabar undang-undang yang dibuat itu dengan mengatakan ia tidak dibuat pembetulan di dalam dewan.

"Ini sudah tentu akan memberi implikasi yang lebih buruk kepada kepentingan perlindungan pengguna khususnya dan apabila undang-undang ini tidak dapat dilaksanakan maka perlindungan pengguna akan terjejas," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Semalam, wakil Indera mahkota, Azan Ismail dari PKR bangun di bawah peraturan mesyuarat 59 untuk meminta dewan membuat pembetulan ke atas kod Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Akta itu yang sepatutnya kodnya ialah 599 dicatat sebagai 399 dan ia boleh dianggap sebagai merujuk kepada kandungan yang tidak ada kena mengena langsung dengan akta tersebut.

Namun, peraturan mesyuarat itu tidak diterima speaker yang mengganggap kesilapan kod itu sebagai kesilapan kecil dan tidak menjejaskan akta yang dibahaskan.

Mahfuz turut berharap, Dewan Negara menolak rang undang-undang itu dan diturunkan balik untuk dibahaskan di Dewan Rakyat pada sesi pembentangan bajet yang akan datang.

"Saya harap Dewan Negara menolak rang undang-undang ini dan diturunkan balik ke Dewan Rakyat untuk dibincangkan pada sesi pembentangan bajet akan datang," katanya.

Sementara itu, Azan berkata, beliau telah merujuk kepada sekumpulan panel yang meneliti perkara ini dan mereka berpandangan ianya boleh menjejaskan kredibiliti pindaan sesuatu akta.

"Pagi ini kita merujuk kepada satu kumpulan panel yang meneliti perkara ini dan mereka berpendapat ini satu perkara yang signifikan kerana ia merujuk kepada kredibiliti pindaan sesuatu akta.

"Kita bimbang akan datang ada pihak akan mencabar kandungan kesahihan undang-undang ini dan ini akan memberi kesan dalam bidang perundangan kerana kesilapan dalam kod akta," katanya.

Tiada ulasan: