KUALA LUMPUR — Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) menggesa Felda, agensi pembangunan tanah persekutuan yang berusia enam dekad, agar memastikan simpanan tunainya tidak kurang RM1 bilion setiap masa.
“Bagi mengelakkan kekeliruan mengenai kedudukan kewangan Felda pada masa akan datang, GWGF mencadangkan pada bila-bila masa kedudukan tunai Felda mestilah tidak kurang dari RM1 bilion,” kata Pengerusi GWGF Tan Sri Rozali Ismail dipetik Bernama semalam.
Selain itu, GWGF turut mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pelaburan ditubuhkan di mana sebarang pelaburan Felda yang besar dan melibatkan perbelanjaan tinggi perlu diluluskan oleh jawatankuasa terbabit.
Pandangan ini diberikan ketika timbulnya polemik Felda berhadapan dengan situasi muflis.
Akhbar Suara Keadilan baru-baru ini menyiarkan laporan agensi ini sudah muflis. Pengurusan Felda mengemukakan surat tuntutan permohonan maaf Suara Keadilan dan saman RM200 juta.
GWGF adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada Ogos 2002 dan dianggotai kira-kira 400 orang generasi baru peneroka Felda dari 317 Rancangan Tanah Felda di seluruh negara.
GWGF juga bertindak sebagai penasihat kepada enam persatuan peneroka Felda lain.
Pada 16 Jun lalu, kerajaan pusat secara terbuka mengakui simpanan tunai Felda telah merosot sehingga RM1.35 bilion tahun lalu berbanding paras RM4.08 bilion dimiliki pada 2004.
Bagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mendakwa penurunan simpanan tunai bukan kerana salah urus Felda.
“Kami tidak pernah salah gunakan dana (Felda),” kata Ahmad di Dewan Rakyat.
Ahmad menambah, meskipun simpanan tunai merosot tetapi aset Felda mengalami peningkatan.
“Simpanan tunai menurun RM2.37 bilion manakala aset meningkat RM6.2 bilion,” kata beliau.
Rozali turut berkata GWGF melalui anggotanya yang terdiri daripada peguam bela dan peguam cara akan meneliti tindakan undang-undang sewajarnya kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengelirukan fakta dengan tujuan memecahbelahkan masyarakat peneroka Felda.
“Kita akan lihat tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang cuba memainkan isu ini,” katanya.
Beliau meminta warga Felda tidak terpengaruh dengan dakwaan dan tuduhan tidak berasas yang dibuat oleh mereka yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi.
Sementara itu, satu memorandum bantahan terhadap akhbar Suara Keadilan dihantar ke ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Damansara semalam oleh anggota GWGF yang diketuai oleh Setiausaha Agung GWGF Datuk Abdullah Abu Bakar.
Memorandum itu membantah laporan Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lepas yang memaparkan laporan muka depan “Felda Bankrap”.
Kata beliau, Felda tidak bankrap sebaliknya kedudukan kewangannya adalah kukuh dan stabil.
“Felda mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh yang disokong oleh aset-aset syarikat yang sentiasa meningkat dan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata GWGF telah mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai kanan Felda sejak seminggu lepas dan mendapat penjelasan daripada pihak pengurusan tertinggi Felda mengenai kedudukan kewangan dan prestasi lembaga itu.
Rozali berkata walaupun berlaku penurunan kedudukan tunai syarikat dengan pembelian aset-aset yang kukuh dan mempunyai nilai pulangan yang tinggi, ini tidak membimbangkan dan tidak menunjukkan susut nilai pegangan ekuiti Koperasi Permodalan Felda Bhd yang dianggotai oleh peneroka Felda Holdings.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan