LUBOK ANTU: Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Dato Sri James Jemut Masing percaya Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah negeri itu dalam pilihan raya akan datang yang dijangka tahun depan.
Beliau berkata, walaupun pembangkang berjaya merampas beberapa kerusi di kawasan bandar, namun mereka tidak berpeluang berbuat demikian di kawasan luar bandar.
Tambahnya, majoriti pengundi luar bandar tidak mahu pembangkang mewakili mereka ekoran akan wujud pelbagai halangan bagi pembangunan di kawasan mereka kelak.
"BN akan terus kukuh di luar bandar, walaupun ada perubahan undi di kawasan bandar dan ia tidak menjejaskan BN di Sarawak. Kita (pengudi luar bandar) beritahu kepada pengundi bandar supaya tidak meninggalkan BN. Jika tidak merekalah yang akan ketinggalan dalam pembangunan di masa depan," katanya.
Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, pembangkang bertindak dengan hanya mengutuk dan menekankan kelemahan kerajaan dalam membangunkan kawasan luar bandar bagi memancing undi.
Sebaliknya, beliau menegaskan pembangkang tidak berbuat apa-apa bagi pembangunan orang ramai.
"Jangan jadikan ia satu halangan untuk pembangunan dalam meningkatkan hidup Dayak di kawasan luar bandar. Pengaruh negatif mereka membuatkan sesetengah pengundi luar bandar menolak kerajaan BN. Ini menyebabkan rakyat terlepas peluang merasai pembangunan yang sepatutnya.
"Maka…buat pembangkang, jangan bazirkan masa anda.
"Jangan halang pembangunan yang dirancang kerajaan untuk penduduk luar bandar. Penduduk luar bandar mahu pembangunan," tegas beliau.
Malah menurut Masing penduduk luar bandar perlu sedar bahawa kerajaan mempunyai pelbagai rancangan pembangunan untuk mereka.
Menurunya, penduduk perlu mengubah fikiran yang masih di takuk lama dan menjana pemikiran baru bagi menerima perubahan baru yang dibawa kerajaan.
"Ia demi pembangunan dan untuk meningkatkan mata pencarian penduduk luar bandar. Dulu mereka bekerja keras secara fizikal untuk meningkatkan kehidupan mereka seperti bertani, menebang balak dan lain-lain.
"Sekarang semua berkait dengan pengetahuan dan pembelajaran. Pembangunan fizikal ini mesti selari dengan perubahan mentaliti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan