SUARA KEADILAN
SHAH ALAM- Polis DiRaja Malaysia di dakwa menjadikan alasan orang awam 'disyaki' sebagai 'perompak' dan 'menyerang' anggota polis sebagai asas untuk menembak dengan sewenang-wenangnya menyebabkan kematian yang tragis dan mengundang kecaman hebat dan kemarahan rakyat negara ini.
Pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) cawangan Johor Bahru telah menerima dua aduan tentang kes tembakan orang awam oleh anggota polis.
Butiran kejadian tersebut dimuatkan dalam petisyen yang diserahkan oleh sekumpulan 26 pertubuhan politik dan masyarakat negeri Johor kepada Perdana Menteri hari ini di parlimen.
Kes pertama melibatkan tiga pemuda India yang dalam lingkungan umur 30 tahun, Agustin Mahamenathan, M. Jagathesan dan Siva yang telah ditembak polis di Taman Johor pada 20 Oktober 2008 kira-kira pada pukul 3.00 pagi.
Akibatnya Agustin dan Jagathesan terbunuh di tempat kejadian manakala Siva berjaya melarikan diri.
Mengikut sijil kematian yang ditunjukkan oleh keluarga Agustin, mangsa mati kerana kecederaan disebabkan tembakan di dada dan abdomen.
Pihak polis mendakwa terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri kerana mangsa cuba menetak anggota polis dengan pisau pemotong daging dan parang semasa ditahan oleh polis kerana disyaki terbabit dalam kes samun.
Menurut abang mangsa, Justin Mahamenathan, ketiga-tiga mangsa bertemu disebuah kedai perjudian haram yang terletak di Taman Johor.
Menurut keteranganya lebih kurang pukul 1.00 pagi, empat anggota polis berpakaian biasa telah masuk ke kedai tersebut dan menggari ketiga-tiga mangsa selepas mereka menunjukkan kad kuasa polis.
Agustin diheret keluar oleh polis ketika Siva dan Jaganathan masih berada dalam kedai.
Sejurus kemudian beberapa das tembakan kedengaran dari luar kedai.
Siva dan Jaganathan juga turut diheret keluar dari kedai selepas itu.
Anggota polis kemudiannya membuka gari dan mengarahkan mereka melarikan diri.
Empat anggota polis terbabit pula melepaskan tembakan dari belakang yang mengena Jagathesan manakala Siva berjaya menyelamatkan diri.
Menurut Siva, anggota polis terbabit terus melepaskan tembakan ke arah Jagathesan yang telah tersungkur.
Kes kedua pula membabitkan seorang remaja Melayu berusia 18 tahun, Mohd Afham Arin yang ditembak polis pada 20 Oktober 2009 ketika menunggang motosikal bersama rakan sebayanya, Mohd Firdaus Marsawai.
Mereka dikatakan telah dikejar dan ditembak mati oleh tiga anggota polis yang berpakaian preman semasa dalam perjalanan dari Taman Johor Jaya ke Pasir Gudang.
Mohd Afham mati kerana kecederaan akibat tembakan pistol di arteri jantung.
Pihak polis mendakwa dalam sidang media keesokan harinya bahawa tiga polis peronda bermotosikal cuba menahan motosikal yang dinaiki oleh Mohd Afham dan Mohd Firdaus kerana disyaki terlibat dalam kes ragut yang berlaku di Taman Johor Jaya.
Pihak polis melepaskan tembakan atas alasan mempertahankan diri kerana pembonceng motosikal, Mohd Fridaus melibas pedang terhadap anggota polis.
Mohd Afham mati ditembak manakala Mohd Firdaus berjaya melarikan diri.
Dalam satu akuan sumpah Mohd Fridaus pada 7 Januari 2010 beliau menyatakan mereka berdua tidak pernah menyerang polis dengan pedang dan mereka juga bukan “peragut” yang dilabel oleh pihak polis.
Malah menurut Mohd Firdaus, pada 19 Oktober 2009, selepas makan malam di Taman Scientex dengan kawan, beliau dan Mohd Afham telah menunggang sebuah motosikal menuju ke rumah kakak mangsa di Taman Daya.
Setiba di lampu isyarat depan Taman Johor Jaya, mereka didatangi tiga buah motosikal yang ditunggang oleh tiga lelaki yang tidak dikenali.
Tiga lelaki tersebut cuba menahan motosikal mereka namun mereka tidak berhenti kerana beranggapan tiga lelaki itu adalah perompak.
Salah seorang daripada tiga lelaki tersebut berteriak ”Polis!Polis!Polis” kepada mereka.
Oleh kerana ketiga lelaki tersebut tidak beruniform dan tidak menunjukkan kad kuasa polis, mereka takut untuk berhenti.
Mohd Firdaus berkata mereka terus memecut ke arah Pasir Gudang dan selepas lebih kurang setengah jam kejar-mengejar, beliau mendengar satu das tembakan dari belakang dan terus mengangkat tangan sebagai tanda serah diri.
Beliau kemudian terdengar das tembakan kedua dan melihat mangsa jatuh dari motosikal.
Sekali lagi tembakan kedengaran serta sepucuk pistol diacukan ke arah Mohd Firdaus.
Mohd Firdaus sekali lagi mengangkat tangan sebagai tanda serah diri.
Dalam keadaan bingung dan takut, beliau telah berundur dan jatuh ke cerun semak di belakangnya.
Mohd Firdaus mengambil kesempatan ini untuk melarikan diri dan kemudian membuat panggilan di sebuah pondok telefon dan meminta kawannya datang untuk menjemputnya.
Mohd Firdaus tidak mendapat sebarang berita dari Mohd Afham dan pergi kerja seperti biasa keesokan hari sehinggalah diberitahu oleh ahli keluarga mangsa pada 12 tengahari bahawa Mohd Afham telah ditembak mati oleh polis.
Petisyen itu berkata kedua-dua kes di Johor serta kes tembak mati membabitkan remaja 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang berlaku di Shah Alam, Selangor menunjukkan mangsa kesemuanya “disyaki” polis sebagai “perompak”.
"Pihak polis turut mendakwa mangsa ditembak mati kerana cuba menyerang anggota polis dengan pisau dan pedang.
"Kedua, tembakan yang dilepaskan oleh pihak polis adalah bertujuan membawa maut kerana tembakan semuanya disasarkan ke dada, abdomen dan jantung.
"Ketiga, alasan pihak polis melepaskan tembakan demi mempertahankan diri sukar dipercayai oleh orang ramai.
"Tindakan pihak polis melepaskan tembakan sewenang-wenang atas nama “mempertahankan diri” dan sikap yang tidak mengendahkan nyawa rakyat telah membawa kesan negatif yang serius. Rakyat pelbagai kaum kini hidup dalam ketakutan kerana risau akan jadi magsa seterusnya," tegas petisyen itu.
Mengikut tinjauan soal selidik bebas yang dibuat oleh Merdeka Centre, seramai 58 peratus rakyat tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh pihak polis dalam mengendalikan kes Aminulrasyid.
Ini termasuk 70 peratus kaum Cina yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis manakala 50 peratus bagi kaum Melayu dan 32 peratus bagi kaum India.
"Musa bukan sahaja tidak meminta maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat jelata di atas tidakan pihak polis tidak melindungi nyawa dan harta rakyat dengan baik malah mengeluarkan kenyataan sombong dan angkuh bahawa “beliau sedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat”.
"Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kenyataan Ketua Polis Negara yang angguh dan sombong itu.
"Jika keadaan tidak mengendahkan nyawa rakyat oleh pihak polis, sikap keangkuhan Ketua Polis Negara dan perangai membutakan mata Menteri Dalam Negeri terus berlaku, rakyat pasti akan berpendapat dakwaan kerajaan Umno-BN bahawa “tugas polis adalah melindungi nyawa dan harta rakyat” hanya merupakan satu penipuan," tegas petisyen itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan