HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Julai 2010

SIARAN MURUT JAM 3.00 PAGI UNTUK SIAPA?


Oleh: MAIL MATHEW

BEBERAPA pemimpin akar umbi masyarakat Murut menyambut baik kesediaan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum untuk memastikan siaran radio bahasa Murut dikaji bagi memenuhi kehendak pendengar agar bersesuaian dengan masa supaya maklumat dapat disampaikan dengan tepat.

Ramai yang berpendapat bahawa alasan Adun Melalap Datuk Radin Malleh ketika menyarankan siaran itu perlu dikaji apabila ia berkumandang ke udara jam tiga pagi ketika masyarakat Murut pedalaman sedang nyenyak tidur amat bertepatan sekali.

Seorang Pegawai Kerajaan dari kesukuan Murut, Stanis Buandi, 38, (kiri) ketika dihubungi turut sependapat dengan alasan Datuk Radin itu kerana dalam keadaan apa sekali pun masyarakat Murut tidak berminat mendengar siaran radio ketika masa yang menyeronokkan mereka tidur kecuali mengikuti siaran langsung televisyen yang menarik seperti piala dunia sekarang.

“Saya tidak terfikir ia suatu perkara yang logik untuk dilakukan jika matlamat itu membantu masyarakat Murut mendapatkan maklumat. Jika tidak, adalah lebih baik siaran itu ditiadakan sama sekali,” tegas Stanis.

Manakala Affendy Abdullah Angindih, 54, (tengah) berasal dari Nabawan turut mengalu- alukan langkah kerajaan untuk mengkaji slot siaran tersebut suapaya ia lebih memanfaatkan kepada para pendengar khususnya masyarakat Murut di pedalaman.

“Sebenarnya kami sudah lama menyedari masalah tersebut tetapi tidak berpeluang menyuarakannya kepada kerajaan khususnya kementerian terbabit untuk memperbetulkan keadaan itu. Bagaimanapun kami bersyukur akhirnya ia disuarakan oleh pemimpin Murut yang prihatin,” jelas Angindih.

“Saya tidak faham kenapa ia berlaku seperti itu tanpa mengkaji secara mendalam pro dan kontra siaran tersebut sebelum ia dilaksanakan sehingga memakan masa yang begitu lama untuk disedari dan kemudian ia diperbetulkan,” tambahnya lagi.

Bagi Walter Mailap, 42, (kanan) meminta kementerian terbabit agar menutup sahaja masa siaran yang berlangsung jam tiga pagi yang dipertikaikan itu dan dicantumkan masa tersebut kepada siaran pagi supaya lebih banyak program yang berfaedah dapat dilaksanakan.

“Kalaulah siaran jam tiga itu programnya bercirikan pendidikan atau motivasi diri seseorang, siapa pula yang dapat mengikutinya? Alangkah ruginya slot siaran itu disia-siakan begitu sahaja. Lebih baik ia dipindahkan sahaja kepada siaran awal,” tegas Mailap.

Isu slot siaran bahasa Murut ditimbulkan oleh Adun Melalap yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah ketika berucap mengalu-alukan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum ketika Salang melancarkan Karnival Keusahawanan Pusat Internet Desa (PID) dekat sini pada Ahad lalu.


Tiada ulasan: