HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Julai 2010

Syabas anjur kempen pendaftaran untuk pengguna dapat air bersih secara sah

BEERNAMA

KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) meminta orang ramai di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengambil peluang mendaftar dengannya sepanjang Kempen Bekalan Air Bersih Untuk Semua (Bagus!) bagi mendapatkan bekalan air bersih secara sah.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Abdul Halem Mat Som berkata, sepanjang kempen 14 hari sejak Isnin lepas, Syabas memberi peluang kepada mereka untuk berbuat demikian di 10 pejabat wilayah Syabas di ketiga-tiga kawasan itu.

“Kempen ini merupakan yang kedua dijalankan selepas kempen pertama lima tahun lepas (2005). Ia kempen terakhir dijalankan dalam usaha Syabas untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan serta memastikan pengguna mendapat bekalan air bersih yang mencukupi,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Abdul Halem berkata kempen itu merupakan antara aktiviti Syabas yang dilaksanakan sejajar dengan aspirasi syarikat menyasarkan 100 peratus bekalan air bersih di kawasan bandar dan 99.9 peratus di luar bandar.

Sehubungan itu, katanya Syabas berharap sokongan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk bersama-sama mengenal pasti kawasan-kawasan atau rumah-rumah yang belum mendapat bekalan air supaya membuat permohonan secara sah dan program pendaftaran serta pemulihan itu dapat mencapai sasarannya.

Abdul Halem berkata sepanjang kempen itu, Syabas juga akan mengurangkan denda terhadap mereka yang membuat penyambungan haram dan mendaftar dengannya.

Kesalahan melakukan penyambungan semula mengikut Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA) 2006 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan mengikut Seksyen 123 AIPA 2006 iaitu membuat penyambungan secara terus pula memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: