HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Julai 2010

Tiada akta khusus lindungi pengguna

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Pengguna di tanah air seakan tidak dilindungi oleh satu akta khusus, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

Beliau menyuarakan rasa bimbang demikian kerana Akta Perlindungan Pengguna yang sedang dibahaskan sejak sebulan yang lalu masih tidak memperlihatkan komitmen kerajaan melindungi pengguna.

"Kita bimbang sebab tak ada klausa-klausa spesifik untuk melindungi pengguna," ujar beliau pagi tadi di lobi Parlimen.

Katanya lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepatutnya lebih menumpukan perhatian pada kaedah memelihara kepentingan pengguna ketika membentangkan rang undang-undang perlindungan pengguna yang baru sekarang.

Ini kerana, beliau berkata, akta yang sedia nyata menafikan hak pengguna.

"Selepas 11 tahun akta ini tidak dipinda, memang banyak kes menafikan hak keadilan pengguna," tambahnya lagi.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pula membangkitkan kaedah perlaksanaan tribunal yang didakwa menafikan hak pengguna untuk membawa peguam.

"Dalam tribunal ini, apa yang berlaku adalah pengguna tidak dibenarkan bawa peguam ketika pendengaran dilakukan.

"Manakala presiden tribunal pula akan buat keputusan dengan jadi sekadar orang tengah apabila satu-satu tuntutan pengguna dibuat," jelas beliau.

Akibatnya, beliau berkata, kes-kes penganiayaan pengguna seperti kes Abdul Aziz Abdul Ghani vs Nazakia, bernombor TTPM-WB(B)1095-2004 acap kali menimpa pengguna.

Ujarnya, ketua tribunal pada dua sesi pendengaran pertama kes itu memutuskan bahawa Abdul Aziz dibenarkan menuntut RM2,000 dan kemudiannya dikurangkan pada RM1,500 dari Nazakia kerana syarikat pengedar itu tidak hadir dalam pendengaran tersebut.

Menurut beliau, Nazakia kemudiannya membawa kes tersebut ke mahkamah demi mempertahan kepentingan korporat mereka.

Akhirnya, beliau berkata, hakim pula memutuskan Abdul Aziz membayar lebih RM10,000 sebagai menanggung kos mahkamah dan sebagainya.

Melihat pada kes tersebut, beliau berkata, akta yang sedia ada langsung tidak melindungi pengguna.

Tiada ulasan: