Haris Zalkapli |
Islam Syiah mendapat perhatian di Malaysia sejak lebih seminggu lalu apabila sebuah hauzah komuniti ini diserbu pihak penguasa sehingga menjadi tajuk berita utama di media tempatan dan antarabangsa. Dalam perhatian media global, selepas pertempuran kerajaan Yaman dengan Syiah Zaidiyah dikenali Houthi di utara negara itu sejak 2009, kebangkitan Syiah di Bahrain sejak beberapa bulan lalu, dan perkembangan politik Iraq, kini Malaysia turut menjadi perhatian dalam isu hubungan Syiah-Sunnah global. Dalam serbuan di Gombak, Selangor itu, seperti yang lazim di Malaysia, hampir semua media melaporkan sahaja dakwaan-dakwaan seperti menghalalkan pembunuhan pengikut Sunnah tanpa sebarang respons dan penjelasan tentang dakwaan-dakwaan ditimbulkan. Dan seperti yang lazim juga, sebahagian media dalam wacana singkat mereka meletakkan Syiah sekali dalam kategori ajaran sesat, tanpa sebarang penjelasan tentang perbezaan Syiah dengan Sunnah atau aliran Syiah terbabit. Media juga terus mengidentifikasi hauzah - yang sebenarnya ialah institusi pendidikan, seperti madrasah dalam dunia Sunnah - sebagai sebuah kumpulan, hampir sama seperti Jamaah Islamiyyah dan sebagainya. Pendirian tidak konsisten pihak berkuasa dapat diperhatikan apabila nada mengancam keselamatan negara kerana antara lain menghalalkan darah bukan Syiah berubah kepada kenyataan tidak mengancam keselamatan negara oleh menteri dalam negeri dan tidak sesuai diamalkan di Malaysia atas sebab berpotensi memecah-belahkan umat Muslim negara ini. Hujah seperti ini biasa dikemukakan dalam debat isu Syiah di negara ini. Variasi daripada sesat hingga kepada tidak sesuai, atau lebih mudah menerima sahaja denominasi Sunnah Shafie biasa menjadi hujah mereka yang menolak Syiah. Dalam banyak, dan mungkin sebahagian besar kes, debat sukar berjalan kerana kedua-dua Syiah dan Sunnah tidak bercakap dalam bahasa yang sama, yang satu sebabnya ialah perbezaan konsep-konsep kedua-dua aliran. Konsep seperti Imamah atau kepimpinan umat seperti yang diwacanakan dengan mendalam oleh Syiah tidak merupakan sesuatu yang dibincangkan atau difahami Muslim Sunnah. Muslim Sunnah juga sering sukar menerima atau memahami konsep-konsep esoterik dan dasar-dasar falsafah amalan-amalan Syiah seperti sambutan Asyura, yang realitinya mempunyai pelbagai bentuk dan tahap di seluruh dunia Syiah. Sebahagian besar Muslim Sunnah turut menyamakan semua golongan Syiah daripada Imamiyah 12 Imam kepada Zaidiyah dan Syiah ekstrem yang banyak di Pakistan dan India dalam satu kategori Syiah. Amalan memukul badan sehingga berdarah (walaupun di beberapa tempat pewarna merah digunakan untuk memberikan efek berdarah tanpa melukakan badan) dianggap sebagai amalan semua aliran Syiah, dan keganasan yang berlaku di Iraq dan Pakistan terus dikaitkan dengan simplistik kepada berpunca daripada Muslim Syiah, tanpa melihat perkembangan tersebut dengan lebih mendalam, dan tanpa pengetahuan yang cukup dalam politik antarabangsa. Begitu juga dengan amalan nikah mutaah dan waktu solat menurut tafsiran mazhab fiqh Jafari dalam Imamiyah 12 Imam. Nikah mutaah dilihat sebagai satu amala biasa yang diterima dengan mudah oleh semua pengikut Syiah walaupun hakikatnya penerimaannya tertakluk kepada pelbagai kondisi setempat. Perbezaan waktu solat Syiah juga dengan mudah ditafsirkan sebagai pengikut Syiah bersolat jamak untuk setiap waktu, dan hal ini juga dijadikan asas pandangan - atau persepsi salah - bahawa amalan agama Syiah lebih mudah. Hakikatnya, tafsiran waktu solat tersebut hanya satu tafsiran fiqh Jafari yang menjadikan ibadah solat lebih mudah, tetapi ibadah lain seperti puasa, haji dan doa-doa yang lebih panjang, jarang, sekiranya ada, diberi perhatian oleh Muslim Sunnah. Dari sudut implikasi tempatan dan global, perkembangan di Malaysia mencetuskan isu hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dan Iran, dengan hubungan Kuala Lumpur dan Tehran kelihatan sedikit terjejas. Episod ini juga menimbulkan kepentingan dialog antara Muslim yang kelihatan semakin kritikal ekoran perkembangan dunia Islam yang menyaksikan hubungan Syiah dengan Sunnah menjadi sentral di beberapa negara Islam seperti Iraq, Yaman, Arab Saudi, Bahrain dan kini Malaysia. Perkembangan ini juga, yang menempatkan Syiah Imamiyah Malaysia di tengah-tengah dan menjadi perhatian menambahkan lagi isu-isu Syiah global yang dinilai sebagai kebangkitan. Reaksi komuniti Syiah di Malaysia terhadap tindakan pihak berkuasa telah memunculkan mereka di tengah-tengah arus perdana masyarakat, dengan kesediaan berwacana dengan lebih terbuka komuniti ini seperti di negara-negara terbabit sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Perkembangan ini menguatkan lagi tesis tentang kebangkitan Syiah global seperti dikemukakan akademik Vali Nasr dalam bukunya The Shia Revival: How Conflicts Within Islam Will Shape the Future (2007), yang muncul semakin relevan dalam perkembangan dunia Islam pada masa kini. Umat Muslim termasuk di Malaysia, wajar sekali mengambil kesempatan perkembangan global ini untuk menghalakannya ke arah yang positif, membawa manfaat untuk semua dan bukan menambahkan lagi isu-isu yang boleh membawa perpecahan. |
HALAMAN SANTAI
Ahad, 26 Disember 2010
Dialog Sunnah-Syiah dan masa depan umat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan