HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Disember 2010

PDRM perlu tubuh kor agama

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan mencadangkan Kor Agama ditubuhkan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melahirkan anggota yang menghayatai nilai-nilai agama sewaktu menjalankan tugas.

Nasrudin berkata, PDRM merupakan anggota yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan orang awam dan perlu menunjukkan sikap yang baik sewaktu menjalankan tugas.

"Saya mengesyorkan agar PDRM perlu lebih dekat dengan agama dan menghayati agama seperti menubuhkan Kor Agama PDRM agar mereka tidaklah berwatak bengis dan kasar terhadap rakyat sendiri, justeru mereka adalah anggota keselamatan yang bertanggungjawab meletakkan rakyat dalam keadaan aman dan sejahtera, bukan resah, gelisah dan takut terhadap pasukan keselamatan itu sendiri," kata beliau.

Nasrudin menyarankan demikian ekoran insiden ahli perniagaan, Chia Buang Hing diserang dan dirompak oleh anggota polis awal bulan lalu.

Chia Buang Hing mendakwa beliau ditumbuk bertubi-tubi, digari, ditendang dan dipijak semata-mata enggan memberikan rasuah kepada pihak polis ketika ditahan kerana cukai jalan kereta isteri yang dipandunya telah melewati tarikh luput.

Chia turut diugut untuk diletakkan dadah dan parang di dalam keretanya serta keselamatan diri, keluarga dan perniagaannya terancam seandainya beliau membuat laporan polis.

Sebaliknya dia dipaksa supaya laporan bahawa kecederaan yang dialaminya adalah disebabkan kemalangan jalanraya.

Menurut Nasrudin, melalui pendidikan dan penghayatan agama, pihak PDRM alan lebih bertanggungjawab terhadap tugas dan amanah mereka serta bekerja dengan lebih dedikasi terutama membebaskan diri dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang ada pada mereka.

Tambah beliau, insiden keganasan polis bukan menjadi isu asing lagi di negara ini menyebabkan imej PDRM tercalar teruk.

Ini termasuk kes-kes terdahulu seperti pelajar tingkatan 3, Aminulrasyid yang ditembak mati oleh pihak polis kerana didakwa memandu secara merbahaya dan mencurigakan dan kes Kugan yang mati dalam tahanan polis serta Teoh Beng Hock yang mati dalam siasatan SPRM.

"Kisah keganasan pihak keselamatan bukan lagi menjadi isu terpencil dalam negara kita sebaliknya ia telah meninggalkan kesan trauma kepada masyarakat awam walaupun tidak semua pihak polis terlibat dalam melakukan keganasan seperti itu.

"Nama baik PDRM kini tercalar teruk ditambah pula dengan perlakuan tanpa belas simpati pihak polis membelasah rakyat dalam siri himpunan aman yang dianjurkan oleh rakyat tatkala mereka memperjuangkan satu-satu isu yang melibatkan kepentingan mereka," katanya.

Tiada ulasan: