HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2010

Pejabat MB dakwa lantikan SUK Selangor belum muktamad


BERITA HARIAN ONLINE

KUALA LUMPUR: Pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuat kuasa 1 Januari ini, mencetuskan kontroversi apabila dipersoalkan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang.

Pelantikan Mohd Khusrin, 54, bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini, diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan, pagi semalam.

Tempat Mohd Khusrin, 54, di JAIS pula akan diambil alih Pegawai Daerah Sabak Bernam, Marzuki Hussin, 56, juga mulai 1 Januari.

Mohd Sidek berkata, pelantikan Mohd Khusrin dan Marzuki sudah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas pengumuman itu, kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa pelantikan Mohd Khusrin belum muktamad.

Mengikut kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor, cadangan melantik pengarah JAIS ke jawatan itu tidak pernah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berikutan itu, Menteri Besar menghantar surat kepada Sultan Selangor memaklumkan bahawa beliau tidak dihubungi berhubung cadangan itu.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Selangor sudah mengadakan proses pemilihan bagi jawatan itu dengan menubuhkan sebuah panel temu duga dan memilih tiga nama difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan itu.

"Menteri Besar kemudian menghantar tiga nama itu kepada Tuanku Sultan untuk mendapat perkenan. Sehubungan itu, Menteri Besar akan menghadap Tuanku Sultan pada 29 Disember ini (esok)," kata kenyataan itu.

Difahamkan, Mohd Khusrin tidak termasuk dalam senarai tiga nama yang diserahkan kerajaan negeri kepada Sultan Selangor bagi jawatan setiausaha kerajaan negeri.

Mengikut sumber, dua nama yang disenarai pendek bagi jawatan itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Noordin Sulaiman dan Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Arif Abdul Rahman.

Seorang lagi yang dicadangkan ialah daripada pihak berkuasa tempatan dan tiga nama yang disebut-sebut ialah Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Md Noor; Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Datuk Adnan Mohd Ikshan.

PROFIL: Datuk Mohd Khusrin Munawi
# Usia: 54 tahun
# Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor sesi 2009 - 2011.
# Berkelulusan ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Pengurusan Perniagaan, UKM.
# Pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Kajang dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat dan Setiausaha Sulit kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Tiada ulasan: