HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2010

Rumah imam disimbah minyak

SINAR HARIAN ONLINE

KLANG - Seorang imam terkejut apabila rumah dan keretanya disimbah minyak pelincir buat kali ketiga sejak dua tahun lalu di sini.

Imam Surau Al-Ikhwan, Apartment Bayu Villa, Mohammad Fauzi Mohamed Salleh, 42, berkata, selain minyak pelincir, terdapat kertas yang berbaur ugutan diletakkan di rumahnya yang terletak di Blok C itu.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada individu yang terganggu pada waktu pagi kerana kesemua kertas itu ditulis dengan ayat yang menunjukkan rasa kurang senang dengan aktiviti yang dijalankan di situ.

“Selain kertas, pihak berkenaan juga banyak menconteng di dinding dan lif dengan perkataan yang berbaur perkauman.

“Saya tidak pasti apakah punca sebenar individu berkenaan bertindak sedemikian kerana penduduk yang lain tidak mempunyai masalah dengan saya dan ahli jawatankuasa surau yang lain,” katanya.

Fauzi berkata, dia pernah membuat dua laporan polis sebelum ini dan sentiasa mengingatkan ahli keluarganya agar sentiasa berhati-hati dengan situasi yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, individu berkenaan sememangnya nekad melakukan perbuatan itu kerana kejadian berlaku selepas waktu Maghrib dan keadaan sekeliling juga cerah pada masa itu.

“Dua kejadian sebelum ini dilakukan di rumah namun semalam, ia turut dilakukan di kereta dan ia sesuatu yang agak membimbangkan.

“Namun semua itu tidak menggentarkan saya kerana saya diamanahkan untuk melakukan tanggungjawab di surau ini demi kesejahteraan setempat,” katanya yang telah menetap di situ sejak empat tahun lalu.

Tiada ulasan: