HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2010

Penduduk menolak premis hiburan

SINAR HARIAN ONLINE

KUALA NERUS – Geram kerana pihak penguat kuasa lambat bertindak sekumpu-lan penduduk yang terdiri daripada pelbagai jawatankuasa peringkat kampung mengambil tindakan sendiri menyerbu sebuah pusat karaoke dipercayai beroperasi tanpa lesen yang terletak di Taman Desa Soleha, Padang Air, di sini, malam kelmarin.

Operasi gerak gempur yang disertai 50 penduduk melibatkan Jawatankuasa kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Surau, dan beberapa jawatankuasa lain bertujuan menunjukkan protes mereka terhadap premis hiburan itu yang jelas tidak bersesuaian dibuka di kawasan penempatan penduduk.

Operasi itu bertujuan menghalang pusat hiburan tersebut meneruskan perniagaan mereka kerana bimbang gejala sosial menular dalam kalangan belia.

Selain itu, tindakan penduduk juga menunjukkan mereka menolak keras bentuk perniagaan itu beroperasi di kawasan berkenaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Air, Abu Bakar Mamat, Pada Mei lalu pihaknya telah memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi e-Aduan berhubung kewujudan premis perniagaan berkenaan, namun setelah menunggu sejak sekian lama masih belum ada sebarang tindakan diambil.

“Setelah bermesyuarat beberapa kali, penduduk yang terdiri daripada pelbagai jawatankuasa mengambil tindakan untuk membuat serbuan bertujuan memberi amaran kepada pemilik agar tidak meneruskan perniagaan sebegini.

“Kami memandang serius perkara sebegini kerana kebanyakan pelanggan di pusat hiburan itu adalah golo-ngan belia yang terdiri daripada pelajar, tetapi apa yang lebih membimbangkan lagi dikhuatiri menjadi tempat untuk melakukan perbuatan tidak bermoral,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Abu Bakar, premis yang dipercayai beroperasi hampir setahun lalu itu sememangnya tidak disenangi penduduk setempat kerana ia bukan sahaja terletak berdekatan dengan sekolah, tetapi juga begitu hampir dengan penempatan penduduk.

Sementara itu, dalam serbuan yang turut disertai Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendapati premis berkenaan turut melanggar syarat di mana kesemua lapan bilik karaoke yang disediakan itu diletakkan cermin gelap, di mana sepatutnya cermin perlu telus pemandangan.

Menurut Setiausahanya, Samiun Salleh, premis yang masih dalam proses permohonan lesen itu turut dikenakan kompaun berjumlah RM50,000 berikutan pelbagai kesalahan yang dikenal pasti pada malam serbuan.

“Kami memberi tempoh selama 14 hari kepada pemilik premis untuk menjelaskan kompaun berkenaan dan sekiranya gagal berbuat demikian, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk menyita premis tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Samiun berkata, sebelum ini pihaknya tidak pernah sesekali menerima aduan berkaitan operasi perniagaan di premis ini sama ada daripada orang awam mahupun penduduk setempat.

Tiada ulasan: