HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Disember 2010

Apabila Karpal puji PAS parti paling berdisiplin

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Konvensyen Pakatan Rakyat 19 Disember lalu pasti meninggalkan kenangan manis - dan lebih penting pendorong semangat, sekali gus menyuntik kelegaan - buat petugas ketiga-tiga parti komponen. Selain merumuskan beberapa tindakan perlu dan pengumuman program 100 hari sebagai permulaan reformasi menyeluruh sekiranya mendapat rakyat, perhimpunan itu dilihat dapat memantapkan lagi persefahaman dan persepakatan ketika suhu politik negara makin menggelegak.

Ramai pemerhati merasakan tempoh persidangan terlalu singkat dan perlu dilanjutkan sekurang-kurangnya dua atau tiga hari, sepertimana muktamar tahunan PAS dan kongres KeADILan. Pakatan tidak harus terikut-ikut dengan Konvensyen BN yang juga dilangsungkan dalam masa sehari, malah lebih teruk, hanya 15 tahun sekali!

Banyak persoalan yang perlu diperincikan dan dibahaskan oleh lebih ramai perwakilan. Dengan itu, ucapan ketua-ketua parti misalnya, dapat diteliti dan diambil manfaat secara lebih menyeluruh. Suara pimpinan di pelbagai peringkat perlu didengar kerana merekalah yang bakal berdepan masalah dan kesulitan jika rumusan yang diambil tidak menepati kehendak rakyat. Bukankah selepas pilihan raya umum ke-12 suara rakyat menjadi begitu dominan berbanding kenyataan pemimpin atasan.

Lebih penting lagi, konvensyen tersebut bukan saja menjadi medan perbincangan untuk meluluskan ketetapan yang sudahpun diputuskan lebih awal, namun apa yang berlaku di luar jadual rasmi -- bukannya di pentas pidato -- yang membolehkan interaksi lebih intim di antara aktivis parti, dapat memantapkan lagi jentera di peringkat akar umbi.

Bukanlah sesuatu yang mengaibkan untuk kita mengakui bahawa masih ada salahfaham yang mungkin menyelinap di kalangan pendukung parti yang berbeza. Tidak mudah meresapkan elemen kemesraan dan saling fahami-memahami jika mereka masih dipetak-petakkan. ("Saya tidak begitu bimbang dengan hubungan akar umbi. Mereka nampak lebih ikhlas mahu memacu perubahan bagi menyelamatkan Malaysia. Yang saya runsing, kalau masih terbuku rasa tak puas hati dan tidak percaya antara satu sama lain di peringkat pimpinan lebih tinggi," keluhan seorang perwakilan yang mahukan sebarang kecurigaan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan wajib ditangani secara ikhlas dan terbuka).

Dan ia memerlukan ruang lebih selesa, mungkin secara santai dan tidak formal, untuk merongkai segala kecelaruan dan "salahsangka". Ada juga yang mengingatkan bahawa jika disebut "salahfaham", usah mengaitkannya hanya kepada hubungan PAS dan DAP - yang dahulunya dilihat umpama "dua kutub berbeda yang begitu sukar disatukan" - tetapi juga meliputi semua parti dalam Pakatan.

Malah, di ambang kejayaan sebagai "kerajaan menanti" ini, jangan diremehkan sekiranya timbulnya "pertembungan" di antara KeADILan dan DAP, disebabkan kedua-duanya mungkin tertumpu kepada konstituensi yang bertindan. Bukankah politik itu, antara lain bermakna, pengagihan nilai yang terhad sedangkan permintaan dan tuntutannya begitu tinggi?

Pilihan raya umum ke-13, walaupun dijangka begitu getir dan paling sengit untuk BN dan Pakatan beradu kekuatan, ia turut berupaya menyumbang kepada ketegangan dalaman parti, berpunca daya tarikan yang begitu memikat. Pemilihan calon mungkin bukan isu besar dalam PRU12 kerana tiada yang berani menduga BN akan berdepan pukulan yang begitu hebat. Masing-masing parti juga lebih bersedia bertolak-ansur menyerahkan kerusi kepada "rakan-rakan komponen" (yang belum pun terbentuk ketika itu). Suasana itu dijangka berbeda dalam pilihan raya akan datang.

Saya tetap bersikap kritis dengan sebarang kemelut dalaman Pakatan, biarpun nampak kecil dan terpinggir. Pengundi kali ini bukan lagi berhasrat untuk memilih barisan pembangkang yang kuat bagi memecahkan hegemoni BN; justeru apa jua yang menganggu kosentrasi mereka semasa pengundian mesti diambil berat. Paparan media, yang dikawal mutlak BN, bagi menonjolkan jurang dan pertelingkahan di antara ketiga-tiga parti, selain hal-hal yang kelihatan remeh-temeh, jangan dipandang mudah, tetapi tidaklah sampai ke tahap merencatkan agenda utama yang telah disusun.


Selain itu, pengiktirafan terbuka Karpal Singh, Pengerusi DAP, bahawa "PAS sebagai parti yang paling berdisiplin dalam Pakatan Rakyat kerana wakil rakyatnya sangat setia dan tidak pernah bertindak keluar parti" turut mendapat perhatian ramai dalam pertemuan bersejarah di Kepala Batas itu.

"Saya lihat hanya dua isu besar dalam konvensyen," ujar seorang penerbit berita TV, "iaitu sikap berubah Karpal terhadap isu Negara Islam yang diperjuangkan PAS dan tawaran Buku Jingga yang menggariskan Program 100 Hari Pakatan Rakyat jika memerintah." Beliau mencadangkan kepada saya agar Harakah memberikan tumpuan kepada dua isu berkenaan dengan memberikan perincian dan penjelasan lebih lanjut.

Apa pun, saya lebih tersentuh dengan pujian Karpal, yang menyifatkan PAS parti sebagai parti yang paling berdisiplin. Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang terkenal dengan kelantangannya itu turut mengakui kelemahan partinya sendiri.

"DAP pernah ada seorang di Perak, KeADILan pun ada ramai (keluar parti)," tambahnya di hadapan ribuan peserta konvensyen.

"Dalam pilihan raya akan datang letaklah calon-calon yang boleh dipercayai serta beritegriti. Jangan ulangi kesilapan lalu lagi kerana ia akan merugikan kita," tegas Karpal sambil mengaitkannya dengan kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak. Pengerusi DAP itu juga menegur Anwar Ibrahim. Walaupun sebagai pemimpin utama dalam Pakatan, tapi kadangkala Anwar juga silap dalam membuat keputusan.

Teguran dan saling mengingatkan ini wajar dijadikan tradisi dalam Pakatan. Amalan menyapu sampah ke bawah karpet hanya memarakkan lagi "api dalam sekam".

Ucapan Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut mendapat pujian apabila sedia melakukan koreksi: "Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu."

Manakala kesediaan Anwar memohon maaf di atas "kesilapannya" tambah memaniskan lagi majlis penutup konvensyen yang penuh bermakna itu.

Tiada ulasan: