HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Disember 2010

Pengikut Syiah ditahan mahu Pengarah Jais mohon maaf secara terbuka

KUALA LUMPUR — Kumpulan pengikut ajaran Syiah hari ini menggesa Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Muhammed Khusrin Munawi memohon maaf secara terbuka ekoran penangkapan 200 pengikut ajaran itu dua minggu lalu dengan mendakwa berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap mereka.

Ini kerana menurut jurucakap kumpulan itu, Kamil Zuhairi Abdul Aziz, tindakan Jais yang diketuai Muhammed Khusrin yang menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor pada 15 Disember lalu mencabul hak mereka.

“Kamil ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga mahu Mohd Khusrin membuktikan bahawa ajaran Syiah yang dibawa mereka adalah sesat sebelum melemparkan sebarang tuduhan.

“Tindakan Jais menceroboh dan memecah masuk ke Majlis Tahlil Arwah Saidina Hussein yang sedang berlangsung pada malam tersebut tidak ada kaitan sama sekali dengan penyebaran ajaran Syiah.

“Malah ketika serbuan dilakukan tiada seorang pun penguat kuasa Jais mengatakan bahawa ajaran Syiah sesat, mereka cuma kata ia berbeza dengan Ahli Sunah Waljamaah. Jadi kenapa mesti ada diskriminasi terhadap kami?

“Kesesatan tidak disebut pada malam itu (serbuan), ketika kami beri penerangan juga tidak kata Syiah itu sesat. Jadi apakah sebab apabila tuduh Syiah itu sesat,” katanya yang turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Pesuruhjaya Suhakam Mohd Sha’ani Abdullah.

Kamil yang turut ditemani kira-kira 30 pengikut ajaran itu juga mahu Jais mengemukakan bukti-bukti yang jelas bahawa ajaran Syiah yang dianuti mereka adalah sesat.

“Perlu ada hujah-hujah yang betul, nak tuduh seseorang itu sesat tidak boleh main kata sahaja. Perlu ada ciri-cirinya, buktinya dan hujah-hujah yang mengatakan Syiah ini sesat.

“Kami bukan bawa ajaran sesat, kalau nak kata sesat mesti buktikan dulu. Kami tak mahu cabar sesiapa tapi mesti buktikan terlebih dahulu sebelum kata sesat,” katanya.

Dalam serbuan sepasukan penguat kuasa Jais pada 15 Disember lalu pukul 10.15 malam, seramai 200 pengikut terdiri daripada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.

Sebahagian pengikutnya yang ditahan merupakan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), peguam dan kakitangan kerajaan.

Pengikutnya terdiri daripada 75 lelaki dan 35 wanita tempatan, enam wanita dan tiga lelaki warga Indonesia, dua wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan Iran, manakala selebihnya kanak-kanak.

Kumpulan yang ditahan juga dipercayai menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.

Kumpulan itu dilapor menyebar fahaman memukul badan sendiri menggunakan rantai sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa pada setiap 10 Muharam.

“Perbuktian mengatakan kami mencederakan diri itu tidak ada,” kata Kamil apabila ditanya berhubung perkara itu.

Kamil mendakwa tindakan Mohammed Khusrin yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap pengikut ajaran itu boleh menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kami percaya kami telah dijadikan bahan uji, adu domba dan di kambing hitam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang diperlihatkan oleh tindak tanduk Mohammed Khusrin, media, blogger dan tokoh-tokoh agama.

“Fitnah yang disebarkan mengenai kami mengakibatkan salah faham yang sangat buruk terhadap kami. Salah faham ini mendorong pewartaan undang-undang yang tidak adil buat kami,” katanya.

Selain meminta Mohammad Khusrin memohon maaf secara terbuka, Kamil berkata, pihaknya juga mahu media-media di negara ini memohon maaf secara terbuka yang telah memfitnah mereka tanpa asas kukuh.

“Kami juga menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada ulama dan tokoh agama yang memfitnah kami. Kami juga turut menawarkan dialog dan ingin mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa setiap negeri termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kami juga mahu mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan kami percaya slogan 1 Malaysia yang digagaskan mendakap seluruh minoriti yang ada.

“Selain itu, kami juga mahu mengadakan perbincangan dengan penggubal undang-undang (Ahli Parlimen), menawarkan dialog dengan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Sementara itu, Mohd Sha’ani berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan pada Januari depan bagi membincangkan perkara tersebut.

Beliau juga berkata tidak wajar sekiranya pengikut ajaran Syiah di negara ini dilayan sebagai kumpulan ajaran sesat memandang ia turut mempunyai pengikut di seluruh dunia.

“Kalau kita teliti ajaran Syiah ini dianuti sejak turun-temurun jadi tidak wajar apabila mengatakan pengikut ajaran ini sesat.

“Suhakam akan mendalami perkara ini tetapi kenapa pengikut ajaran ini dilayan begitu buruk? Dalam hal ini perlu ada pertimbangan yang rasional dan perlu dibincangkan supaya kita dapat capai keputusan yang adil.

“Perlu ada keterbukaan dalam mendalami isu ini, perlu ada dialog untuk menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan. Ia harus dijawab dengan hujah-hujah yang berasas dan tidak wajar kata Syiah ini ajaran sesat,” katanya.

Tambah Mohd Sha’ani, pihaknya akan menjadi perantara supaya isu ajaran Syiah ini dapat diselesaikan dengan baik.

Tiada ulasan: