HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2010

Suaram Desak Tindakan Segera Terhadap Keganasan Samseng Polis

Oleh Suara Keadilan

suaram1SUARAM mengutuk dan memandang serius terhadap tindakan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan keganasan , mengancam dan merampas wang bernilai RM 13,000 ribu milik mangsa Chia Buang Hing (34 tahun) hanya kerana memiliki cukai jalanan yang sudah tamat tempohnya.

Kejadian ini berlaku pada 18 Disember yang lalu semasa mangsa dalam perjalanan dari Tropicana ke Kota Damansara. (Malaysiakini, 24 Disember 2010). SUARAM selaku badan Hak Asasi berpandangan kejadian ini adalah satu pencabulan hak asasi manusia. Dalam kejadian ini kita secara jelas dapat melihat betapa teruknya pegawai polis di Malaysia yang kononya pelindung keselamatan rakyat.

Dalam insiden ini pegawai-pegawai polis yang terlibat melakukan penyalahgunaan kuasa, bermotifkan niat jahat dan melakukan kesalahan merampas wang tunai untuk tujuan rasuah.

SUARAM memandang isu ini dengan serius terutamanya apabila satu persatu warganegara Malaysia menjadi mangsa keganasan polis dan perkara ini semakin menjadi-menjadi di kalangan polis.

Namun, sebarang langkah yang konkrit dan segera tidak dilakukan oleh pihak Kementerian dalam Negeri mahupun Ketua Polis Negara untuk menangani isu ini dengan serta merta. Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa, rakyat seharusnya dilindungi oleh pihak polis

Maka, kami ingin menuntut agar pihak Kerajaan dan Ketua Polis Negara untuk mengadakan satu penyisatan terbuka dan bebas terhadap insiden ini yang kami percaya bukan sahaja keganasan polis , tetapi juga melibatkan tindakan mengambil rasuah di mana ini dapat dilihat apabila pegawai-pegawai polis tersebut merampas wang tunai yang bernilai RM 13,000 ribu.

Kami memohon agar Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia akan turut campur tangan dan menyiasat perkara ini dengan menyeluruh dan akan memberitahu hasil penyiasatan kepada umum.

Bukti-bukti yang diperlukan sudahpun berada di hadapan mata dan kini tanggungjawab kerajaan dan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai –pegawai polis yang melanggar undang-undang dan mencabul hak asasi manusia.

Sekiranya kerajaan tidak mengambil serius untuk melakukan reformasi dalam institusi PDRM, maka rakyat tidak akan akan percaya dengan kewibawaan institusi polis di Malaysia.

Kini sudah tiba masanya untuk kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera untuk membanteras kes-kes penyalahgunaan kuasa yang giat berlaku dalam PDRM dan segera menandatangani Konvenan Antarabangsa Melawan Penyeksaan dan Perlakuan Kejam yang tidak berperikemanusiaan, penderaan atau hukuman.

Yap Heng Lung ,Penyelaras SUARAM

Tiada ulasan: