HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Disember 2010

Mereka disebat tanpa mengetahui pertuduhan

Faisal Mustaffa

"Hukuman hanya ditulis di atas tangan saya dengan marker. Saya tidak memahaminya. Saya minta rakan saya membacanya. Apa yang saya takuti ialah tambahan sebatan terhadap saya." - Kop Thang, pendatang tanpa izin dari Burma

Hukuman rotan dikenakan atas banyak dakwaan dan kesalahan. Di antaranya kesalahan rompakan dan pemilikan dadah. Kesalahan tersebut tidak melibatkan sebarang tindakan keganasan.

Memandangkan terdapat ramai mangsa sebatan di kalangan warganegara luar, bahasa menjadi masalah utama di dalam menerangkan kepada mangsa dakwaan mengenai kesalahan mereka. Di bawah Artikel 14 (3) (a) dan (f) ICCPR (Kovenan Antarabangsa Sivil dan Hak Politik), seseorang suspek itu mestilah diberi hak untuk diberitahu dan diberi pemahaman mengenai dakwaannya. Seringkali mangsa-mangsa seperti Khan Kap dinafikan hak mereka untuk mendapat penterjemah semasa mereka ditahan, dan beberapa sekatan diberikan semasa pendawaan di mahkamah.

Selain itu, terdapat juga kes-kes yang berlaku di mana mangsa dinafikan akses kepada peguam-peguam bebas. Peguam-peguam yang bebas ini penting di dalam melindungi hak-hak banduan daripada penahanan sewenang-wenangnya (sebut arbitrari), seksaan dan segala bentuk kezaliman mahupun hukuman. Sekali lagi, terdapat peraturan minima yang dinyatakan oleh PBB bahawa banduan mempunyai hak untuk berjumpa dengan wakil peguam mereka.

Hampir setiap kes, perkara ini sering dinafikan. Seorang mangsa, Ismail, warganegara Malaysia dirotan kerana terlibat dalam rompakan pada 1989 memberitahu Amnesty International bahawa beliau dari keluarga miskin dan tidak mampu untuk mendapat perkhidmatan guaman. Pihak berkuasa polis telah menyediakan peguam bagi pihaknya dan tidak mewakilinya. Malah, Ismail dinasihat untuk mengaku sahaja kesalahan. Akhirnya Ismail dihukum enam sebatan dan lapan tahun penjara.

Dalam keadaan yang lain, mangsa-mangsa juga sering memberitahu mereka terpaksa menunggu berminggu-minggu sebelum dibicarakan. Mereka ditempatkan di pusat-pusat tahanan sebelum mendapat giliran untuk dibicarakan.

Berdasarkan kajian terhadap 22 mangsa hukuman sebat yang dijalankan oleh Amnesty International pada Mac-April 2010 lalu, hukuman tersebut memakan tempoh yang panjang. Sunguhpun seseorang mangsa itu mempunyai peguam atau badan seperti UNHCR bagi mewakili mereka, seseorang itu terpaksa terperok di dalam penjara sekurang-kurangnya setahun.

Bagi mangsa yang tidak memahami bahasa Melayu yang dituturkan di mahkamah Malaysia, mereka tidak disediakan dengan jurubahasa dan tidak faham mengenai perjalanan kes tersebut sungguhpun berada di dalam kamar mahkamah. Berlainan dengan Australia bila mana seorang bekas menteri besar yang didakwa menyeludup wang ribuan ringgit ke Negara itu terlepas apabila beliau memberitahu tidak memahami bahasa Inggeris.

Bagi mangsa Nuam Ning, 35, seorang pendatang dari Burma yang ditahan berhampiran dengan kawasan pembinaan di Kuala Lumpur pada tahun 2008, beliau memberitahu sebelum dibicarakan, beliau ditempatkan di kem tahanan imigresen. Beliau mendakwa tidak tahu pendakwaan yang dijatuhkan oleh mahkamah terhadap beliau kerana penterjemah tidak disediakan kepadanya. Begitu juga penjelasan Ngai Chin, 29, yang memberitahu bahawa beliau berulang kali cuba menjelaskan beberapa kali termasuk dengan menggunakan bahasa isyarat kepada pendaftar di kamar mahkamah bahawa dia tidak faham bahasa yang digunakan tetapi perbicaraan diteruskan sahaja.

Bagi kes yang berlainan pula, terdapat mangsa sebatan, Khap Khan yang memberitahu bahawa penterjemah disediakan dalam kesnya tetapi penterjemah yang bertutur dalam bahasa Bama yang dia sendiri tidak memahaminya. Khap Khan hanya faham pertuturan Min yang berasal dari Wilayah Chin.

Selepas Parlimen Malaysia meluluskan penggubalan undang-undang sebatan terhadap pendatang asing tanpa izin, pihak penguasa mewujudkan mahkamah di pusat-pusat tahanan imigresen khusus yang membicarakan kes mereka. Mahkamah yang disediakan ini bukan mahkamah awam, begitu juga pusat-pusat tahanan yang ada - tidak dapat diakses oleh orang awam. Oleh itu, ribuan yang telah pun menerima hukuman menerusi mahkamah ini dibicarakan secara tertutup. Ia bercanggah dengan Artikel 10 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (sebut UDHR) yang memberi hak kepada setiap manusia untuk perbicaraan yang adil dan terbuka. Malaysia ialah salah satu Negara yang menandatangani deklarasi ini.

Bagi mendapat pengalaman semasa perbicaraan, Hau Lian, 36, pendatang dari Burma memberitahu pada hari perbicaraannya, terdapat 50 tertuduh dibicarakan dan mereka dibicarakan lima tertuduh pada setiap kali pertuduhan dibacakan. Kop Than, 26, seorang lagi pendatang dari Burma yang dibicarakan di Pusat Tahanan Lenggeng memberitahu bahawa beliau dibicarakan bersama 16 rakannya.

Mengikut lazimnya, seseorang tertuduh itu perlulah mestilah dibuktikan kesalahannya sebelum hukuman dijatuhkan. Ia secara terang dijelaskan di dalam Artikel 16 ICCPR, malangnya Malaysia bukan Negara yang meratifikasi konvensyen yang dibincangkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Akibat daripada puluhan tahanan yang perlu dibereskan pada satu-satu masa, proses mahkamah perlu dijalankan dengan segera tanpa "gangguan". Terdapat kes di mana apabila salah seorang tertuduh memohon supaya disediakan wakil dari UNHCR (Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian) bagi mewakili beliau, Kop Thang mendapati beliau dihukum dua kali sebatan manakala tertuduh lain di dalam kumpulannya hanya mendapat satu.

Barangkali Kop Thang mengetahui bahawa Malaysia telah mempersetujui secara teorinya Malaysia menandatangani dan meratifikasi Konvensyen Vienna Mengenai Perhubungan Konsular bahawa tahanan asing mempunyai hak untuk mendapat wakil dari kerajaannya ataupun badan-badan antra-kerajaan yang bertanggungjawab mewakili mereka seperti UNHCR.

Sebatan digantikan untuk pendekkan hukuman penjara

Di Malaysia juga, mengikut amalan mahkamah, hukuman sebat ini juga diberikan kepada pesalah yang merayu untuk mengurangkan tempoh penjara. Mungkin ini juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan sel penjara seperti yang dipersetujui Timbalan Menteri Dalam Negeri, Noh Omar pada 13 Mei 2005.

Sebagai contoh, Amnesty International telah mengenalpasti mangsa, Nassaruddin, 28 yang diwawancara memberitahu bahawa beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau ialah pesakit metadon dan merayu untuk diringankan tempoh hukuman penjara terhadapnya. Untuk itu, majistret telah menambahkan satu lagi sebatan daripada hukuman sebat asal, iaitu enam sebatan. Beliau dikurangkan enam bulan tempoh di penjara.

Ramai yang memilih untuk mendapat hukuman sebatan supaya lekas keluar, tetapi tidak selalunya cara itu dapat menyelesaikan masalah. Ahmad Faisal yang ditemui selepas menjalani hukuman sebatan memberitahu bahawa beliau sanggup untuk dirotan lebih kerana tidak mampu untuk tinggal lama di penjara. Akhirnya, selepas mendapat sebatan, doktor telah mendapati beliau mengalami kesulitan dalam kesihatannya.

Adakah hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada pesalah-pesalah? Adakah hukuman sedemikian terbukti dapat mengurangkan kadar jenayah? Semasa menjalani hukuman, mereka dibogelkan di khalayak ramai dan kesakitan yang dialami mengakibatkan mereka tidak boleh duduk berminggu-minggu kerana siatan kulit akibat daripada rotan.

Malaysia mempunyai undang-undang yang menghukum seseorang itu dengan sebatan. Antaranya Akta Dadah Merbahaya yang meletakkan hukuman sebat mandatori berdasarkan kepada kesalahan. Bagi seseorang yang ditangkap akibat lari dari pusat tahanan, mereka akan diberi hukuman tiga sebatan mandatori dan sehingga lima tahun penjara.

Bagi pendatang tanpa izin pula, hampir setiap tahanan lelaki di pusat tahanan pernah menerima sekurang-kurangnya sekali sebatan. Antara kesalahan mereka ialah memasuki perairan tanpa izin atau tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan.

*Faisal Mustaffa ialah penulis bebas. Kes-kes tersebut dipetik daripada laporan Amnesty International, berjudul A BLOW TO HUMANITY - Torture by Judicial Canning in Malaysia (2010).

Tiada ulasan: