HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2010

Perbadanan baru tak mampu lindungi nasib Kg Baru, kata Lo’ Lo’

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER


Gambar fail Dr Lo' Lo' Ghazali

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Tititwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali menyifatkan langkah kerajaan pusat membubarkan Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, dijangka pertengahan tahun depan, akan menyebabkan tanah di kawasan itu secara automatik akan dimiliki bukan Melayu.

Dalam Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010, MAS dilihat tidak mempunyai sebarang kuasa atau kedudukan khas untuk mentadbir kawasan Kampung Baru seperti yang badan pentadbir itu lakukan sejak 110 tahun lalu.

Ketika memberikan penerangan kepada kira-kira 300 penduduk yang terdiri daripada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru pertengahan bulan ini, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik berkata, MAS akan dilantik sebagai Majlis Penasihat perbadanan itu yang akan dilaksanakan Julai depan.

Rang undang-undang baru itu telah dibaca kali pertama di Dewan Rakyat 14 Disember lalu dan pada hari yang sama diberikan taklimat kepada sebahagian pemilik dan pewaris Kampung Baru.

Menurut Dr Lo’ Lo’ (gambar), pembubaran MAS akan menyebabkan nasib orang Melayu di Kampung Baru akan terjejas memandangkan tiada badan yang akan bertindak melindungi hak mereka.

“Tiga fakta penting mengenai akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010, yang pertama pembatalan dan pembubaran MAS bermakna tanah Kampung Baru terbuka untuk dimiliki oleh orang-orang bukan Melayu.

“Kedua penubuhan Majlis Penasihat (15 ahli) yang diwakili penduduk Kampung Baru tidak mempunyai sebarang makna kerana perbadanan tidak terikat untuk mengikut atau cadangan penduduk.

“Ketiga perbadanan adalah kebal di sini undang-undang dan keputusan mereka tidak boleh dicabar mana-mana mahkamah di Malaysia,” katanya dalam laman sosial Facebook.

Justeru, Dr Lo’ Lo’ mencadangkan supaya MAS dinaik taraf menjadi Badan Amanah Kampung Baru yang bertindak sebagai penjaga pegangan hartanah dan pemilik-pemilik bukan dimansuhkan.

“Rang undang-undang ini juga mesti dipinda supaya tidak kebal dan menindas penduduk Kampung Baru.

“Akta yang melindungi hartanah orang Melayu sejak beratus tahun sejak zaman British nak dihapuskan begitu sahaja oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

“Ketuanan Melayu hanya retorik dan jaga kepentingan Umno sahaja, kita mahu ketuanan rakyat yang berpaksikan Islam,” katanya.

Ketika lawatan ke Kampung Baru awal Februari lalu, Najib mengumumkan cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru, yang antara lain akan memastikan penduduk dan pemilik tanah tidak perlu berpindah ke tempat lain.

Beliau berkata, di bawah kaedah pembangunan itu kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan pembangunan baru hanya selepas mendapat persetujuan mereka.

Katanya, nilai tanah di kawasan itu boleh melebihi RM20 bilion jika penduduk menerima konsep pembangunan itu yang dapat merealisasikan potensi Kampung Baru sepenuhnya.

Isu pembangunan Kampung Baru kini dilihat semakin sukar untuk dilaksanakan selepas beberapa pihak termasuk pengurusan MAS sendiri mempertikaikan ketelusan usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan itu.

The Malaysian Insider difahamkan, berdasarkan penerangan yang dibuat Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tempoh hari, ia tidak menepati syor dan cadangan dikemukakan ketika perjumpaan yang diadakan di Melaka Oktober lalu.

Menurut sumber, draf rang undang-undang yang diserahkan kepada pengurusan MAS tidak sama dengan apa yang dibincangkan.

“Memang kita tidak bersetuju dengan rang undang-undang itu kerana selepas melihat semula salinan draf yang diserahkan kepada kita, saya dapati ia berbeza.

“Cadangan yang kita kemukakan dalam bengkel yang diadakan di Melaka lain daripada hasil yang dikeluarkan pihak kementerian,” kata sumber itu ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Selain itu, Setiausaha Agung MAS Shamsuri Suradi berkata pihaknya tidak berpuas hati dengan penerangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berhubung Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010 dua minggu lalu.

Ini kerana menurut Shamsuri, penerangan secara tidak terperinci mengenai rang undang-undang itu menyebabkan penduduk terutamanya pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu terkeliru.

Persatuan Pembangunan Kampung Baru sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap langkah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang membentangkan rang undang-undang itu terlebih dahulu di Parlimen.

Persatuan itu mendakwa pembentangan itu dibuat tanpa memberi penerangan secara terperinci mengenainya kepada mereka terlebih dahulu.

Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar.

Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang. Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

Tiada ulasan: