HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2010

Pilihanraya ke 13 Semakin Hampir?

Staff Berita Semasa

pilihanraya umum Pilihanraya ke 13 Semakin Hampir?

Beberapa petanda sudah mula kelihatan yang menunjukkan bahang pilihanraya ke 13 semakin hampir. Ramai pemerhati politik meramalkan sekitar awal tahun 2010 (besar kemungkinan antara bulan Mac dengan bulan Jun 2011, mungkin ya mungkin tidak) adalah tarikh yang sesuai diadakan pilihanraya umum ke 13. Antara tanda-tanda mula kelihatan…….?

1) Media Prima Berhad telah melakukan rombakan

KUALA LUMPUR, 25 Dis — Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan, ketua stesen televisyen Media Prima Berhad milik Umno, dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa 1 Januari ini di sebalik spekulasi pilihan raya umum ke-13 diadakan awal tahun depan. The Malaysian Insider difahamkan Farid akan membawa bersama lima eksekutif televisyen dengan tugasan beliau dikatakan berhubung kait dengan kempen konsep 1 Malaysia Datuk Seri Najib Razak.

“Pinjaman sepenuh masa ini bersifat sementara dan sebaik sahaja selesai tugasan (di Jabatan Perdana Menteri), beliau dijangka akan kembali untuk meneruskan peranan lamanya,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Datuk Amrin Awaluddin dalam satu kenyataan semalam. Amrin berkata, Ahmad Izham Omar, pengarah eksekutif 8TV, ketua pegawai eksekutif Alt Media dan ketua Media Prima Radio Networks (MPRN) akan menggantikan Farid berkuat kuasa 1 Januari. “Beliau juga akan menjalankan peranan sebagai ketua pegawai eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, melapor terus kepada pengarah urusan kumpulan,” kata Amrin. Katanya, Izham akan melepaskan jawatannya sebagai ketua MPRN dan pengarah eksekutif 8TV. Dalam memo edaran dalaman, Media Prima menamakan lima eksekutif yang akan mengikut Farid iaitu Noor Amy Ismail, Noor Syazwani Abdul Rahman, Nurul Asyikin Ab Aziz, Nasir Taff dan Eddy Sulaiman.

“Farid merupakan seorang eksekutif media dan pengiklanan yang berpengalaman dan boleh diyakini dalam kerja-kerja berkaitan dengan konsep 1 Malaysia,” kata seorang editor Media Prima kepada The Malaysian Insider. Konsep 1 Malaysia menjadi sasaran serangan Pakatan Rakyat yang mendakwa Najib menggunakan firma perunding perhubungan awam APCO Worldwide, yang dikatakan terlibat dalam kerja-kerja kempen One Israel diperkenalkan bekas perdana menterinya Ehud Barak. Najib menafikan dakwaan itu dengan mengatakan beliau telah memikirkan perkara itu sebelum menjadi perdana menteri April 2009 termasuk menggunakannya sebagai nama blognya.Selasa lalu, Najib menzahirkan rasa terkilan dengan dakwaan bahawa konsep 1 Malaysia diciplak dari negara lain dan menyifatkan dakwaan itu sebagai “pendustaan besar.”

Minggu lalu, Parlimen menggantung Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu itu. Turut digantung tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat. Farid merupakan profesional media kedua menyertai pentadbiran Najib sejak tiga bulan lalu. Bekas koresponden Reuters Malaysia Abdul Jalil Abdul Hamid dipinjamkan dari Suruhanjaya Sekuriti untuk menyertai pasukan komunikasi nasional perdana menteri. Semalam, Merdeka Center mengumumkan kajiannya bahawa tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Najib kekal positif dengan kaum India mencatat peratusan tertinggi, diikuti Melayu dan Cina.Tinjauan yang dijalankan mulai 30 November hingga 11 Disember lepas menunjukkan tahap kepuasan hati di kalangan kaum India ialah 85 peratus, Melayu (74 peratus) dan Cina (54 peratus). Bagaimanapun, tahap kepuasan hati terhadap Najib merosot sedikit kepada 69 peratus berbanding 72 yang dicatat Mei lepas, dengan 22 peratus “sangat berpuas hati” manakala 47 lagi “agak berpuas hati” dengan prestasi beliau. Kenyataan Merdeka Centre hari ini menyebut ia mungkin disebabkan reaksi rakyat terhadap pengurangan subsidi kerajaan bagi barangan seperti minyak petrol dan gula, yang berlaku ketika tinjauan dijalankan.

Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa terdapat kesedaran sederhana di kalangan rakyat berhubung Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan September lepas, dengan 16 peratus dilapor memiliki beberapa tahap pengetahuan dan pemahaman mengenai pelan tersebut serta matlamatnya.

2) Dan ini pula isu FELDA yang cuba diselesaikan oleh kerajaan

Felda akan membayar Bonus Insentif Produktiviti kepada peneroka tanah rancangannya di seluruh negara berjumlah RM100,916,600. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara selain sebagai insentif kerana menghantar hasil melalui Felda. Beliau berkata kadar bayaran bonus yang dibayar pada tahun ini ialah minimum RM400 dan maksimum RM1,200 bergantung kepada penghantaran hasil.

“Pembayaran bonus insentif ini melibatkan seramai 94,281 atau 83.70 peratus daripada 112,635 peneroka Felda seluruh negara. “Bayaran Bonus Insentif Produktiviti Peneroka 2010 akan dibayar secara tunai di pejabat rancangan pada awal Januari 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Najib berkata peneroka yang menghantar hasil melalui pengurusan rancangan dinilai berdasarkan penghantaran hasil dari Januari hingga Oktober tahun ini. “Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum ialah 8.01 tan/hektar manakala ganjaran maksimum ialah mereka yang menghantar hasil melebihi 17 tan/hektar ke atas.

“Bagi peneroka getah, kelayakan minimum ialah 600.01kg/hektar dan ganjaran maksimum diberi kepada yang menghantar hasil melebihi 1,400kg/ hektar,” katanya. Beliau berkata bilangan peneroka yang terlibat dalam penghantaran hasil sawit dan getah ini adalah seramai 30,611 orang manakala 61,170 yang sedang menanam semula bersama Felda akan menerima bayaran maksimum RM1,200 seorang. “Pada tahun ini, Felda turut memberikan pertimbangan khas kepada peneroka di beberapa rancangan yang prestasi hasilnya rendah sepanjang masa disebabkan tanaman tidak produktif dan menunggu giliran untuk ditanam semula.

“Ini termasuk juga kawasan kebun peneroka yang diambil bagi tujuan pembangunan. Termasuk juga dalam kategori ini ialah tanaman peneroka yang hasilnya rendah disebabkan serangan musuh penyakit seperti ganoderma, serangan ulat bungkus dan lain-lain,” katanya. Kira-kira 2,000 peneroka terlibat dalam kategori pertimbangan khas itu dan kadar yang diberi kepada peneroka terlibat adalah sebanyak RM400 seorang, katanya. Najib berkata seramai 18,354 peneroka atau 16.29 peratus pula didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan juga kerana hasil mereka kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan.

Selain itu, katanya peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil, tidak dibayar bonus insentif ini. “Kerajaan berharap pemberian bonus ini akan menjadi perangsang kepada peneroka di seluruh negara untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan produktiviti masing-masing. “Saya juga ingin mengajak semua peneroka untuk menyertai program bersama dengan Felda selaras usaha berterusan yang dilaksanakan oleh agensi tersebut bagi meningkatkan pendapatan mereka melalui penyelidikan dan khidmat nasihat yang disediakan,” katanya.

Tahniah kerajaan, anda sebenarnya mampu melakukannya untuk rakyat yang mana hak mereka cuba untuk dikembalikan. Kepada peneroka FELDA, inilah hasilnya jika anda tahu hak anda dan bangkit menuntut mengikut saluran yang betul. Dan perjuangan anda tidak sia-sia. Teruskan perjuangan anda

3) Keputusan sebegini biasa dilakukan oleh UMNO bagi menghadapi persiapan, lebih-lebih lagi menjelangnya pilihanraya umum iaitu pilihanaraya ke 13 nanti.

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Umno memutuskan untuk menangguhkan pemilihan yang dijadual untuk diadaan akhir tahun depan selama 18 bulan untuk memantapkan parti – dipercayai bagi membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

4) Lagi kenyataan beberapa pemimpin politik tentang desas-desus pilihanraya ke 13 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

  • Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) juga mengumumkan bahawa ia akan mengenal pasti calon-calonnya bagi pilihan raya akan datang selepas Tahun Baru Cina pada Februari tahun depan.
    Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini membayangkan bahawa satu pilihan raya kilat mungkin diadakan dalam ‘beberapa bulan ini’ semasa menggulung ucapannya pada Perhimpinan Agung Umno bulan lalu. ‘Saya tidak tahu bila perdana menteri akan mengadakan pilihan raya umum akan datang tetapi kita semua tahu bahawa ada beberapa bulan lagi,’ katanya.
  • Presiden Kongres India Malaysia (MIC), Datuk Seri S. Samy Vellu, dijangka meninggalkan parti itu pada Januari ini, manakala Pesatuan Cina Malaysia (MCA) dan Umno akan mengadakan satu lawatan ke seluruh Malaysia.
  • Pakatan Rakyat dikatakan sudah bersedia bagi menghadapi pilihanraya umum pada bila-bila masa sahaja. Amboi yakin nampak?
  • Datuk Seri Najib Razak telah pun sambung kontrak APCO Worldwide lebih-lebih lagi sebagai persiapan pilihanraya umum ke 13 nanti

P/S : Kalau diikutkan pilihan raya umum ke-12 diadakan Mac 2008 dan oleh itu, mandat semasa lima tahun hanya sepatutnya berakhir Mei 2013. Jadi kami nak tanya pandangan dan ramalan anda sendiri tentang tarikh pilihanraya ke 13 akan datang nanti? Betulkah pilihanraya umum ke 13 semakin hampir?

Tiada ulasan: