HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Disember 2010

Tubuh Majlis Penasihat hanya gimik politik – Dr Lo’ Lo’


Dr._Lo'_Lo'Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali tetap bertegas membantah penubuhan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru sambil menyifatkan cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah undang-undang itu sebagai gimik politik.

Menurut beliau, melalui penubuhan Majlis Penasihat itu jelas menampakan kerajaan tidak jujur memandangkan tidak terikat dengan apa-apa nasihat daripada wakil-wakil penduduk Kampung Baru.

"Cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah rang undang-undang tersebut adalah bersifat kosmetik dan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

"Oleh itu, peranan Majlis Penasihat tersebut hanya sebagai gimik politik semata-mata dan jelas tidak relevan langsung di kacamata kerajaan," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau yang mewakili penduduk termasuklah pewaris tanah Kampung Baru membantah penubuhan rang undang-undang itu yang dijangka dilaksanakan pertengahan tahun depan.

Cadang Badan Amanah ditubuhkan

"Saya mewakili penduduk-penduduk Kampung Baru membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu tersebut dan menyarankan supaya kerajaan menubuhkan Badan Amanah yang diwakili oleh wakil-wakil penduduk Kampung Baru dan mereka yang berkepentingan secara langsung dalam pembangunan Kampung Baru."

"Sudahlah penduduk Kampung Baru tidak dibawa berbincang terlebih dahulu sebelum rang undang-undang tersebut dibentangkan di Parlimen, kini suara dan nasihat mereka yang kononnya dijamin di bawah rang undang-undang tersebut langsung tidak berharga dan tidak mempunyai sebarang makna.

Ketika memberikan penerangan kepada kira-kira 300 penduduk yang terdiri daripada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru pertengahan bulan ini, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik berkata, Majlis Penasihat akan ditubuhkan yang mana akan bertindak sebagai penasihat kepada perbadanan itu.

Raja Nong Chik juga berkata Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru akan dilantik sebagai Majlis Penasihat perbadanan itu yang akan dilaksanakan Julai depan.

Rang undang-undang baru itu telah dibaca kali pertama di Dewan Rakyat 14 Disember lalu dan pada hari yang sama diberikan taklimat kepada sebahagian pemilik dan pewaris Kampung Baru.

Semalam Dr Lo’ Lo’ berkata langkah kerajaan pusat membubarkan MAS akan menyebabkan tanah di kawasan itu secara automatik boleh dimiliki bukan Melayu.

Nasib orang Melayu terjejas

Menurut Dr Lo’ Lo’, pembubaran MAS akan menyebabkan nasib orang Melayu di Kampung Baru akan terjejas memandangkan tiada badan yang akan bertindak melindungi hak mereka.

Beliau juga mencadangkan supaya MAS dinaik taraf menjadi Badan Amanah Kampung Baru yang bertindak sebagai penjaga pegangan hartanah dan bukan hak pemilik-pemilik dimansuhkan.

Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar.

Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 penduduk. Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

Tiada ulasan: