Subky Latif |
APA yang tersirat di sebalik ingatan Menteri Perdagangan Antarabangsa tentang kewujudan DAP dalam Pakatan Rakyat betapa parti itu asalnya tajaan PAP yang memerintah Singapura? Adalah benar DAP itu asalnya PAP yang beroperasi di Semenanjung Malaysia semasa Singapura adalah satu wilayah Malaysia. Apakah PAP ada di semua wilayah Malaysia ketika itu tidak berbangkit sangat tetapi yang jelas Lee Kuan Yewlah Setiausaha Agung PAP baik di mana-mana saja. Tetapi selepas terpisah Singapura dari Malaysia tahun 1965, PAP telah menjadi DAP. Sudah 35 tahun ia tegak sendiri. Sekali pun ia ada sejak mula dengan Singapura, tetapi usaha menakutkan orang Malaysia dengan pengaruh dan ancaman PAP Singapura sudah jadi lali dan tidak menakjubkan lagi. Sama dengan ancaman komunis. Tidak siapa takut lagi dengan komunis. Bahkan Umno yang 100 peratus anti komunis ketika ISA digubal tahun 1960 dulu mengudang parti komunis dari banyak negara sebagai tetamu Perhimpunan Agung Umno sejak beberapa tahun lampau. Maka apa takjubnya memperingatkan tentang DAP tajaan Singapura dulu menjadi kerabat penting dalam Pakatan Rakyat? Saya tidak nampak apa takjubnya selain hendak menakutkan pengundi Melayu tentang bayang-bayang Lee KuanYew. Saya tidak bercadang untuk mengatakan apa eloknya DAP dan apa hikmatnya berkawan dengan DAP. Tetapi jika sekadar hendak menakutkan pengundi Melayu tentang Pakatan Rakyat, ia adalah tahun 60an dan70an. Modal itu telah tenggelam mengikut sejarah. Kalau hendak mengingatkan ia ancaman dari kaum Cina yang berpusat di Singapura, apakah meningatkan tentang Cina itu tidak mengetuk pintu hati rakyat Malaysia berketurunan Cina? Mungkin tujuannya untuk menggerunkan orang tentang Lee Kuan Yew. Tetapi ia boleh terbalik menjadikannya sebagai dewa dan ikon pula. Lee itu politiknya bersih. Tidak rasuah, anti penyelewengan, anti jenayah, seorang puritan iaitu tidak kaki betina, tidak merokok dan tidak alkoholik. Kalau Islam tahapnya takwa yang tinggi. Dia menjadi Cina yang dulunya suka berjudi, mengisap candu dan berbagai kepincangan lagi kepada Cina Singapura sebagai Cina contoh di dunia. Dari sebuah Singapura yang kacau bilau dijadikannya Singapura yang berjaya maju, negara dinamik dan pusat kewangan dan dagangan terpenting di Asia Tenggara. Mana Cina Malaysia yang tidak tertarik dengan pimpinan Cina yang seperti ini? Kalau ada orang Melayu cuba hendak menakutkan rakyat dengan bayang Lee Kuan Yew itu, saya bimbang ia akan bertambah pujaan Cina kepadanya. Bertambah tinggi ingin Cina berpemimpinkan Lee Kuan Yew dan orang-orang dipercayai Lee Kuan Yew. Jika kita ingatkan orang bahawa DAP itu parti yang dipasang oleh Lee Kuan Yew, apakah ia tidak mendorongkan Cina lebih tertarik kepada DAP kerana DAP mengembang politik dan cara kepimpinan Lee KuanYew. Mana orang Cina Malaysia tidak mahu Malaysia ditadbir seperti Singapura? Saya percaya ingatan Anggota Parlimen dari Jeli boleh menyebabkan lebih ramai pengundi Cina meninggalkan Barisan Nasional kerana pemimpin Cina dalam BN tak ada sedikit pun imbasan Kuan Yew. Tetapi dalam Pakatan ada DAP yang dikatakan berikonkan Lee Kuan Yew. Lee dan Singapura lebih berminatkan apa yang mereka boleh dapat dari Malaysia dari menjaga politik DAP dan Lim Kit Siang. Sekalipun ada sayangnya pada Kit Siang dan DAP, tetapi dia tahu kerajaan Malaysia di bawah Umno menyekat apa saja yang boleh menyenangkan DAP dan Kit Siang. Lee tahu dia tidak boleh lagi menguasai Malaysia seperti yang dibayangkannya ketika menyertai Malaysia dulu. Cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia hancur. Dan peluang DAP untuk berkuasa tidak semudah yang disangka. Setelah 35 tahun wujud baru dapat berkuasa di Pulau Pinang. Ketika DAP mendapat kejayaan bersama Pakatan Rakyat tahun 2008, Lim Kit Siang sudah tua. Lee lagilah lebih tua. Untuk melihat DAP berkuasa di Malaysia, Lee Kuan Yew dan Lim Kit Siang mati dulu. Maka tidak banyak yang Lee boleh dapat dari memberi perhatian dan sokongan padu kepada DAP. Bahkan ia boleh mengurangkan peluang melabor dan melagang pembangunan Malaysia. Yang utama bagi Lew Kuan Yew ia mendapat sebanyak harta dan kekayaan dari bumi Malaysia. Penguasaan ekonomi adalah lebih menguntungkan Singapura dan penduduk Cina dari menjaga kepentingan politik DAP dan Kit Siang. Untuk menguasai Malaysia dan politiknya Lee tidak perlu datang melalui DAP tetapi ia sudah dapat banyak dari pelaburannya. Berapa banyak dia dapat dari pembangunan Iskandar Johor? Berapa banyak modalnya di Langkawi? Lebih senang dia masuk Malaysia melalui Khairy Jamaluddin, Muhyidin Yassin dan orang-orang yang disenangi Najib dan Rosmah. Apabila WikiLeaks menyebarkan petikan kata Lee Kuan Yew tentang Anwar Ibrahim, maka ia bukan sekadar menyusahkan Anwar dan Pakatan Rakyat. Ia menyusahkan DAP sekali dan pengundi DAP yang menyokong Anwar. Tidak benar Lee ke Malaysia melalui DAP saja. Selama ini ia dapat banyak dari kerajaan BN yang pantang melihat duit. |
HALAMAN SANTAI
Selasa, 28 Disember 2010
Singapura lebih banyak manafaat melalui BN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan