HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Disember 2010

PERMASIS : Banding PR dan BN tidak relavan

SELANGOR KINI

SHAH ALAM– Persatuan Mahasiswa Selangor atau Permasis melihat kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Industri dan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berhubung perbandingan kerajaan Pakatan Rakyat atau PR dengan Barisan Nasional adalah tidak relevan dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

Pengerusi Permasis, Mohamad Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mukhriz sewaktu berucap di hadapan Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi bahawa mahasiswa perlu membandingkan apa yang dibuat oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional dan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Menurut Mohamad Izzudin, kemungkinan mahasiswa membuat perbandingan adalah mustahil kerana setiap negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat dan BN memiliki sumber kekayaan yang berbeza.

“Mana mungkin kita mampu membuat perbandingan sebegitu rupa. Setiap negeri berbeza dari segi kekayaan sumber ekonomi, taraf hidup rakyat, malah dasar urus tadbir negeri dan sebagainya.

“Seumpama kita membanding antara Negeri Perlis dengan Negeri Selangor, atau antara Negeri Pulau Pinang dengan Negeri Sabah atau Sarawak. Adakah perbandingan seperti ini adil?,” ujarnya.

Mohamad Izzudin berkata, mahasiswa mahu pun rakyat lebih menilai bagaimana negeri-negeri yang diterajui Pakatan Rakyat kini seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan berbanding Barisan Nasional sebelumnya.

Jelas Izzudin, seperti di Selangor mahasiswa sentiasa mengikuti setiap perkembangan yang berlaku, malah perkembangan terbaru yang menarik perhatian mahasiswa adalah berkenaan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo yang didakwa ke mahkamah atas tuduhan rasuah awal bulan ini.

Selain itu, katanya kenyataan Mukriz bahawa kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi lebih cenderung untuk menyokong pembangkang adalah tidak tepat.

Izzudin berkata, kenyataan tersebut merupakan sangkaan buruk yang ditabur kepada golongan mahasiswa yang dilihat tidak sealiran dengan kerajaan Barisan Nasional.

Sehingga kini, ujarnya mahasiswa masih bebas menyuarakan pendapat mereka tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik baik dari BN atau PR.

Tambah Izzudin, beberapa isu yang diperjuangkan oleh mahasiswa seperti desakan agar dimansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN, isu kenaikan harga barang, menghapuskan rasuah dalam urus tadbir negara dan banyak lagi perkara yang pernah disuarakan sebelum ini adalah suara dari mahasiswa sendiri.

Menurut Izzudin, perjuangan mahasiswa bukan hanya berkisar mengenai isu-isu kampus tetapi turut sama bersuara untuk hak rakyat dan demi kebaikan Malaysia.

Malah katanya, adalah tidak mustahil untuk mahasiswa terus menjauhkan diri daripada kerajaan Barisan Nasional selagi apa yang disuarakan mahasiswa selama ini tidak diendahkan.

Tiada ulasan: