HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Disember 2010

Dengarnya... Penyanyi popular rela bermadu?

Oleh Normah Becok

KETIKA Cik Normah menghadiri acara Anugerah Skrin 2010 tempoh hari, Cik Normah terserempak dengan seorang teman yang sudah lama tidak berjumpa. Tak sangka pula dia kini sudah bergelar Datin di pangkal namanya. Walaupun sudah memegang status isteri seorang Datuk tapi Cik Normah lihat dia tak pernah menyombong diri.

Disebabkan kami sudah lama tidak berjumpa, jadi banyaklah yang kami sembang termasuk sebuah cerita panas membabitkan seorang penyanyi yang popular.

Khabarnya, si penyanyi ini dikatakan bakal melangsungkan perkahwinannya dengan seorang hartawan yang sedikit berusia darinya. Cuma apa yang tak sedapnya, selebriti ini khabarnya bakal menjadi isteri. Eh! betulkah cerita ni? Maknanya penyanyi itu bermadu.

Sebaik saja mendengar perkhabaran itu Cik Normah tak tahu nak cakap apa. Gembira pun ada, risau pun ada. Cik Normah rasa gembira sebab selepas melalui episod gelap dalam hubungan cintanya sebelum ini, akhirnya bertemu juga dia dengan seorang lelaki yang sudi menjadikannya suri dalam hidupnya.

Dan yang buat Cik Normah risau pula, adakah perkahwinan itu mendapat restu isteri pertama dan kedua lelaki itu. Takut pula Cik Normah nanti ada adegan serang menyerang ketika si pengantin sedang bersanding di atas pelamin. Tak pasal-pasal jadi bahan berita lagi.

Kalau betullah seperti yang dikatakan kawan Cik Normah tadi, Cik Normah harap penyanyi berkenaan sudah pun memikirkan masak-masak akan keputusannya itu.

Bukanlah maksud Cik Normah hidup bermadu itu tidak baik. Ramai juga yang bahagia walaupun perlu berbahagi kasih dengan suami. Itu memerlukan kesabaran dan persefahaman yang tinggi. Tapi untuk dapatkan semua itu, bukannya mudah. Itulah, bimbang juga Cik Normah jika keputusannya itu nanti akan memusnahkan kerjaya seninya.

Tapi kalau cerita itu sekadar gosip semata-mata, Cik Normah tumpang lega mendengarnya. Kumbang bukan seekor. Rasanya di luar sana ramai lagi lelaki bujang atau duda yang sanggup menanti untuk dijadikan suami.

Tiada ulasan: