HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Januari 2011

Pindaan perlembagaan: ‘Kesudahan tersirat dan tersurat’

Oleh G Manimaran, Shannon Teoh dan Boo Su-Lyn


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membentangkan usul pindaan perlembagaan semalam, yang tidak dapat diluluskan ekoran ketiadaan undi majoriti dua pertiga. — Foto Bernama

ANALISIS — Selepas episod debat kira-kira enam jam semalam yang berakhir dengan kegagalan kerajaan negeri Selangor memperoleh undi dua pertiga, persoalan berkisar: siapa yang menang dan siapa yang kalah. Persoalan seterusnya, ke mana selepas ini — kedua-dua Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

Tidak dapat dinafikan, ramai sudah menjangkakan hasil sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Pastinya Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, barisan exconya dan juga pemimpin-pemimpin PR yang lain awal-awal sudah menduga bahawa usul yang dibawa tidak akan menemui kelulusan.

Mereka hanya mengharapkan keajaiban sokongan daripada wakil rakyat BN memandangkan beberapa pemimpin barisan pembangkang secara peribadi menyokong usaha mengembalikan kuasa kepada kerajaan negeri dan istana.

“Tiada siapa yang kalah, tiada siapa yang menang,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad kepada The Malaysian Insider pagi ini.

“Hasilnya kita boleh gambarkan umpama unsur yang tersirat dan tersurat... di mana ada hasil yang kita nampak jelas, ada yang tidak jelas.

“Walaupun kerajaan negeri tidak berjaya dari sudut perundangan tetapi dari segi persepsi di kalangan rakyat, pada hari ini kebanyakan pihak dapat memahami isu yang dibawa oleh Pakatan Rakyat,” kata Iskandar yang juga Exco Kerajaan Negeri.

Beberapa penganalisis dan pemerhati politik dalam membicarakan tentang pihak yang memenangi isu semasa ini berkata, walaupun menteri besar tidak memperoleh kuasa dalam urusan pelantikan tetapi PR telah berjaya mengalih label derhaka ke sebelah Umno-BN, yang selama ini menuding jari bahawa perikatan tiga komponen itu yang menderhaka dan mengkhianati institusi diraja.

Kini ‘liabiliti’ adalah di pihak Umno-BN sendiri, kata beberapa penganalisis kepada The Malaysian Insider.

“Mereka terlibat dalam satu pemainan yang sungguh bahaya,” kata penganalisis politik Khoo Kay Peng.

“Tetapi mereka sudah pasti memperoleh kelebihan politik segera dengan mendedahkan hipokrasi Umno-BN selama ini bahawa merekalah juara pelindung Raja-raja Melayu,” kata Khoo.

Isu ini dijangka dibawa sebahagian modal kempen dalam pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang yang berlangsung sekarang dan selepas ini di Merlimau.

Menyentuh peranan institusi diraja, Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahiam Suffian berpendapat bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebenarnya telah berhadapan dengan pertikaian politik beberapa kali sebelum ini, tetapi baginda telah menekankan yang baginda mahu dan akan bersikap berkecuali.

Bagaimanapun penganalisis bersetuju sementara kedua-dua PR dan BN mahukan kedudukan bahawa merekalah pelindung dan menjunjung Raja-raja Melayu, istana Selangor menjadi semakin berpengaruh.

Mengenai pihak yang mengalami kerugian, penganalisis dan pemerhati menarik perhatian dengan berkata, BN berhadapan dengan “karma” selepas menuduh PR mahu membawa pindaan untuk memberi kuasa kepada mereka berbanding Sultan.

PR akan menyerang perikatan BN, yang parti terasnya Umno, dengan membawa keraguan dan kesangsian kepada pengundi-pengundi Melayu berhubung keikhlasan mereka setia kepada raja dan istana.

Ibrahim menambah, sebagaimana BN mendakwa PR tidak menghormati keputusan Sultan Perak dalam rampasan kuasa 2009, ia perlu berhadapan dengan dakwaan bahawa “dengan menolak pindaan (di Selangor), mereka juga menolak Sultan.”

Khoo berkata, ia kelihatan sukar memandangkan “pada satu pihak BN perlu mengatakan bahawa mereka bukan tidak menghormati istana tetapi pada sebelah lain, mereka perlu menjelaskan mengapa mereka mahu kekalkan kuasa pelantikan di peringkat persekutuan.”

Sambil mengakui PR Selangor sudah pun memulakan proses penerangan kepada rakyat bermula semalam sebaik berakhirnya sidang khas DUN, Iskandar menambah, perkembangan semasa perlu dilihat sebagai satu perkara yang menjangkaui kepentingan Selangor.

“Walaupun usul pindaan ini melibatkan pelantikan Setiausaha Kerjaan Negeri (SUK) Selangor, tetapi perkara ini sudah menjangkaui sempadan Selangor... bukan lagi isu negeri Selangor semata-mata,” kata pemimpin PAS.

Wakil PAS menerajui kerajaan negeri sehingga Perak jatuh awal 2009.

Siaran langsung sidang khas DUN Selangor semalam menurut Iskandar telah merekodkan sekitar 100,000 hits.

“Ini satu jumlah yang tinggi berbanding ketika siaran langsung biasa sebelum ini,” kata Iskandar yang turut menambah bahawa “kita perlu melihat bahawa isu pelantikan SUK bukan sahaja melibatkan negeri Selangor, tetapi beberapa negeri lain yang turut ditadbir oleh kerajaan BN.”

“Jadi isu ini membuka mata semua pihak. Mungkin kami gagal sekarang, tetapi ia menjadi isu untuk dilihat oleh semua negeri dalam soal pelantikan SUK... mengembalikan kuasa dan peranan dalam urusan pelantikan kepada kerajaan negeri masing-masing,” katanya.

Malah menurut Iskandar, kuasa dan peranan pusat dalam proses pelantikan SUK bukan menjadi isu sekarang melibatkan Datuk Mohd Khusrin Munawi dan tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri PR.

“Sebenarnya isu ini wujud semasa kepimpinan Datuk Seri Dr Khir Toyo (ketika menjadi menteri besar), cuma tidak nampak sebab kerajaan negeri dan pusat adalah dari parti yang sama ketika itu,” kata Iskandar dalam hujahnya bahawa isu SUK kini menjadi fokus seluruh negara khususnya di negeri-negeri yang tiada suruhanjaya perkhidmatan awam sendiri.

Katanya banyak negeri mahukan kuasa pelantikan SUK dikembalikan kepada negeri masing-masing.

Ekoran keputusan sidang khas semalam, Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohamad Satim Diman berharap Khalid dapat mempercepatkan majlis angkat sumpah menyimpan rahsia Khusrin selaku SUK — yang pelantikannya menjadi punca kepada kemelut semasa, dan seterusnya usul pindaan perlembagaan negeri.

Cadangan pindaan itu dibuat ekoran kontroversi pelantikan Khusrin sebagai SUK oleh Suruhanjaya Perkhidamatan Awam (SPA).

Kerajaan negeri membantah pelantikan itu kerana ia dibuat tanpa merujuk kepada Menteri Besar terlebih dulu.

Satim sekali lagi menyifatkan tindakan kerajaan negeri untuk meminda perlembagaan negeri sebagai muslihat politik.

Ini kerana, katanya, kerajaan negeri sebenarnya telah tahu awal-awal lagi bahawa pindaan tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai majoriti dua pertiga DUN.

“Jadi apakah yang sebenarnya mahu dibawa oleh kerajaan negeri?” soal beliau yang menggantikan Dr Khir sebagai ketua pembangkang.

Khalid bercadang membawa isu pindaan berkenaan untuk semakan kehakiman.

“Saya mahu buat perubahan. Perubahan ini perlu. Saya tahu politik banyak permainan tapi pengurusan (berlainan), kalau tidak, tak dapat ukur kecekapan (pentadbiran),” katanya semasa menggulung perbahasan usul pindaan perlembagaan.

Khalid mahu melangkah ke seluruh Selangor termasuk di kawasan kerusi BN untuk menerangkan isu pindaan itu yang mana kerajaan PR sudah berusaha sedaya upaya untuk memartabatkan institusi raja dengan mengembalikan kuasa Sultan tapi gagal.

“Saya berharap kita bersama-sama belajar. Mengapa kita tak buat perubahan. Kita jaga Selangor, kita wakil rakyat. Takkanlah kita nak benarkan (kerajaan) persekutuan halang pembangunan (negeri ini), katanya.

Beliau berkata apa yang berlaku semalam adalah sejarah dan akan direkodkan dalam hansard Dewan dan akan dikenang dan boleh dibuat rujukan supaya masa depan negara kita akan lebih baik dan terbuka.

Prof A. Aziz Bari, yang merupakan salah seorang daripada dua pakar yang menasihati kerajaan negeri dalam pindaan perlembagaan kali ini berkata, “rakyat dapat melihat perspektif sebenar di sebalik perkembangan isu ini.”

“Rakyat dapat melihat ‘grand design’ Umno selama ini dalam mengehadkan kuasa istana dan institusi diraja selama ini.

“Berdasarkan pada kandungan ucapan Menteri Besar dan wakil rakyat-wakil rakyat yang menyertai perbahasan, orang ramai dapat melibat siapa yang berada dalam kedudukan sebenar,” kata ahli akademik ini merujuk kepada pindaan perlembagaan pada 1993.

Malah penganalisis politik ini juga melihat perkembangan semasa sebagai hala tuju ke arah “landskap politik baru” negara ini selepas tsunami politik Mac 2008.


Tiada ulasan: