HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Januari 2011

Pemerdagangan manusia melalui SMS

Identiti pengirim ‘jemputan’ jelas sekali tidak didedahkan dan mencurigakan, selain kesahihan isi kandunganya.

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Jahid Jahim, berkata ‘jemputan’ yang berunsur seks seperti yang dipaparkan melalui iklan dan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) boleh mengundang kepada jerat kegiatan pemerdagangan
manusia.

Katanya, ‘jemputan’ sedemikian memang mudah mempengaruhi para belia memandang belia adalah sasaran paling ramai, apatah lagi bagi mereka yang kurang mendekatkan diri dengan aktiviti berfaedah dan ajaran agama.

“Dari sudut pandangan Kementerian, kita mengharapkan para belia remaja agar tidak sekali-kali melayan ‘jemputan’ sedemikian sama ada dalam bentuk panggilan telefon mahupun SMS kerana ia boleh mengundang kepada kemudaratan termasuk aspek keselamatan,” jelas Jahid.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi tentang perihal kenyataan laporan akhbar tempatan yang berjaya mengaitkan iklan ‘massage’ dengan khidmat seks.

Tambah beliau, identiti pengirim ‘jemputan’ jelas sekali tidak didedahkan dan mencurigakan, selain kesahihan isi kandunganya.

“Paling penting ialah kandungan maklumat yang disampaikan jelas amat bertentangan dengan etika dan agama, oleh itu jangan respon,” tegas Jahid lagi.

Justeru katanya, banyak ruang yang boleh didampingi dan memberi manfaat selain melayan ‘jemputan’ yang tidak bermoral misalnya program-program belia yang banyak dianjurkan oleh Kementerian beliau.

Sementara itu, baru-baru ini hasil tinjauan Utusan Borneo mendapati terdapat banyak iklan ‘massage’ yang ditampal di sekitar

Bandaraya Kota Kinabalu dimana akhirnya mendapati ‘massage’ tersebut mempunyai mesej yang mengundang kepada aktiviti seks.

Ketua Polis Bandaraya, Asisten Komisioner Sofi Ahmad Zakaria ketika ditemui berkata pihaknya akan memantau perkara tersebut berdasarkan maklumat yang diperolehi, dan akan mengambil tindakan sekiranya hasil siasatan mendapati anasir sedemikian wujud, termasuk premis yang menyediakan khidmat refleksologi yang berlesen.

Tiada ulasan: