HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Mac 2011

Interlok: TPM setuju laksana kesemua 105 pindaan, kata wakil kaum India

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Tiga wakil kaum India dalam panel bebas novel Interlok yang mencetuskan kontroversi berkata, Timbalan Perdana Menteri ada memberi jaminan semalam kesemua 105 pindaan termasuk kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara menyentuh sensitiviti kaum India akan dilaksanakan.

Kesemua pindaan itu diperakukan oleh panel bebas secara konsensus pada 4 Mac lalu.

“Pindaan itu akan dilakukan dalam tiga bentuk iaitu gugur atau ganti frasa atau perkataan yang salah atau silap; errata iaitu senarai pembetulan fakta dan kesilapan suntingan; dan glosari sedia ada ditambah bagi memperjelaskan beberapa huraian dan konsep,” kata kenyataan mereka yang disiarkan menerusi blog salah seorang wakil berkenaan, Uthaya Sankar SB.

Dua wakil yang lain ialah Dr N. S. Rajendran dan G. Krishnabahawan.

Kata kenyataan itu, sejak “berundur” daripada panel bebas pada 16 Mac lalu, mereka bertiga tidak menghadiri apa-apa mesyuarat “panel bebas” berkaitan walaupun satu mesyuarat seumpama itu diadakan di Menara DBP di sini, semalam.

“Pada pukul 12 tengah hari, 23 Mac 2011 (semalam), kami bertiga memenuhi undangan ke perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri (Menteri Pelajaran) di menara Parlimen.

“Perjumpaan itu turut dihadiri Presiden MIC, Datuk G Palanivel dan timbalannya, Datuk Dr S Subramaniam, serta (pemerhati) Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Ravin Ponniah,” tambah kenyataan tersebut.

Ia menjelaskan bahawa beberapa individu lain turut hadir dan “pendirian tegas dan satu suara jelas antara kami berlima iaitu tiga wakil kaum India dan dua pemimpin MIC.”

“Permintaan dan pendirian kami adalah tetap sama,” kata kenyataan.

Panel itu memperakui kesemua 106 pindaan tetapi difahamkan satu perkara telah digugurkan oleh wakil kaum India itu pada pertemuan semalam.

Dalam pada itu, Palanivel menerusi kenyataannya memberitahu, panel yang bertemu semalam telah bersetuju untuk menggugurkan beberapa perkataan yang sensitif daripada novel Interlok tetapi menegaskan untuk “mengekalkan peribahasa dan frasa-frasa.”

“Kesemua wakil kaum India dalam panel menyuarakan pendirian mereka dalam perkara dan menekankan bahawa peribahasa-perbahasa yang baki dan frasa-frasa terbabit juga digugurkan,” katanya.

Palanivel berkata beliau telah memaklumkan mesyuarat bahawa perkataan-perkataan, frasa-frasa dan peribahas terbabit tidak dapat diterima dengan baik oleh masyarakat.

“Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin telah bersetuju untuk mengubah bahagian-bahagian yang dibantah,” kata Palanivel sambil menambah, “wakil kaum India dalam panel juga mahu melihat versi yang dipinda sebaik sahaja ia sedia ada.”

Terdahulu, Muhyiddin ketika bercakap di Parlimen berkata, kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Panel Bebas) yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan “tali” dipinda kepada “taali”.

“Daripada 19 perkara yang boleh dianggap sensitif ini pula, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis telah bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (Paria) dalam novelnya.

“Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata daripada 13 perkara yang berbaki, tujuh perkara dapat diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan “errata” di dalam novel terbabit bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India.

Katanya, enam perkara lain juga telah dapat diselesaikan kerana penulis sekali lagi telah bersetuju untuk meminda perkata “tuhan” kepada perkataan “dewa” dan menggugurkan frasa “orang berkulit hitam” daripada novel itu.

“Oleh yang demikian, kesemua ahli panel termasuk wakil masyarakat India telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit untuk membuat suntingan yang wajar kepada novel ini dalam cetakan akan datang,” katanya.

Selain itu, katanya, kementerian akan menyediakan satu glosari untuk memperjelaskan beberapa frasa dan konsep yang terkandung dalam novel Interlok bagi memudahkan murid memahami teks dan konteks novel yang memaparkan kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita.

Tiada ulasan: