JASIN— Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan PAS memberikan tumpuan utama ke atas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau berbanding Merlimau.
Sebaliknya Presiden PAS itu menegaskan parti Islam itu memberi tumpuan kepada kedua-dua kerusi pilihan raya kecil tersebut.
“Itu tak betul... itu bohong, siapa kata?
“Siapa kata PAS lebih fokus kepada Kerdau? Kalau tiada siapa kata jangan beri kata,” tegas Hadi kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, tidak timbul PAS memberikan tumpuan terhadap Kerdau sahaja kerana jentera parti telah dibahagikan dengan sebaiknya.
“Kita bahagi tugas, di Kerdau (jentera) dari Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak sedikit.
“Di Melaka pula negeri-negeri sebelah selatan, kalau kata kita fokus kepada Kerdau itu tak betul... itu tak betul,” katanya.
PAS dilihat memberikan fokus untuk mencapai kemenangan di Kerdau berbanding Merlimau yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Jika melihat pencapaian di kedua-dua kawasan itu, PAS dilihat lebih berpeluang untuk memenangi pilihan raya kecil DUN Kerdau yang mana pada pilihan raya umum 2008 calon PAS Hasanuddin Salim, Ketua Penerangan PAS Pahang tewas dengan majoriti sebanyak 1,615 undi kepada calon BN Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang telah meninggal dunia pada 12 Februari lalu.
Di Merlimau pula calon PAS Jasme Tompang, Yang Dipertua PAS Jasin tewas kepada calon BN Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dengan majoriti 2,154 undi.
Malah pemimpin utama PAS termasuk Hadi dilihat lebih banyak berada di Kerdau berbanding di Merlimau yang mana bekas menteri besar Terengganu itu berada di kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau buat pertama kali malam tadi.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang yakin pengundi-pengundi di Kerdau dan Merlimau akan buat kejutan pada pilihan raya kecil itu.
“Yang pertama kita yakin sokongan kita bertambah walaupun pilihan raya tidak seimbang kerana kita punya kempen terhad jika hendak dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN).
“Dia (BN) dapat gunakan media arus perdana khususnya RTM, TV3 masuk tiap-tiap rumah, ini adalah jentera kerajaan yang tak patut digunakan dalam amalan demokrasi . . . kalau nak guna bagi semua parti politik jangan dia sahaja,” kata Hadi.
Walaupun agak sukar untuk menang, namun Hadi berkeyakinan perubahan akan berlaku seperti mana pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya merampas negeri Selangor, Kedah dan Pulau Pinang dengan mengekalkan Kelantan di bawah pentadbiran PAS.
“Ceramah kita terhad, orang hadir juga terhad, ada gangguan, apa peraturan, ada undang-undang yang sebabkan rakyat tak berani nak hadir bila polis ramai.
“Namun demikian kita percaya keadaan boleh berubah kerana perubahan pernah berlaku pada 2008, kita pernah pertahankan Bukit Gantang, Permatang Pauh, Bukit Selambau dan menang di Kuala Terengganu.
“Itu menandakan perubahan boleh berlaku dengan syarat peluang untuk kita berkempen lebih luas,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan