HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Mac 2011

MP Titiwangsa mahu akta Kg Baru ditarik balik ‘sepenuhnya’



Dr Lo’Lo berkata majoriti pemilik dan pewaris Kampung Baru telah menolak rang undang-undang tersebut. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’Lo Mohamad Ghazali mahu Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 ditarik balik “sepenuhnya”, bukannya ditangguhkan bacaan buat kali kedua di Parlimen sehingga Jun ini.

Ia sepatutnya dibacakan buat kali kedua pada sesi yang bermula esok, tetapi ditangguhkan ekoran protes pemilik dan pewaris.

Wakil rakyat PAS itu berkata. kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang menangguhkan rang undang-undang tersebut, yang diumumkan Selasa lalu memang dialu-alukan.

Bagaimanapun kata beliau, pemilik dan pewaris Kampung Baru yang majoriti menolak Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 mahukan ia ditarik sepenuhnya terlebih dahulu kerana telah dibentangkan untuk bacaan pertama Disember lalu.

“Ini (penting) untuk memastikan kenyataan yang dikeluarkan menteri dilaksanakan dan bukan hanya untuk menyedapkan hati orang Kampung Baru seperti mana yang berlaku sebelum ini di mana Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 telah terlebih dahulu dibentang di Parlimen baru menteri turun jumpa orang-orang Kampung Baru tidak seperti janji dan kenyataan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

“Kenyataan Raja Nong Chik yang menyatakan 90 peratus orang Kampung Baru bersetuju dengan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan adalah sangat tidak tepat dari realitinya jika melihat bantahan-bantahan yang dizahirkan melalui kain rentang yang dinaikkan oleh penduduk Kampung Baru,” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Dr Lo’Lo juga berharap selepas ditarik balik sepenuhnya barulah Ketua Setiausaha kementerian dan jawatankuasa yang ditubuhkan berjumpa dan berbincang dengan pemilik dan pewaris dan bukan hanya wakil-wakil pertubuhan,” kata beliau lagi.

Dalam komen kepada The Malaysian Insider disiarkan Khamis lalu, Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru Shamsuri Suradi berkata, Putrajaya memutuskan untuk menggugurkan peruntukan kontroversi - imuniti “tidak boleh dicabar” yang terkandung dalam Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 ekoran bantahan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Peruntukan itu, yang tidak membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas perbadanan baru yang akan ditubuhkan, anggota atau pekerjanya, merupakan antara beberapa perkara yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan pemilik dan pewaris penempatan Kampung Baru selepas ia dibacakan kali pertama di Parlimen Disember lalu.

The Malaysian Insider difahamkan rang undang-undang itu juga mewajibkan sesuatu pendakwaan bagi mana-mana kesalahan tidak boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan bertulis pendakwa raya.

Rang undang-undang itu sepatutnya dibacakan kali kedua pada sidang Parlimen kali ini, yang bermula Isnin ini, tetapi ditangguhkan sehingga Jun.

Selasa lalu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 sehingga bulan Jun bagi mengemaskan beberapa perkara dan memberi ruang kepada pemilik dan pewaris memberikan pandangan.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan beberapa klausa dalam rang undang-undang itu diperhalusi.

“Ia juga untuk memberi ruang kepada pemilik dan pewaris agar lebih memahaminya,” kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan wakil pemilik dan pewaris Kampung Baru di Putrajaya.

Selain MAS, Umno Titiwangsa mahu kuasa mutlak dalam akta yang digubal khusus untuk membangunkan Kampung Baru, penempatan orang Melayu paling mahal di ibu negara, dikaji balik dan “kena diubah sedikit” supaya tidak merugikan pemilik dan pewaris dalam jangka panjang.

Pemangku ketuanya Datuk Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu perlu memandangkan pemilik dan pewaris bimbang dengan kuasa menteri yang kelihatan mutlak dan tidak boleh dipertikaikan jika wujud masalah kelak.

Dalam pada itu, menurut Dr Lo’Lo, kebanyakan orang Kampung Baru telah diberi penerangan secara terperinci dan memiliki salinan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 untuk mereka teliti dan memahami dengan ini mereka boleh memberi cadangan klausa-klausa mana yang tidak mereka setuju atau mahu dibuat bantahan,” katanya lagi.

Menurut beliau, sebanyak enam majlis penerangan telah diusahakan oleh Sekretariat Pembangunan Kampung Baru di bawah Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa dan “saya sendiri selaku wakil rakyat dalam memberi penerangan dan berdialog dengan pemilik dan pewaris Kampung Baru.”

“Saya yakin kini orang Kampung Baru mampu untuk mencadangkan pandangan dan idea-idea mereka tentang pembangunan Kampung Baru terutama di kalangan generasi muda mereka,” katanya.

Sehubungan itu beliau mencadangkan setiap kampung pilih 10 wakil untuk perbincangan dengan jawatankuasa yang dilantik kementerian.

Katanya, MAS hendaklah diwakili sepenuhnya oleh ahli-ahli lembaga dan ketua-ketua kampung.

Dr Lo’Lo juga mengingatkan kementerian terbabit supaya tidak samakan MAS dengan NGO kerana ia adalah satu entiti ‘kerajaan tempatan’ yang ada enakmen tersendiri dan jauh berwibawa berbanding badan-badan bukan kerajaan lain yang sebenarnya tidak mewakili suara majorirti penduduk.

“Lembaga MAS melalui ketua-ketua kampung kena segera mengadakan perbincangan dengan penduduk masing-masing supaya persiapan yang rapi sebelum perjumpaan dan perbincangan dengan jawatankuasa yang dilantik menteri akan membantu MAS dan wakil-wakil kampung ke arah persiapan tersebut.

Kata beliau, selepas selesai semua perbincangan dengan pemilik dan pewaris barulah perbadanan yang baru diwujudkan dengan persetujuan kesemua wakil-wakil tersebut.

“Sebagai wakil rakyat saya masih berpegang dan yakin satu Badan Amanah perlu diwujudkan dan MAS dinaik taraf untuk menjaga amanah geran hartanah Kampung Baru kerana walau bagaimanapun PPKB yang akan diwujudkan semula tetap akan berkonsepkan entiti perniagaan seperti Perbadanan Putrajaya dan lain-lain perbadanan dengan ini boleh menimbulkan konflik kepentingan antara menjana keuntungan dengan menjaga amanah pemilik dan pewaris.

“Setelah semua proses ini selesai dan draf Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 dan cadangan penubuhan Badan Amanah dipersetujui dan dikemukakan semula kepada pewaris dan pemilik barulah boleh dibentangkan di Parlimen oleh menteri,” kata beliau.

Dr Lo’Lo berkata, beliau juga sangat berharap pihak menteri memberi peluang kepadanya sebagai wakil rakyat untuk terlibat secara langsung dengan penyediaan rang undang-undang terbabit dan majlis perbincangan yang akan diadakan sebab mahu tidak mahu “saya sudah pasti mesti melibatkan diri sebagai wakil rakyat yang telah diberi amanah oleh penduduk Titiwangsa.”

Tiada ulasan: