HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Mac 2011

Shah Rukh Khan sedia jadi duta kecil promosi Malaysia

MOHD Ali bersalaman dengan Shah Rukh di Bandar Baru Sungai Udang, Melaka, kelmarin.

MOHD Ali bersalaman dengan Shah Rukh di Bandar Baru Sungai Udang, Melaka, kelmarin.
MELAKA TENGAH: Artis Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan bersedia menjadi duta kecil untuk mempromosikan Malaysia khususnya Melaka kepada masyarakat dunia menerusi filem yang dilakonkannya di negara ini.

BERITA HARIAN ONLINE

Ketika ditemui selepas majlis minum petang di Bandar Baru Sungai Udang, dekat sini, petang kelmarin, dia berkata, negara ini menawarkan tempat menarik dan sesuai untuk rakaman pelbagai genre filem.

Katanya, penggambaran filem terbarunya, DON 2, di negeri ini selain Pulau Langkawi dan Kuala Lumpur sejak hampir sebulan lalu, adalah antara sebab beliau berbuat demikian.
“Malah sejak dianugerahkan gelaran Datuk (pada Oktober 2008), ia seolah-olah sudah memberi pengiktirafan kepada saya sebagai duta kecil. Sebelum ini pun, saya memang suka datang ke negara ini, khususnya Melaka,” katanya.

Shah Rukh kembali semula ke negeri ini kelmarin untuk menghabiskan babak lakonan terakhirnya di negeri ini selepas tamat penggambaran selama tujuh hari di Pulau Langkawi. Selepas di sini, dia menuju ke Kuala Lumpur untuk menyambung penggambaran selama tiga hari sebelum dijangka pulang ke New Delhi, Ahad ini.

Filem DON 2 arahan Farhan Akhtar dengan kos bernilai hampir RM50 juta itu bakal disiarkan serentak di 32 negara pada 23 Disember ini.

Shah Rukh dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) Kehormat sempena hari jadi rasmi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob. Beliau bagaimanapun datang mengambil anugerah itu pada awal 2009.

Mengulas lanjut, Shah Rukh berkata, dia gembira dan seronok kerana sentiasa mendapat layanan baik serta mesra daripada penduduk negara ini, khususnya di tiga lokasi pembikinan filem barunya itu.

Katanya, sebagai membalas jasa baik penduduk Malaysia, dia berjanji akan kembali ke sini, khususnya ke negeri ini untuk penggambaran filem bertema romantik di sekitar Bandaraya Melaka Bersejarah.

“Walaupun cuaca di sini agak panas semua orang di sini begitu baik sekali. Jadi, saya pasti memilih negeri ini sebagai lokasi penggambaran filem terbaru nanti kerana Melaka terlalu menarik.

“Apabila anda pergi ke suatu tempat dengan orang sekelilingnya baik, anda patut melawat ke tempat itu berulang kali,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ali mengucapkan terima kasih kepada Shah Rukh kerana memilih Melaka sebagai lokasi penggambaran DON 2.

“Saya akan tunggu Shah Rukh datang semula untuk membuat penggambaran di Sungai Melaka pula. Saya rasa mungkin satu hari nanti dia boleh mengadakan penggambaran filem Melayu bertaraf antarabangsa,” katanya.

Mohd Ali turut memberikan cenderamata kain batik kepada Shah Rukh dan pengurus peribadinya di Malaysia, Datuk Lorna Enan Muloon.

Tiada ulasan: