HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 April 2011

109 pendatang lari selepas bakar depot Lenggeng

BERNAMA

Seramai 109 pendatang tanpa izin dari Depot Tahanan Imigresen Lenggeng merusuh dan membakar sebuah bangunan sebelum
melarikan diri pada 9.45 malam tadi.

Sehingga tengah hari tadi, pihak berkuasa yang menggunakan helikopter serta anjing pengesan, berjaya menangkap 23 daripada mereka.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abdul Manan Mhd Hassan berkata, perusuh telah membakar sebuah bangunan tahanan dalam depot itu dan mengambil kesempatan untuk merempuh pagar 10 meter dari blok yang terbakar itu untuk melarikan diri ke dalam satu kebun kelapa sawit.

"Kita telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat bagaimana mereka memperoleh api untuk memulakan kebakaran," katanya kepada pemberita di depot itu hari ini.

Abdul Manan berkata beliau yakin ramai lagi tahanan akan dapat ditangkap kerana semasa kejadian, mereka hanya mampu bersembunyi di dalam hutan yang gelap dan pada waktu siang, sekatan jalan raya, rondaan kereta polis serta tinjauan unit udara akan menghalang mereka mendapatkan bantuan pengangkutan awam.

Katanya sebahagian besar pendatang yang melarikan diri terdiri daripada rakyat Myanmar dan hanya sebilangan kecil dari Bangladesh, Nepal, Iran, Vietnam dan Thailand.

"Selepas siasatan kita mendapati tahanan merusuh disebabkan berlaku kesesakan dalam blok yang mereka duduki selain memberi alasan tidak berpuas hati dengan makanan yang disediakan serta kerana proses tahanan yang terlalu lama," katanya.

Ada tahanan yang menunggu proses penerimaan oleh negara ketiga melalui Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dan proses ini biasanya mengambil masa terlalu lama sehingga menyebabkan mereka hilang sabar, katanya.

"Ada tahanan yang sudah berada di depot sehingga 12 bulan," katanya.

Semasa kejadian, depot itu menempatkan 348 orang tahanan lelaki dan 192 tahanan perempuan.

Pendatang perempuan bagaimanapun tidak terlibat dalam kejadian itu, katanya.

Sebanyak empat jentera bomba digunakan untuk mengawal kebakaran dan tiada kecederaan yang berlaku.


Tiada ulasan: