HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 April 2011

Alkitab: Pemimpin Kristian sangsi pusat akan kotakan janji


KUALA LUMPUR — Pemimpin komuniti Kristian di Semenanjung dan Sarawak menyambut penyelesaian 10 formula Putrajaya diumumkan semalam untuk mengakhiri kemelut Alkitab, tetapi mereka mengharapkan hasil dalam bentuk tindakan yang sewajarnya, bukan hanya kata semata-mata.

Biskop Anglikan dari Kuching, Bolly Lapok, berkata beliau terkejut dengan “kemurahan hati” dan “sensitiviti” yang diperlihatkan oleh kerajaan persekutuan berhubung dilema tiga dekad ini.

“Komuniti Kristian mengalu-alukan (keputusan semalam) meskipun ia hanya ubat bagi satu simptom,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Lapok berkata, beliau lega apabila melihat kerajaan pusat menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan pertikaian yang sudah lama berlarutan.

“Ia satu jaminan. Tetapi kita pernah melihat jaminan seperti ini masa-masa lalu,” kata beliau sambil merujuk kepada peraturan yang berbeza bagi pengikut Kristian di Semenanjung dan di Sabah dan Sarawak.

Naskhah yang digunakan di Semenanjung perlu membawa perkataan “Penerbitan Kristian” dan diletakkan tanda salib.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, kerajaan pusat mengumumkan 10 langkah, antaranya kitab Injil dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia atau Indonesia boleh diimpot ke Malaysia.

Selain itu, Putrajaya juga memutuskan Alkitab juga boleh dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah perkembangan baru yang seharusnya diterima dengan senang oleh kumpulan Kristian,” kata Idris.

Bagaimanapun, bagi menghormati komuniti Islam yang besar di Semenanjung, kitab Injil dalam Bahasa Malaysia/Indonesia mesti tertera dengan “Penerbitan Kristian” (“Christian Publication”) dan tanda Salib pada kulit hadapan.

Demi semangat 1 Malaysia dan akuan bahawa ramai yang berhijrah antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, tidak terdapat larangan bagi mereka yang membawa kitab Injil dan bahan bacaan Kristian semasa melawati negeri-negeri tersebut.

Idris berkata, “adalah harapan saya agar jalan penyelesaian yang berdasarkan 10 aspek yang telah dikemukakan diterima oleh kumpulan Kristian secara positif, adil dan munasabah.”

Dalam kenyataannya, Lapok menambah, masyarakat Kristian berdoa agar tahap pemahaman dan harmoni di kalangan masyarakat pelbagai akan meningkat mengatasi pertikaian yang wujud.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Bible Society of Malaysia, Rev Simon Wong kekal sangsi sama ada kerajaan persekutuan akan mengotakan janjinya.

“Datuk Seri Idris Jala kemungkinan ikhlas, tetapi sejauh mana kerajaan BN boleh dipercayai?” soal Wong.

Kata beliau, Kementerian Dalam Negeri mempunyai rekod melanggar kata-kata mereka sendiri termasuk”mengganggu” pencetak tempatan yang mencetak kitab dan menahan kitab meskipun perjanjian pernah dicapai.

“Kementerian Dalam Negeri pernah menahan pencetak-pencetak tempatan sebelum ini. Situasi sama pada 2005, tetapi Kementerian Dalam Negeri tidak pernah menghargai, 20 Mac 2009, kementerian menahan kitab-kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang dicetak perkataan Penerbitan Kristian dan diletakkan tanda salib,” kata Wong.

Bible Society of Malaysia yang berpejabat di Petaling Jaya adalah satu daripada dua pengimport yang terlibat dalam pertikaian semasa.

Satu lagi pengimport ialah The Gideons.

“Mereka menyusahkan hidup buat kami selama dua tahun. Malah, sebelum melepskan Alkitab, mereka cap dan meletakkan nombor siri secara unilateral,” kata beliau sambil menambah, tindakan itu bukan sahaja menyebabkan tekanan malah kerugian sebanyak RM70,000.

“Selepas pilihan raya negeri Sarawak atau pilihan raya umum, kami bimbang kerajaan akan kembali kepada cara lama meskipun ada garis panduan,” katanya lagi.

Sebagaimana dikatakan oleh Lapok, Wong mahu kerajaan persekutuan hanya mengguna pakai satu dasar untuk membuktikan komitmennya mempertahankan kebebasan beragama yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, selari dengan gagasan 1 Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Lebih baik terima pakai satu dasar bagi satu Malaysia, tiada halangan, tiada pengharaman,” katanya.

Rev Thomas Phillips dari gereja Mar Thoma di sini berkata, kenyataan Idris adalah “sesuatu yang menggalakkan” tetapi beliau mempersoalkan waktu ia hendak dilaksanakan.

“Mengapa selepas begitu lama?” soal beliau, yang juga anggota majlis Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).

“Banyak yang perlu kerajaan lakukan untuk memenangi hati rakyat. Ia seharusnya 1 Malaysia, satu dasar. Setiap orang harus ada kebebasan untuk beragama mengikut agama mereka sendiri,” kata Phillips yang juga Presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao.

Tiada ulasan: