HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 April 2011

Lynas sambut baik Putrajaya lantik pakar antarabangsa

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Lynas Malaysia Sdn Bhd berkata kajian semula panel bebas terhadap kilang nadir bumi di Gebeng akan membantu menangani kebimbangan orang ramai terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar berhubung projek itu.

“Lynas yakin kajian itu akan mengesahkan semula yang kilang itu selamat dan tidak membahayakan kepada komuniti atau pekerja Lynas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dipetik Bernama Online, Lynas berkata syarikat difahamkan bahawa kajian akan siap dalam masa sebulan dan dipercayai tidak akan memberi kesan dengan jangkaan tarikh siap projek itu.

“Lynas terus bekerja dengan pihak berkuasa Malaysia termasuk Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan pembinaan projek terus memenuhi semua keperluan dan mematuhi standard antarabangsa,” kata syarikat itu.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, satu panel bebas akan ditubuhkan secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan Lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu, yang ditubuhkan susulan maklum balas daripada orang ramai, katanya.

Mustapa berkata sehingga kajian itu selesai, dan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom.

Syarikat itu juga tidak dibenarkan untuk mengimport bahan mentah dari Australia sementara kerajaan membuat keputusan terhadap hasil kajian itu.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membuat keputusan mengenai projek itu, katanya dan menambah, semakan semula akan dilakukan bagi memastikan pembinaan kemudahan itu mematuhi sepenuhnya standard keselamatan antarabangsa, katanya.

Mustapa berkata kesihatan dan keselamatan oramg ramai dan alam sekitar terus diutamakan oleh kerajaan.

Tiada ulasan: