KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz hari ini menyokong cadangan supaya rakaman video aksi seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin parti pembangkang ditayangkan di Parlimen.
Nazri (gambar) berkata ia bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan Speaker Dewan Rakyat kerana hanya beliau mempunyai kuasa menentukan sesuatu keputusan dalam dewan.
“Tapi kita bimbang kalau benda ini ditayang, adakah ia akan melanggar undang-undang,” kata Nazri dipetik Bernama Online hari ini.
“Kalau nak tayang di Parlimen, di mana? Kalau di pekarangan Parlimen susah nak dapat imuniti, kena tanya speaker dulu sebab dia yang tentukan, tak payah buat usul, minta sahaja kepada speaker,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Kali Kelima Jabatan Peguam Negara Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura di Langkawi hari ini.
Semalam, Pengerusi DAP Karpal Singh mencadangkan supaya rakaman video berkenaan ditayangkan di Parlimen.
Karpal berkata video itu perlu ditayangkan bagi membolehkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk semua ahli Parlimen mengenal pasti identiti individu lelaki dalam rakaman terbabit.
Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ketika ditanya daripada sudut undang-undang mengenai penayangan video itu berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana masih belum mendapat kertas siasatan daripada Ketua Polis Negara.
“Ini sangat kontroversi, saya cadangkan baca Akta Penapisan Filem kerana ada dinyatakan betul-betul apa yang menjadi kesalahan... dalam akta itu memang ada tapi bergantung kepada jenis kes.
“Dalam kes ini tak boleh nak komen lagi sebab belum terima kertas siasatan, polis tak serahkan lagi sebab ada sedikit siasatan lagi,” katanya.
Dalam kenyataannya, Karpal menyeru pihak berkuasa menayangkan video seks yang didedahkan “Datuk T” di Parlimen kerana ia mempunyai imuniti untuk melindungi ahli parlimen daripada sebarang liabiliti jenayah.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, mendedahkan video itu untuk tatapan umum merupakan kesalahan mengikut Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, katanya, jika ditayangkan di Parlimen akan memberi imuniti kepada wakil rakyat daripada sebarang liabiliti jenayah atau lain-lainnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan