KUALA LANGAT : Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor meneruskan usaha melicinkan pentadbiran di kawasan desa untuk memudahkan pembangunan dibawa ke kawasan itu, selaras dengan kerancakkan aktiviti berkenaan di bandar.
Program Jelajah Pemerkasaan Desa (PERSADA) 2011 Peringkat Daerah Kuala Langat yang diadakan di Dewan Sri Jugra semalam misalnya, merupakan langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan negeri dalam memastikan komunikasi dua hala antara pemimpin desa dan kerajaan negeri dapat diwujudkan.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, program anjuran kerajaan negeri ini menumpukan usaha memberikan penerangan dan motivasi kepada wakil masyarakat desa mengenai usaha pembangunan dan program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri supaya dapat dimanfaatan oleh penduduk.
“Program ini adalah salah satu program yang telah kita lakukan untuk memberikan motivasi kepada pemimpin-pemimpin desa tentang bagaimana mereka akan terlibat dalam pembangunan negeri Selangor ini.
" Dengan adanya ketua-ketua kampung, mereka akan mengetahui perkembangan kemajuan negeri Selangor, di samping program-program merakyatkan ekonomi Selangor, dan bagaimana mereka boleh membantu membangunkan kampung mereka sesuai dengan kerancakkan pembangunan Negeri Selangor,” jelas Khalid.
Menurut beliau, dalam tempoh 15 tahun akan datang, kawasan-kawasan di negeri Selangor akan mengalami perubahan besar sejajar dengan kepesatan pembangunan negeri.
“Saya nak ingatkan kita semua, pembangunan desa ini mesti sentiasa dibincangkan kerana perubahan sangat rapi dan cepat berlaku. Dianggarkan dalam 15 tahun akan datang hampir 90 peratus kawasan-kawasan di negeri selangor ini akan menjadi kawasan bandar,” katanya.
Tambah khalid, masyarakat desa perlu bersedia dengan perubahan yang bakal berlaku di samping peningkatan hasil ekonomi yang lebih baik daripada apa yang diperolehi sekarang.
“Saya telah mengingatkan mereka bahawa negeri Selangor ini tidak beberapa lama lagi akan menjadi bandar dan bukan lagi desa. Dan bagaimana rakyat desa menyesuaikan diri untuk menerima pembangunan itu dan mendapat hasil yang lebih baik daripada yang ada sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid turut menyeru rakyat Selangor supaya memanfaaatkan sebaiknya peluang yang ada untuk membangunkan ekonomi keluarga memandangkan rakyat boleh terus berhubung dengan kerajaan negeri tanpa bantuan orang tengah.
“Saya bersama rakan-rakan berpeluang menerajui kerajaan negeri Selangor yang saya dapati peluang untuk rakyat Selangor sangat besar, terpulang kepada semua bagaimana untuk memajukan keluarga kita.
"Pada dasarnya kerajaan negeri tidak lagi ada orang tengah dengan rakyat. Kerajaan berpendapat rakyatlah yang kita hampiri dan tidak perlukan orang tengah untuk berhubung di antara negeri dengan rakyat,” katanya.
Program anjuran Pejabat Daerah Kuala Langat yang bermula seawal jam 8.00 pagi semalam mendapat sambutan menggalakkan dengan dihadiri oleh 100 wakil ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Wanita dan Belia Desa.
Program ini juga akan diteruskan ke semua sembilan daerah di negeri ini dalam usaha menyedarkan rakyat akan perubahan ekonomi negara dan pembangunan yang bakal dikecapi pada masa akan datang.
Turut hadir pada program berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari, Adun Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Adun Telok Datuk, Philip Tan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan