HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Oktober 2011

Hubungan komunis: Umno hipokrit, kata Mahfuz

Salhan K Ahmad
Ahli parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan tindakan Umno yang membuat perjanjian persefahaman dengan kerajaan komunis China tetapi membangkitkan sentimen untuk mengaitkan pembangkang dengan komunisme.

NONEMahfuz (kanan) berkata, Umno bertindak “hipokrit” dengan bertindak demikian walhal parti itu membuat hubungan dengan Parti Komunis China yang didakwa banyak menyokong Parti Komunis Malaya sebelum ini.

"Sesiapa yang cuba angkat perjuangan komunis dianggap pengkhianat sedangkan dalam masa sama Umno jalinkan hubungan dengan komunis China.

"Banyak pemimpin Parti Komunis Malaya ini telahpun berhijrah ke China dan dapat perlindungan di China. Jadi apa perlu Umno adakan hubungan tersebut?

"Inilah hipokrasi politik umno dalam isu Mat Indera (bawah) yang kaitkan (pembangkang) dengan komunis, sedangkan perbincangan kami adalah untuk memperbetulkan sejarah," kata Mahfuz lagi dalam sidang media di parlimen hari ini.

mat inderaBeliau mengulas perkara itu kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan timbalan menteri luar negeri di Dewan Rakyat sebelum itu.

Dalam soalannya, Mahfuz bertanya sama ada kerajaan maklum bahawa memorandum persefahaman yang ditandangani Umno pada Ogos lalu itu dibuat dengan parti komunis "yang bekal senjata kepada Parti Komunis Malaya dan mungkin juga bunuh polis Bukit Kepong?"

Dalam jawapannya, timbalan menteri dalam negeri, Datuk Richard Riot sekadar berkata China kini berbeza kerana mengamalkan dasar pintu terbuka.

"Dulu (tafsiran negara) komunis adalah ideologi guna pintu tertutup, tapi sekarang komunis pun dah buka negara mereka," katanya lagi.

Maka, tidak timbul masalah untuk membuat hubungan dengan negara berkenaan, kata ahli parlimen Serian itu lagi.

Projek feedlot RM73j diakui untuk keluarga Shahrizat

Salhan K Ahmad
Menteri pertanian dan industri asas tani, Datuk Seri Noh Omar mengakui bahawa projek Pusat Feedlot Kebangsaan bernilai RM73.64 juta yang digambarkan dalam keadaan "kacau-bilau" oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 telah diberikan kepada anggota keluarga seorang menteri kabinet.

Ketika ditanya, Noh mengakui bahawa projek berkenaan telah diberikan kepada anggota keluarga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

NONENamun, Noh (kanan) menjelaskan bahawa penganugerahan projek berkenaan dibuat tanpa melanggar apa-apa peraturan.

"Ya, apa salahnya kalau dia meniaga dan dia bukan kerja direct nego (rundingan terus)?" soal Noh kembali ketika ditanya mengenai projek yang menurutnya telah dianugerahkan melalui "tender terbuka" itu.

Ditanya lanjut dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini, Noh bagaimanapun bersetuju bahawa projek berkenaan telah diberikan secara tender terhad.

"Cara pemilihan syarikat yang dipilih untuk program National Feedlot ini bukan diberi secara rundingan terus. Semasa dibuka projek ini, ada enam syarikat buat persembahan kepada pihak jawatankuasa," katanya.

Daripada enam syarikat berkenaan, jawatankuasa kementerian pada 2006 telah memilih Agro Science Industries Sdn Bhd dan sebuah syarikat Australia, Lambert Malaysia Sdn Bhd.

"Lambert dia lari, dia tak sanggup buat. Kalau kita tengok laporan audit kata pagar runtuh itu semua sebab Lambert larilah tu," katanya lagi yang juga ahli parlimen Tanjong Karang dalam ucapan penggulungannya di Dewan Rakyat sebelum itu.

Ditanya dalam sidang media, Noh berkata sukar untuk mengambil tindakan ke atas Lambert kerana kerajaan tidak menandatangani apa-apa perjanjian dengan syarikat berkenaan.

Kementerian juga sedang membincangkan untuk menawarkan tanah pajakan seluas 500 ekar yang ditinggalkan oleh Lambert itu kepada syarikat lain.

Tegasnya, projek feedlot berkenaan bukanlah satu projek gagal kerana syarikat Agro Science telah berjaya membekalkan sejumlah 8,016 ekor lembu sepanjang tempoh 2008 hingga 2010 seperti yang disasarkan.

Bagaimanapun, kerajaan masih belum membayar sejumlah RM6.48 juta daripada jumlah geran sebanyak RM13 juta.

Laporan Audit Negara sebelum ini menyebut badan itu kekurangan 4,000 ekor lembu yang sepatutnya dibekalkan dan tindakan berkenaan menyebabkan program keusahawanan seperti yang disyaratkan oleh kerajaan tidak dapat dijalankan.

NFC juga enggan mengulas dakwaan PKR bahawa projek tersebut hanya memenuhi 0.6 peratus daripada permintaan kerajaan dan jauh ketinggalan daripada sasaran 40 peratus dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Takut debat Anwar, Najib tidak layak jadi PM

Oleh: Rusnizam Mahat


KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak layak menjadi perdana menteri sekiranya beliau tidak berani bersemuka dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Azmizam Zaman Huri berkata, ini kerana perdebatan di kalangan pemimpin tertinggi di negara-negara maju merupakan amalan biasa yang dilakukan.

Justeru itu katanya, debat itu perlu disegerakan supaya rakyat boleh menilai siapakah antara kedua mereka yang lebih layak bergelar perdana menteri, menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Najib sudah tentu akan mempertahankan jawatannya sebagai PM dan Anwar pula akan diangkat oleh Pakatan Rakyat sebagai PM,”

“Ini lah masa terbaik supaya rakyat menilai siapa yang terbaik menjadi Perdana Menteri. Sekiranya Najib tidak berani berdebat, ini menunjukkan beliau tak layak memimpin Malaysia pada masa akan datang,” kata Azmizam.

Tambah beliau, selain menjawab isu mengenai ekonomi dan Belanjawan 2012, debat itu juga jadi landasan terbaik kepada Najib untuk menjawab mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Berdasarkan Laporan Audit yang dibentangkan banyak kekeliruan yang timbul. Debat menjadi platform terbaik untuk Najib menjelaskan tentang perkara ini,” ujarnya.

Pada 17 Oktober lalu, Anwar mencabar Najib berdebat secara terbuka mengenai ekonomi dan Belanjawan 2012, ekoran kritikan Najib terhadap Belanjawan Pakatan Rakyat.

Anwar berkata, debat itu harus diadakan secara langsung menerusi televisyen oleh kerana isu itu tidak mendapat liputan meluas dan rakyat tidak memperoleh maklumat mengenainya.

Ekoran itu, pelbagai pihak menggesa Najib menerima pelawaan itu supaya beliau mempertahankan Belanjawan yang dibentangkan, demi kepentingan rakyat.

Sebuah Akademi Penulisan, Akademi Pak Sako turut menawarkan diri sebagai penganjur debat berkenaan.

Surat pelawaan dihantar kepada Najib di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, selain turut diserahkan kepada Ketua Pembangkang sendiri di ibu pejabat KEADILAN pada 21 Oktober lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini, tidak ada respon atau sebarang kenyataan yang diberikan Najib berhubung tawaran debat berkenaan.

Aziz Bari: Saya hanya kata apa yang benar

Oleh: Sidiqin Omar


KUALA LUMPUR: Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, beliau tidak bersikap biadap terhadap Sultan tetapi hanya memberi pandangan akademik.

Pada 29 Oktober lalu, Aziz menerima sebutir peluru hidup yang diposkan ke rumahnya di Gombak, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sebelum ini.

Turut disertakan bersama peluru itu ialah sekeping nota ugutan berbunyi: ‘Jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti’.

Lanjutan itu satu laporan dibuat Aziz di Balai Polis Taiping dan beliau telah pun dipanggil ke Balai Polis Gombak untuk memberi keterangan lanjut.

Menurut Aziz, ugutan tersebut tidak mematahkan dan melemahkan semangatnya untuk meneruskan tugas seperti biasa.

“Saya bukan biadap dengan sultan. Saya cuma bercakap tentang ‘exercise of power’,”

“Saya hanya katakan apa yang benar. Tidak lebih dari itu,” kata beliau dengan nada tenang kepada pemberita di pejabat Sekretariat Aziz Bari di Kuala Lumpur, semalam.

Aziz sebelum ini disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan dipanggil ke Balai Polis Shah Alam untuk memberi kenyataan berhubung isu tersebut di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan.

Beliau turut digantung oleh pihak pentadbiran UIA, sebelum keputusan penggantungan itu ditarik balik.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Rozan Azen mengecam tindakan gangsterisme politik dan menyifatkannya sebagai fasisme 1Malaysia.

“Menyerang tokoh akademik adalah satu penghinaan dan penganiayaan. Sedangkan usaha beliau ialah memberi kesedaran dan pendidikan perlembagaan kepada rakyat,” kata Rozan yang juga Alumni UIA.

“Orang ramai jangan hilang fokus. Jangan lupa perkara ini hanya bermula apabila ditimbulkan oleh Senator Umno yang cuba meraih populariti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13,” tegasnya.

Mahkamah buktikan Auku mesti dimansuhkan segera- AMK

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang memutuskan Seksyen 15 (5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin.


“AMK melihat keputusan ini memberikan titik noktah kepada hayat Auku agar ia dimansuhkan sepenuhnya, sebagaimana yang diperjuang secara istiqamah oleh gerakan mahasiswa zaman berzaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Shamsul, Seksyen 15 AUKU merupakan ‘perangkap yang sengaja dipasang’ pemerintah untuk mengekang suara mahasiswa.

“Sekian lama mahasiswa dipasung minda mereka dengan peruntukan AUKU yang tidak munasabah, dan hari ini, AUKU terbukti bercanggah dengan Perlembagaan.

“Ini sekaligus memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Umno-BN yang bermati-matian mempertahan Auku untuk mengekang kebebasan mahasiswa beraktivisme,” katanya.

Dalam keputusan hari ini, dua hakim menyanggah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Auku sebagai berperlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu.

Keputusan majoriti itu diperoleh apabila Hakim Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Linton Albert membenar rayuan UKM4 walaupun seorang lagi hakim, Low Hop Bing berbeza pendapat.

Mahkamah Tinggi pada 28 September lalu menolak saman pemula yang dikemukakan empat mahasiswa itu bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka kerana didakwa terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor pada April tahun lalu.

Keputusan dibuat oleh Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Aziah Ali.

Empat mahasiswa itu yang kesemuanya bekas ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM, ialah Hilman Idham (presiden), Ismail Aminuddhin (naib presiden), Azlin Shafina Adzha (setiausah

Anak perempuan Najib belanja RM180,000 di Australia?


KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR 31 Okt: Akhbar Australia melaporkan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membelanjakan kira-kira RM180,000 atau AU$60000 untuk barangan jenama di David Jones- sebuah gedung terkemuka di negara itu.


Najib dan isterinya minggu lalu berlepas ke Perth mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Rombongan berkenaan turut disertai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M.Kayveas.

Menurut laporan akhbar West Australian, kesempatan menghadiri persidangan Komanwel itu memberi peluang kepada rombongan berkenaan berbelanja.

“Beberapa peniaga di bandar, memperoleh untung besar, apabila seorang wanita pertama diketahui membeli $150,000 untuk mutiara di West Australia, sementara anak perempuan perdana menteri Najib Razak dipercayai membelanjakan & $60,000 di David Jones,” petik akhbar itu.

Richard Muirheand, State Director bagi CHOGM 2011 berkata, masa berbelanja dan aktiviti lapang telah diatur untuk delegasi di luar jadual CHOGM

Pakatan Rakyat Jangan Pandang Rendah Usaha UMNO BN Rampas Selangor

KELAB GREENBOC

Muhyiddin terus `gempur’ Selangor


PETALING JAYA: BN terus menggempur Selangor bagi merampas semula kerajaan negeri yang terlepas kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN Selangor sudah beberapa kali menggempur Selangor dan kali terakhir sehari selepas beliau membentangkan bajet 2011 pada 7 Oktober lalu.

Begitu juga dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat beberapa daerah di negeri itu hujung minggu lalu.

Khamis ini, sekali lagi timbalan perdana menteri akan menggempur Selangor. Beliau akan hadir dalam program yang dinamakan `Nurani rakyat sayangi Selangor’ di Kelang dan Shah Alam.

Jumpa NGO

“Di Kelang, TPM akan menghadiri program mesra rakyat di pangsapuri PKNS Pandamaran Jaya, Pelabuhan Kelang.

“Muhyiddin akan bertemu dengan pelbagai NGO, persatuan belia, ahli JKKK Persekutuan serta sumbangan Aidiladha.

“Sumbangan cermin mata kepada 12 sekolah terplih dan sumbagan kepada tokong Cina,” kata Setiausaha BN negeri, Datuk Seri Mohd Zin Mohamad.

Di Seksyen 17 Shah Alam, Muhyiddin akan menghadiri perhimpunan rakyat, melancarkan projek laman Agro dan menyampaikan sumbangan aidiadha.

Beliau juga akan mengunjugi beberapa rumah pemimpin masyarakat di Shah Alam. -FMT

UMNO Guna Taktik 3R Tarik Sokongan Melayu

Dalam rancangan Umno untuk menawan balik Selangor dan Pulau Pinang, parti itu menumpukan usaha bagi menarik sokongan Melayu dengan bermain sentiment agama, perkauman dan institusi raja.

Sambil menyifatkan pendekatan itu sebagai "3R" (race, religion, royalty) Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata ini dapat dilihat di dalam isu-isu seperti Mat Indera dan kritikan Sultan Johor terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Strategi ini digunakan setelah Umno merasakan yang ia telah hilang sokongan di kawasan bandar dan di antara komuniti bukan Islam, katanya.

"Dalam keadaan politik sekarang untuk memenangi pilihan raya Umno mengharapkan empat komponen iaitu undi Melayu luar bandar, undi peneroka Felda, undi pos dan undi daripada Sabah serta Sarawak.

"Untuk itu strategi mereka mempermainkan isu-isu bersifat 3R iaitu racial (perkauman), religion (agama) dan royal (raja). Manakala negeri utama sasaran mereka ialah Selangor, Pulau Pinang dan Perak," katanya di dalam satu laporan di laman lidah rasmi Pas, Harakahdaily.

Contoh terbaru aplikasi 3R ini adalah di dalam kes pakar perlembagaan Prof Aziz Bari, yang digantung tugas di Universiti Islam Antarabangsa, kata Mohamad, yang lebih dikenali dengan nama "Mat Sabu".

Aziz digantung tugas oleh institusi tersebut selepas sebuah komentar yang beliau tulis dikecam oleh penyokong dan blogger pro-Umno. Beberapa laporan polis juga telah dibuat keatas Aziz berhubung artikelnya.

Di dalam artikel itu, Aziz berhujah yang rakyat berhak mempersoal titah Sultan asalkan mereka tidak menyentuh kedudukan institusi Raja-Raja Melayu sendiri di dalam perlembagaan.

"Nampak macam seolah-olah Umno mendukung raja. Tapi saya nak ingatkan pada tahun 1993 semasa saya menjadi ahli parlimen, pernah speaker menggantung peraturan Dewan yang menghalang menyentuh soal raja-raja. Masa itulah mereka ‘belasah' raja-raja Melayu dalam isu kekebalan raja-raja dulu," kata Mat Sabu. -tvsnews


Ulasan GB

Berdasarkan kepada perkembangan terkini dan juga maklumat-maklumat semasa, UMNO/BN nampaknya akan terus berusaha untuk merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat di dalam PRU ke 13 ini.

Mereka akan berusaha mempastikan matlamat itu dicapai by hook or by crook kerana Selangor merupakan negeri yang peting untuk memperkukuhkan pemerintahan UMNO/BN di bawah Najib dan Muhyiddin.

Limpahan PATI yang diberikan taraf kewarganegaraan dengan menjadikan mereka sebagai pengundi-pengundi adalah diantara langkah yang dijangka menyebabkan hasrat UMNO BN itu seakan menjadi kenyataan.

Dan sebarang kelemahan kerajaan PR Selangor betapa kecil sekalipun akan dimanipulasikan bagi mempengaruhi pengundi atas pagar supaya menyokong BN.

Malah UMNO BN juga sudah berjaya mempunyai proxynya sendiri di dalam barisan exco kerajaan negeri. Begitu juga dengan petadbiran kerajaan negeri di mana proxy UMNO sudah dinobatkan sebagai SUK Negeri.

Ia sebahagian grand design UMNO BN untuk merampas Selangor.

Kemudian, jangan lupa kejatuhan Terengganu ke tangan UMNO BN di dalam 2004 dimana faktor daftar pemilih & pengundi luar memainkan peranan penting. Disamping faktor "royal" menjadi faktor utama rampasan kuasa di Perak. Kedua-dua faktor ini akan digunakan serentak untuk merampas Selangor.

Justeru itu, GB tidak dapat melihat UMNO BN tidak dapat merealisasikan impian mereka untuk merampas negeri Selangor kecuali ada usaha yang bersepadu, tegas dan pantas oleh PR Selangor bagi mempertahankan negeri terkaya di dalam Malaysia ini terlepas ke tangan BN.

Dana Petronas akan ‘dirompak’ besar-besaran

DETIK DAILY



Pakatan Rakyat tidak perlu melaksanakan Bajet Tranformasi 2012 yang dibentangkan PM, jika ditakdirkan Pakatan menang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Ini kerana Pakatan yang menjadi kerajaan baru mempunyai mandat untuk kembali ke Parlimen membentangkan bajet yang baru.
Namun, dijangkakan PM akan mempergunakan wang Petrosnas bagi melunaskan bajet yang dicipta, kerana selama 14 tahun negara alami defisit berturutturut, menandakan ekonomi negara kian senak.
Ikuti pandang balas Pengarah Strategik KeADILan, Rafizi Ramli berkenaan isu ini. Wartawan INTAN ABDULLAH ada butirannya.
Dalam menterjemahkan Bajet 2011, banyak berlaku ketirisan terutamanya dalam projekprojek mega. Bagaimana Saudara melihat perkara ini?

RAFIZI RAMLI: Ada beberapa contoh besar yang boleh diambilkira, paling jelas ialah peruntukan berbilion ringgit untuk program jaminan makanan. Ini mungkin tidak nampak besar kerana ia melibatkan peruntukan pertanian.

Tetapi peruntukan yang diberikan dalam Rancangan Malaysia ke-9 sahaja sebanyak RM11.4 bilion. Setiap tahun kerajaan memperuntukkan sehingga RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk Tabung Makanan.

Ia melibatkan projek-projek pertanian dan sebagainya.

Kalau ia tidak tiris, dalam tempoh antara tahun 2000 hingga sekarang (program ini telah berjalan selama 10 tahun) negara tidak mengalami masalah kekurangan bekalan makanan seperti sekarang.

Kita tidak payah import makanan. Sebab itu, tujuan peruntukan berpuluh bilion dibuat, supaya kita boleh bangunkan sektor pertanian sendiri. Tidak perlu import makanan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Tahun lepas (2010) macam mana?

Tahun 2010 import makanan kita adalah yang tertinggi cecah RM30 bilion. Pada masa belanjawan/peruntukan dibentangkan kononnya untuk menaik taraf sektor pertanian, pada masa yang sama juga import makanan kita naik mendadak dan itu ada kesan kepada rakyat. Akan berlaku kenaikan harga barang. Maknanya ketirisan memang jelas terjadi.

Bila kita tengok sedikit sebanyak projek-projek yang dibuat, baru kita tahu dan terbuktilah ketirisan itu.

Contohnya yang dibawa oleh Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim) baru-baru ini ialah projek ‘National Field Lot’ iaitu penternakan komersil lembu, kambing dan sebagainya. Ia dibuat di Gemas, Negeri Sembilan membabitkan perbelanjaan RM250 juta yang sekarang terbengkalai hiduphidup kerana peruntukan itu diberikan kepada anak Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil yang berumur 21 tahun. Beliau dikatakan tiada kepakaran, tiada pengalaman dan sebagainya.

Ini hanyalah satu contoh peruntukan daripada Tabung Makanan yang diberikan kepada anak dan isteri menteri selepas tiga, empat tahun seluruh projek itu ditinggalkan. Dan RM250 juta hilang begitu sahaja dan kita kena import kambing masih lagi 90 peratus. Itu berkaitan dengan makanan dan bukan projek mega.

Itu pun sudah nampak begitu, inikan pula projek-projek mega yang diumumkan.

Melihat kepada defisit sepanjang 14 tahun berturutturut, apa boleh difahamkan kepada rakyat?

Bukan hanya sekadar defisit sahaja, bahkan lebih teruk daripada itu. Petua pentadbiran ekonomi iaitu defisit tidak semestinya buruk. Tetapi undangundangnya ialah defisit itu tidak boleh melebihi empat peratus.

Kedua, defisit tidak boleh berpanjangan. Ia kena ada naikturun. Maksudnya, ada zaman ekonomi jadi lembap, kita kena pam dan pada ketika itu kita kena berhutang dan ia dikira defisit.

Tetapi bila kita telah pam duit, ekonomi berkembang dan rakyat makin kaya maka ia sudah cukup. Sepatutnya ia jadi berimbang semula.

Di negara kita, bukan sahaja 14 tahun defisit tetapi daripada satu tahun ke satu tahun ia makin naik.

Adakah mungkin kita boleh mencari sumber atau dana pada kali ini, untuk berbelanja memandangkan negara alami defisit?

Sebab itu keraguan paling utama pada bajet yang dibentangkan PM ini ialah ia tidak realistik. Sumber kewangan yang diunjurkan itu tidak realistik.

Sebenarnya ramai penganalisis pasaran merasakan kerajaan tidak akan mendapat wang seperti yang diunjurkan itu untuk menampung belanjawan. Ini kerana ekonomi akan menguncup dan lembap tahun depan disebabkan keadaan ekonomi global yang makin perlahan.

Cuma Malaysia agak bernasib baik kerana adanya Petronas.

Memang betul kalau kerajaan mengambil kira pendapatan daripada hasil cukai semata-mata, Malaysia tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaan pada tahun depan.

Apa yang Najib akan lakukan untuk menampung belanjawan defisit ini?

Pada jangkaan kita, apa yang Najib akan buat ialah, dia akan merompak besar-besaran Petronas. Dia akan ambil duit daripada Petronas dan Rezab Petronas itu digunakan untuk menampung belanjawan ini.

Itu satu perkara yang cukup tidak bertanggungjawab akan dilakukan. Sebab kita tidak boleh mengambil simpanan Petronas kerana Petronas itu adalah jaminan simpanan negara. Kalau kita lemahkan kewangan Petronas sekarang, ada risiko besar kepada ekonomi negara di masa akan datang.

Apakah ada kemungkinan kerajaan akan menambah hutang luar negara jika Pakatan Rakyat membuat tekanan kepada Petronas?

Najib tidak boleh buat hutang luar negara kerana hadnya ialah RM35 bilion. Jadi, hutang luar nehttp://www.planetcollex.com/ProdImages/PETRONAS%20-%2001.jpggara dia sudah tidak boleh pinjam. Apa yang dia akan buat ialah dua cara iaitu pertama, dia ambil duit Petronas dan yang kedua, dia akan terus berhutang daripada bank-bank tempatan.

Ini akan beri kesan kepada sektor perbankan dengan kesan langsung kepada simpanan rakyat.

Bank tempatan bagi hutang kepada kerajaan tetapi kerajaan tidak boleh bayar hutang itu. Apa yang akan berlaku?

Bila bank tempatan beri hutang kepada kerajaan, ia ambil wang rakyat. Bila kerajaan tak boleh bayar, wang rakyat akan hilang begitu sahaja. Ini termasuklah KWSP dan Tabung Haji sebab kesemua badan ini membeli terbitan bon oleh kerajaan.

Apabila kerajaan tidak boleh bayar, maka yang akan menanggung hutang tersebut adalah rakyat. Negara sekarang berhutang dengan rakyat. Itulah hakikatnya.

Bajet kali ini, tiada pengumuman projek mega seperti tahun-tahun sebelumnya...

Itu bukan perkara baru tetapi pengumuman itu dibuat berterusan. Apa paling tidak bertanggungjawab ialah potongan cukai yang diberikan kepada KLIFD sebab ia diberikan pelepasan cukai dan bila kita anggarkan nilai cukai tersebut ialah RM1.3 bilion.

Itu adalah projek mega. Projek mega memang telah diumumkan sebelum ini. Tetapi cukai di dalam belanjawan ini ada pelepasan sebanyak itu.

Kenapa pada kali ini, Laporan Ketua Audit Negara tidak dibentangkan seperti kebiasaanya?

Sebelum ini amalannya ialah belanjawan negara dibentangkan bersekali dengan Laporan Ketua Audit Negara. Tahun lepas ia dibentang seminggu selepas belanjawan.

Tetapi tahun ini lebih teruk .

Saya pasti ia disebabkan dalam tahun-tahun 2008-2009, apabila belanjawan dibentangkan sekali dengan Laporan Ketua Audit Negara, ia telah mendedahkan pembaziran RM28 juta, RM28 bilion dan sebagainya.

BN ingin menyembunyikan findings (dapatan) atau penemuan penyelewengan oleh Ketua Audit Negara ini supaya ia tidak menenggelamkan belanjawan mereka.

Sebab belanjawan itu sekarang pun telah dipersoalkan dari segi kredibiliti. Kalau ada Laporan Ketua Audit Negara, makin parahlah lagi keadaannya. Ini kerana bukan sahaja kredibiliti unjuran itu dipersoalkan tetapi rekod dan kredibiliti BN sebagai kerajaan yang tidak rasuah - itu memang out.

Oleh sebab itu, saya rasa BN cuba melengah-lengahkan Laporan Ketua Audit Negara ini, mungkin supaya rakyat tidak dapat tahu semua penyelewengan yang ditemui.

Ada yang berpendapat bajet ini menjadi perangkap ekonomi kepada Pakatan Rakyat. Ia juga bukti BN sudah tidak yakin pada PRU13 dan mahu meninggalkan bebanan kepada kerajaan yang baru kelak...

Kalau mereka berfikiran begitu, maknanya BN bodoh. Sebab apabila kerajaan baru contohnya, Pakatan rakyat memerintah, kita ada mandat. Kita boleh kembali ke Parlimen untuk membentangkan bajet yang baru.

Mereka mungkin berpendapat begitu. Saya tidak fikir ia satu perangkap. Tetapi apabila mereka merangka belanjawan yang tidak boleh dibayar dengan pendapatan yang tidak cukup, kalau Pakatan kalah sekalipun, pendapat mereka ialah Pakatan tidak bimbang kerana kalau menang ok, BN tidak perlu tunaikan janji-janji mereka dalam belanjawan sebab dia ada lima tahun lagi.

Kalau kalah, BN akan memberikan masalah kepada Pakatan Rakyat kerana Pakatan Rakyat kena tunaikan janji. Tetapi sebenarnya kita tidak perlu ikut.

Kalau unjuran-unjuran itu tidak tepat, kita boleh sahaja pergi ke Parlimen dan bentangkan pindaan belanjawan baru.

Kalau Pakatan menang...

Jika Pakatan Rakyat menang, cara yang baik ialah mengguna pakai belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang dibentangkan kerana itu pendirian kita.

Syabas Bob Lokman!

Oleh Mohamed Hanipa Maidin

SECARA jujur saya amat cemburu dengan ketegasan Bok Lokman yang enggan tunduk dengan an caman Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Ketegasan beliau untuhttp://media1-cdn.malaysiakini.com/403/84a2f133168c3d8c280ec9d8bd2dc08d.gifk enggan menghadirkan diri bagi disoal siasat oleh Jais mengingatkan saya kepada Mahatma Gandhi yang terkenal dengan prinsip 'satyagraha' ( tidak tunduk kepada undang-undang zalim ).

Memang sukar untuk memahami individu Muslim seperti Bok Lokman boleh ditangkap oleh Jais kerana menyampaikan kalam Allah kepada hamba-hamba Allah di Rumah Allah. Kita amat khuatir jika ada pihak yang sanggup bertindak seperti musuh Allah menghalang agama Allah tersebar di muka bumi Allah.

Secara peribadi saya tidak pernah bersetuju dengan undang-undang yang mengkehendaki orang yang menyampaikan ajaran Islam mempunyai tauliah.

Ya, undang-undang mengenai tauliah ada unsur positif. Ia digubal dengan berfalsafahkan motif supaya hanya mereka yang layak dibenarkan bercakap tentang Islam. Bagaimanapun dalam banyak keadaan undang-undang tersebut telah disalahgunakan sehinggakan mereka yang layak pun tidak dibenarkan berceramah di masjid hanya kerana tiada tauliah. Jelas aspek negatif tauliah mengatasi aspek positifnya.

Bukan suatu yang luar biasa undang-undang yang digubal dengan niat yang baik boleh disalah guna untuk menzalimi orang-orang baik. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah contoh yang jelas.

Meskipun niat menggubal ISA asalnya sangat murni iaitu memerangi golongan subversif namun pelaksanaannya selama ini terbukti penuh dengan ketidakadilan dan salah guna kuasa.

Mereka yang menyokong tauliah bersandar pada hujah jika peraturan mengenai tauliah tidak wujud akan wujudnya kekacauan ke rana mana-mana orang dengan mudah menyampaikan ajaran agama tanpa kawalan dan ini akan memburukkan nama baik Islam.

Saya tidak kata hujah tersebut tiada meritnya. Namun hujah tersebut terlalu banyak bergantung kepada anggapan semata-mata. Hujah tersebut menganggap bahawa mereka yang mendengar ceramah agama atau tazkirah di masjid sebagai contoh adalah mereka yang amat jahil agama sehinggakan mereka akan mudah dipengaruhi oleh penceramah dan pentazkirah yang dijemput oleh pihak masjid.

Hujah tersebut juga menganggap orang seperti Bob Lokman dan Khalid Samad ( yang juga akan didakwa oleh Jais kerana beri tazkirah tarawih di masjid di bulan Ramadan) seolah-olah berada di dalam kategori Ayah Pin yang ingin memesongkan pemikiran orang Islam.

Hujah tersebut gagal mengambil kira adakah munasabah jika Bob Lokman ada mempunyai niat jahat di dalam menyampaikan tazkirah beliau akan sanggup memenuhi permintaan jemaah masjid untuk menyampaikan tazkirah secara terbuka tanpa memikirkan kesannya.

Adakah mereka yang ada niat tidak baik ke atas Islam seperti Ayah Pin atau orang yang menggelar dirinya 'Rasul Melayu' akan berani memberi tazkirah secara terbuka seperti Bob Lokman atau Khalid Samad? Dan adakah ahli jemaah masjid terlalu naif dan hanya berdiam diri jika isi tazkirah Bob Lokman menyimpang daripada ajaran Islam. Jais sendiri dilaporkan bersetuju isi tazkirah Bob Lokman tidak bersalahan dengan ajaran Islam.

Terlalu berpegang secara literal kepada undang-undang mengenai tauliah kadangkala akan menyebabkan mereka yang menguatkuasakan undang-undang tersebut bertindak membuta tuli hingga ke tahap tidak masuk akal.

Sejarah menunjukkan alasan tauliah pernah digunakan untuk menghalang mereka yang bergelar ulama daripada menyampaikan ajaran Islam di masjid di Selangor. Meskipun para ulama seperti Dr Haron Din, Dato' Ismail Kamus, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tok Guru Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin adalah mereka yang ditauliahkan oleh institusi Islam seperti Universiti Al-Azhar, mereka juga pernah dilarang memberi tazkirah di Selangor kerana tiada tauliah daripada Jais.

Undang-undang mengenai tauliah hanya mengiktiraf tauliah daripada Jais. Dengan lain perkataan hatta jika ada sarjana Islam yang ada PhD di dalam pengajian Islam dari Al-Azhar sekalipun pengiktirafan tersebut tidak boleh mengatasi tauliah Jais! Pengiktirafan Al-Azhar tersebut tidak secara automatik melayakkan sarjana Islam tersebut menyampaikan tazkirah. Adakah ada alasan yang paling tidak logik selain alasan ini!

Terdapat keganjilan yang jelas di dalam peraturan mengenai tauliah. Meskipun tujuan peraturan tauliah digubal bagi menghalang mereka yang tidak layak dari menyampaikan ceramah atau tazkirah agama, apa yang berlaku mereka yang layak pula diambil tindakan oleh Jais kerana menyampaikan ajaran agama. Kes Dr Asri ditangkap dan didakwa oleh Jais adalah contoh yang jelas.

Peraturan tauliah bagi saya membantutkan usaha-usaha dakwah. Islam menganjurkan setiap Muslim untuk berdakwah mengikut kadar kemampuannya. Anjuran itu menunjukkan Islam bukan agama yang abstrak sehinggakan hanya orang-orang tertentu atau dipilih yang layak untuk berdakwah. Sudah tentu darjat penyampaian Bob Lokman tidak sampai ke tahap darjah penyampaian Dr Haron Din namun selagi mana penyampaiannya menepati ajaran Islam adalah tidak adil dan tidak munasabah untuk menghalang beliau bertazkirah di dalam masjid.

Apa pun tahniah Abang Bob. Kami menyokong anda 100 peratus.

MAHATHIR MUDAH LUPA !!! Ghaddafi di Libya disuruh bicara jangan bunuh, tapi Ibrahim Libya dibunuh tak bicara

PASPB


" Suatu yang "kebetulan". Gaddafi adalah orang Libya manakala Assyahid Ustaz Ibrahim Mahmud di kenali dengan Ustaz Ibrahim Libya sempena arwah pernah menuntut ilmu di bumi Umar Mokhtar itu.

Keduanya telah meninggal dunia. Assyahid meninggal di bumi kelahirannya Memali kira-kira 26 tahun yang lampau 19 November 1985. Manakala Gaddafi baru sahaja meningga juga dibumi kelahiraannya Sirte 2 minggu yang lalu.

Keduanya dibunuh. Gaddafi dibunuh oleh rakyatnya sendiri manakala Assyahid dibunuh oleh Kerajaan Malaysia yang ketika itu PMnya Dr Mahathir, Menteri KDNnya Musa Hitam dan IGPnya Hanif Omar..

Keduanya dibunuh tanpa melalui proses keadilan yang sewajarnya. Tidak dibicarakan dan dibawa ke mahkamah untuk mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan. Proses "keadilannya" ialah tembak !

Cuma yang bezanya ialah Gaddafi ada rekod kejahatannya iaitu membunuh ribuan rakyatnya sendiri. Manakala Assyahid Ustaz Ibrahim Libya "dosa"nya hanya mengajar ilmu agama kepada orang kampung dan menentang ISA. Itu sahaja.

Apabila Dr Mahathir menyatakan tidak wajar Gaddafi dibunuh dan beliau patut ditahan dan dibicara terlebih dahulu maka kita tertanya-tanya adakah Dr Mahathir seorang yang "waras" dan berlagak dialah seorang yang memperjuangkan keadilan?

Bagaimana dengan Peristiwa Memali? Sehingga kini, tiada ucapan maaf secara terbuka dari Mahathir, Musa Hitam dan Hanif Omar.

Tanda seseorang itu telah mencapai tahap kembali semula ke "alam bayi" ialah apabila dia "menjilat kembali kahak hijaunya" tanpa disedari! Itulah Mahathir"
Tranungkite

Isu PPSMI: Yang penting adalah pelaksanaan baik

Oleh Daing Yahya


Dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kita melihat bagaimana sesuatu dasar itu dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional tanpa kajian yang lengkap dan menyuluruh.

Akhirnya, bukan sahaja ia memakan kos berbilion ringgit yang berupa satu pembaziran besar wang rakyat, pelaksanaan ini juga telah merugikan pembelajaran pelajar-pelajar yang majoritinya anak-anak luar bandar.

Niat kita mahu melihat negara ini maju dengan sumber manusianya berkebolehan mengusai bahasa Inggeris atau bahasa lain, cukup baik sekali. Malah, Pakatan Rakyat sendiri menyokongnya.

Tetapi, dari aspek praktis termasuk bagaimana cara ia dilaksanakan sudah tentu amat berbeza. PPSMI yang dibawakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu lebih merupakan usaha politik daripada niat sebenar meningkatkan kemampuan diri pelajar-pelajar kita.

Perbezaaan dasar UMNO-BN dan Pakatan Rakyat

Yang utama, kepentingan UMNO-BN dan Pakatan Rakyat amat jauh berbeza. Pakatan Rakyat mengutamakan pendidikan rakyat semata-mata kerana perlu menunaikan hak setiap insan untuk mendapat pelajaran yang baik dan bermutu.

Secara objektifnya, dasar PR mahukan rakyat yang berpendidikan ini bukan sekadar lulus perperiksaan dan menguasai bahasa semata-mata, sebaliknya pelajar-pelajar ini kelak akan memahami konsep sebuah negara demokrasi, masyarakat yang bebas dan merdeka, insan yang bertanggungjawab dalam hal kemanusiaan termasuk agama.

Dalam aspek pelaksanaannya pula, PR lebih bersifat terbuka yakni memberi kebebasan kepada Kementerian Pelajaran, Jabatan Pendidikan, universiti/kolej, sekolah termasuk persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) untuk berganding bahu melaksanakannya.

Semua ini telah dikemukakan di dalam Buku Jingga yang akan memberi kebebasan akedemik termasuk memansuhkan undang-undang mencengkam pelajar Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU).

Ini menjadi signifikan dalam asas pendidikan negara yang mana setiap pelaksanaan dasar-dasar akan melibatkan suara dan cadangan dari pelajar, institusi dan ibu bapa sendiri.

Kebebasan di sini jelas bermaksud, dasar yang diperkenalkan ini harus juga memberi kelonggaran kepada pihak terbabit untuk turut sama membantu melaksanakannya menerusi sesuatu kaedah yang paling sesuai dan berkesan.

Ia amat berbeza dengan cara pendekatan atau pelaksanaan pihak UMNO-BN yang menganggap diri serba tahu dan ‘memaksa’ menerusi kuasa eksekutif dan undang-undang kepada pihak institusi termasuk PIBG untuk menerima dan melaksanakannya.

Cara pelaksanaan UMNO-BN ini tidak langsung wujud elemen kerjasama dan perkongsian. Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa pelaksanaan dasar oleh UMNO-BN ini menimbulkan krisis yang masih berlarutan dalam hal pendidikan kita, dari saat memperkenalkannya hinggalah ketika apa yang dicadangkan sebagai pemansuhannya.

Inilah salah satu perbezaan paling asas antara Pakatan Rakyat dan UMNO-BN.

PAGE dan PPSMI

Berhubung dengan desakan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) mengenai pemansuhan PPSMI baru-baru ini, ia adalah manifestasi kepada krisis yang berpunca dari kegagalan pelaksanaan PPSMI.

Melihat kepada inti-inti desakan itu, kita dapat melihat bahawa isu utama dalam hal ini bukanlah isu bahasa. Sebaliknya, kumpulan PAGE ini jelas mewakili masyarakat atau ibu bapa yang tinggal di kawasan bandar yang mana cara hidup mereka tentu berbeza dengan cara hidup masyarakat di luar bandar.

Permintaan mereka lebih menekan soal pendekatan pelajaran anak-anak mereka yang bersesuaian dengan rutin dan cara hidup mereka di bandar. Oleh itu, tidak timbul langsung isu untuk kembali dengan dasar PPSMI.

Apatah lagi kumpulan PAGE ini adalah suara yang mewakli keluarga yang hidup di bandar besar di Malaysia, jauh berbeza dengan cara hidup kumpulan majoriti yang duduk di luar bandar, baik Melayu, Cina, India atau Bumiputeara Sarawak dan Sabah.

Bukankah dalam negara demokrasi, suara kumpulan minoriti ini juga punya hak? Mereka berhak untuk bersuara, meminta atau mendesak dan memiliki selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang.

Sungguh pun permintaan PAGE untuk menggunakan pengajaran dalam Bahasa Inggeris di sekolah, secara parktikalnya ia bukan isu bahasa sama sekali, ia sekadar penyesuaian kaedah belajar dengan cara hidup mereka.

Oleh yang demikian, kerajaan yang sedang bertakhta harus menimbang kembali hal ini bagi mewujudkan suasana belajar yang kondusif untuk anak-anak golongan ini.

Menguasai bahasa untuk apa?

Kita semua sudah bersetuju bahawa penguasaan bahasa amat penting, tidak kira bahasa apa sekali pun. Bahasa Kebangsaan adalah wajib, bahasa ibunda juga penting sebagai identiti budaya dan kaum dan bahasa Inggeris itu akan menjamin keupayaan kita untuk bersaing.

Namun, penguasaan pada aspek bahasa hanyalah tahap pertama untuk kita mengenal erti demokrasi, keadilan dan kebebasan. Jika kita mahir berbahasa Inggeris atau bahasa apa sekali pun tanpa memahami asas-asas kemanusiaan, apa gunanya?

Pakatan Rakyat akan terus komited memberi hak kebebasan akedemik, dasar dan pelaksanaanya. Ini mungkin melibatkan perbezaan pendapat dan pandangan yang sememangnya fitrah dalam lumrah demokrasi.

Semua ini demi memperkukuh institusi masyakarat dan pendidikan. Inilah pakej yang perlu ada bagi mewujudkan sebuah negara yang maju, merdeka dan berdaulat. Hanya masyarakat yang madani sahaja yang mampu merealisasikannya.

Jika kita mahu perubahan yang sebenar untuk kebaikan keluarga dan anak-anak, perlu difikirkan kembali sama ada era kerajaan yang serba tahu dan enggan mendengar suara rakyat, perlu dikekalkan atau diubah. – Roketkini.com

Media: ‘Orang filem patut ambil elemen jernih Nasi Lemak 2.0 Namewee’

THE MALAYSIAN INSIDER


Poster mempromosikan filem ‘Nasi Lemak 2.0’.
KUALA LUMPUR — Ketika beberapa pihak mengecam “Nasi Lemak 2.0” arahan pembikin filem dan artis kontroversi Namewee, pandangan terbaru menyebut karya itu turut membawa aspek positif untuk diikuti rakyat demi kebaikan dan kepentingan industri filem negara ini.

Ruangan mingguan Berita Harian hari ini berkata, filem itu yang telah mengutip lebih RM7 juta mendapat sambutan rakyat pelbagai kaum dan ia seharusnya dianggap sebagai perkembangan positif bagi dunia hiburan di Malaysia.

Penulis itu menambah, walaupun ada pihak yang kurang suka apabila Namewee menghasilkan filem ini, berikutan beberapa kontroversi membabitkan dirinya sebelum ini, namun mungkin orang filem sendiri dapat belajar sesuatu daripada arahan sulungnya itu.

“Kata orang, ambil saja yang jernih,” katanya lagi.

Dalam satu kenyataan akhbar akhir bulan lalu, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee bimbang “Nasi Lemak 2.0” mungkin diharamkan ekoran demonstrasi membantah filem tersebut di Perak.

Katanya, dia kesal dengan protes tersebut dan berharap pihak berkuasa tidak mengendahkan desakan supaya filemnya diharamkan.

“Mungkin pemuda itu (Namewee) mempunyai formula tersendiri, yang berjaya menarik orang ramai ke panggung. Bukan saja penonton Cina, tetapi peminat filem daripada bangsa lain juga khabarnya berebut-rebut menonton ‘Nasil Lemak 2.0’.

“Tidak salah kalau kita belajar untuk kebaikan dan kepentingan industri filem kita sendiri?” kata penulis kolum Dengarnya Normah Becok.

Filem itu diterbitkan oleh Fred Chong dari Prodigee Media Entertainment dan diarah dan dilakonkan oleh Namewee sendiri.

Namewee juga merupakan pelakon utama. Ia mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 8 September lalu merupakan filem sulung mereka.

Normah berkata dalam keadaan pasaran filem tempatan yang tidak menentu, tiba-tiba “Nasi Lemak 2.0” mendapat sambutan cukup hebat daripada peminat.

“Ada sesetengah filem tempatan, hendak capai RM1 juta kutipan tiket pun susah bukan main lagi.

“‘Nasi Lemak 2.0’ pula, walaupun tidak pernah menduduki carta pertama filem pecah panggung, tetap memungut laba yang tinggi,” katanya sambil menambah, “jadi, pasti ada sesuatu yang menarik mengenai filem Cina yang turut memuatkan dialog dalam bahasa Melayu dan Tamil ini.”

Menurut Normah, “Nasi Lemak 2.0” ada kekuatannya yang banyak terletak kepada gabungan karakter dan elemen budaya pelbagai kaum di negara ini.

“Walaupun ia filem berbahasa Cina, namun ada watak Melayu dan India juga di dalamnya. Jadi, semua orang boleh berasa dekat dengan paparan yang diberi,” kata penulis itu lagi.

Selain Namewee, Karen Kong, Dennis Lau, Ho Yuhang, Pete Teo dan Kenny & Chee, filem ini turut mengundang pelakon Melayu dan India seperti Adibah Noor, Afdlin Shauki, Nur Fathia, Datuk David Arumugam, Reshmonu dan Nadine Ann Thomas.

“Memang 1 Malaysia sangat bentuknya,” katanya lagi.

Filem “Nasi Lemak 2.0” tidak memperoleh status Wajib Tayang daripada Finas, yang mewajibkan operator pawagam menayangkan selama dua minggu.

Ekoran satu artikel Utusan Malaysia memperlekehkan filemnya, Namewee mengecam akhbar milik Umno itu melalui video klip selama 2 minit 43 saat.

Artikel tersebut menzahirkan pandangan penulisnya yang tidak senang dengan sikap Namewee yang cuba menjadi hero 1 Malaysia melalui filem “Nasi Lemak 2.0” sedangkan didakwa telah beberapa kali mengguris hati dan perasaan rakyat Malaysia sebelum ini.

Awal bulan ini, Utusan Malaysia membuat dua laporan polis berhubung kenyataan Namewee itu, didakwa lucah terhadap syarikat berkenaan dan wartawannya Fauziah Arof.

Kumpulan itu mendakwa Namewee menyalah guna kemudahan multimedia untuk menjatuhkan imej akhbar Utusan Malaysia dan mengeluarkan tuduhan melampau terhadap penulisan artikel “Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee...” yang disiarkan bulan lalu.

Ketika isu itu muncul, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri menyifatkan Namewee sebagai seorang pendukung kuat 1 Malaysia dan seorang yang unik dan tidak konvensional dalam pemikiran dan kaedah menyampaikan ideanya.

PPSMI: PAGE serah memo, harap PM dengar suara mereka

THE MALAYSIAN INSIDER


Noor Azimah Abdul Rahim menunjukkan salinan memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri hari ini. — Foto oleh Choo Choy May
PUTRAJAYA — Pertubuhan bukan kerajaan PAGE menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini pagi ini agar beliau mendengar suara mereka dalam isu berkaitan dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata pihaknya berharap Najib akan mendengar suara mereka berhubung isu tersebut.

“Perdana Menteri berkata beliau mendengar (suara) rakyat. Jadi saya berharap beliau akan mendengar kami,” kata Noor Azimah selepas menyerahkan memorandum di pejabat Perdana Menteri.

Empat menang kes cabar AUKU dan UKM, mahkamah putus canggah Perlembagaan

TERKINI

KUALA LUMPUR — Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang melarang penuntut universiti menyertai politik bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan — keputusan yang dilihat bersejarah dalam undang-undang melibatkan pentadbiran dan pengurusan institusi pengajian tinggi negara ini.

Mahkamah membuat keputusan 2-1 dalam permohonan yang dibawa oleh empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencabar peruntukan 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Permohonan itu dikemukakan awal tahun lalu selepas mereka dikenakan tindakan oleh UKM kerana berada di Hulu Selangor ketika pilihan raya kecil kerusi itu April 2010.

Keempat-empat pelajar itu sudah pun menawatkan pengajian mereka dan menerima ijazah pada majlis konvensyen September lalu.

Keputusan 2-1 itu dikurniakan oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert memihak kepada plaintif — kini bertaraf bekas penuntut UKM. Kes rayuan itu turut didengar oleh Datuk Wira Low Hop Bing.

Keempat-empat mereka turut telah dihadapkan di mahkamah UKM kerana disyaki terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor tetapi telah bebas tuduhan awal Ogos 2010.

Mereka berempat, ketika itu pelajar jurusan sains politik, ditahan oleh polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah, Hulu Selangor pada 22 April 2010.

Mereka terdiri daripada Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha sebelum ini mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh UKM bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti, adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Justeru mereka mencabar seksyen itu yang didakwa bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Keempat-empat mereka diwakili oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar, Ashok Kandiah dan Hariss Ibrahim.

Sementara itu, pihak defendan terdiri daripada kerajaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Woon berkata Mahkamah Rayuan membuat keputusan 2-1 yang memihak kepada permohonan difailkan mereka tahun lalu dan memutuskan tindakan melarang pelajar menyertai politik bercanggah dengan Artikel 10 Perlembagaan.

“Ini satu keputusan yang bersejarah, keputusan tanda aras dalam sejarah... ia melibatkan perjuangan pelajar dan kepentingan publik,” kata beliau sambil menambah pihaknya memutuskan untuk tidak menerima ganjaran kos yang diputuskan oleh mahkamah hari ini.

“Mahkamah ada meminta kami jumlah kos yang ingin dituntut. Tetapi kami memutuskan untuk tidak mengambil ganjaran kos ini sebab kes ini melibatkan kepentingan orang ramai, kami tidak mahu ganjaran. Kami hanya mahu kepentingan orang ramai khususnya pelajar dipelihara,” kata Woon lagi.

Dalam pada itu, Hilman berkata keputusan hakim adalah sejarah kerana kali pertama perjuangan mahasiswa diiktiraf oleh mahkamah.

“Hakim mengulas bahawa generasi muda harus diberi peluang membuat pilihan dan keputusan sendiri dan ini adalah keyakinan saya sekian lama kerana generasi muda harus belajar membuat pilihan dan keputusan sendiri sebelum membuat keputusan untuk negara dan bangsa sebagai pimpinan negara pada masa depan,” katanya.

PRU13: Seriuskah PAS, Pakatan pindah maklumat?

Hamba Allah, Terengganu.

Saya sentiasa mengikuti persediaan yang dilakukan oleh parti-parti politik dalam menghadapi PRU13 akan datang. Saya melihat dari ruang lingkup sebagai orang awam yang tidak terlibat dengan politik secara langsung. Apa yang saya perhatikan PAS dan PAKATAN banyak belajar daripada pengalaman-pengalaman lepas tentang persediaan menarik pengundi dan penyokong. Pendekatan yang dijalankan kini nampaknya bersifat lebih global.

Jika dahulu PAS banyak menggunakan pentas-pentas ceramah dalam menarik pengundi di samping memberi penerangan. Ketika ini, nampaknya PAS dan pemikirnya dilihat lebih agresif dengan memperkasakan medium altenatif seperti akhbar sedia ada dan teknologi internet. Langkah memperkasakan unit IT dengan kerjasama blogger dan web master lain bagi membantu PAS menghadapi PRU akan datang merupakan satu langkah yang bijak. Program-program menyantuni pakar-pakar IT ini, akan memberi kelebihan kepada pihak PAS dan PAKATAN.

Walaupun PAS saya lihat begitu agresif memperkasa media baru ini, perlu juga kita melihat kepada realiti dan ruang lingkup masa kini. Usaha yang dijalankan memang baik cuma kumpulan sasarannya perlu lebih tepat.

Media alternatif seperti internet tentunya menyasarkan golongan yang terdedah kepada media jenis ini berkemungkinan golongan bijak pandai moden. Peratusan golongan luar Bandar yang terdedah dengan media jenis ini adalah terhad, lebih tepat lagi orang-orang kampung di luar Bandar.

Jika kita melihat keputusan PRU yang lepas, PAS dan PAKATAN banyak menyapu kerusi-kerusi di kawasan bandar berbanding di luar bandar kecuali di negeri-negeri yang dimenangi PAKATAN.

Jika dilihat pada keputusan pilihanraya Sarawak yang lepas juga, banyak kerusi-kerusi DUN di kawasan bandar dimenangi PAKATAN. Manakala kerusi di luar Bandar banyak yang dikuasai Umno-BN.

Apakah petunjuk dari keputusan ini, saya berpendapat faktor utama yang mempengaruhi keputusan PAKATAN di luar Bandar adalah disebabkan kekontangan maklumat. Maklumat penting, tidak sampai atau jika sampai pun ia lambat untuk dibuat susulan. Memang tidak dinafikan faktor keluasan mukabumi mempengaruhi situasi ini. Pihak lawan yang mempunyai akses media yang meluas mempunyai kelebihan untuk bercakap tanpa timbal balik dari pihak PAKATAN.

Sudah tiba masanya PAS dan PAKATAN menyasarkan kumpulan sasaran celik IT sebagai transit untuk pemindahan maklumat kepada kumpulan di luar Bandar. Kita mungkin tidak membuat penyelidikan yang mendalam mengenai hubungan antara akhbar Harakah dan KeAdilan contohnya yang terjual jika dibandingkan dengan nisbah pendudukan luar bandar. Tidak keterlaluan jika dikatakan ada pendokong-pendokong parti yang masih tidak memahami kandungan buku jingga contohnya. Adakah kita pasti, kandungan edaran penting ini juga diketahui oleh penduduk di luar Bandar yang mempunyai ekses yang sangat terhad dan dikawal?

Dari penelitian saya, banyak isu yang penting boleh ditimbulkan di dalam PRU kali ini. Kita mungkin tidak begitu bimbang dengan kumpulan “Hardcore” parti samada PAKATAN atau BN kerana peratusan perubahan mereka sangat kecil kecuali timbulnya isu-isu besar yang boleh menggugat. Perubahan besar kerap berlaku terhadap kumpulan-kumpulan atas pagar yang kerap melakukan “twist” pada setiap kali pilihanraya.

Bagi memperkasakan lagi memindahan maklumat kepada kumpulan-kumpulan “Hardcore” BN yang seakan-akan katak di bawah tempurung ini, perlunya satu mekanisme dirangka oleh pemikir-pemikir parti bagi mencari pendekatan yang sesuai dan segera. Kita telah berjaya sekiranya maklumat yang patut dipindah berjaya sampai kepada kumpulan sasaran ini. Proses perubahan itu kita serah kepada Allah yang Maha Berkuasa.

BN Sabah gagal selesakan hidup rakyat

Mohd Firdaus

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Hishammudin Sulaiman berkata, kerajaan BN negeri pimpinan Datuk Seri Musa Aman sekarang tidak membawa apa-apa perubahan yang signifikan kepada rakyat sejak BN menguasai negeri ini.

“Sudah sampai masanya Umno BN mengangkat bendera putih,” kata Hishammudin dalam Sidang Media selepas perasmian Majlis Konvokesyen Pasti Kawasan Kota Kinabalu di Dewan Saadah, Wisma MUIS di sini pagi tadi.

“Kerajaan Sabah dilihat begitu banyak kepincangan dan ketirisan sama ada sektor pentadbiran atau pengurusan. Tidak banyak pembangunan yang dibuat berlandaskan kepada keselesaan rakyat,” tambah Hishammudin lagi.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Pensiangan ini mendakwa kebanyakan janji-janji yang ditaburkan Umno BN kepada rakyat hanyalah seperti menanam tebu di bibir.

“Kita sudah ada negeri contoh seperti Kelantan dan Kedah. Negeri Kelantan sudah diperintah hampir 25 tahun oleh PAS, sudah banyak contoh yang boleh diambil untuk ditiru oleh negeri-negeri yang Umno BN perintah,” ujarnya.

Hishammudin berkata, kepimpinan PAS Sabah sudah mula menggerakkan jentera kawasan sebagai langkah awal mendendang paluan gendang untuk menanti pilihanraya.

“Kita juga telah melancarkan jentera pilihanraya setiap kawasan di Sabah. Itu persediaan awal yang kita buat,” katanya.

Selain itu, Hishammudin juga berkata PAS Sabah akan memberi saingan sengit kepada Umno BN dan tidak akan membiarkan Umno BN berada dalam keadaan selesa setiap masa.

Ketika ditanya mengenai hubungan antara Pakatan Rakyat Sabah, Hishammudin mengatakan bahawa hubungan yang dijalinkan bersama DAP dan PKR sangat baik.

“PAS menyeru kepada semua rakyat, PAS akan menjadi mata, telinga, tangan, lidah dan kepala rakyat untuk mengangkat kehidupan rakyat ke arah kesejahteraan dan keluar dari kepompong kezaliman,” jelasnya.

Bekerja seperti pilihan raya minggu ini

Nazri Abdullah


GOMBAK: Ijtimak Tarbawi 2011, Deawan Pemuda PAS Pusat yang berakhir petang tadi melabuhkan tirainya dengan satu komitmen untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya.

Bercakap selepas menyampaikan ucapan penutup petang tadi, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan berkata, anggota dewan itu hari ini pulang dengan semangat berkobar-kobar untuk berkerja seperti 'pilihan raya minggu ini'.

"Apa yang kita dapat dari ijtimak ini akan diteruskan bila balik ke kawasan masing-masing.

"Jentera pemuda akan fokuskan gerak kerja pilihan raya seolah-olah pilihan raya akan dilaksanakan minggu ini. Kita kena 'all out'," katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, kira-kira 6,000 peserta dari seluruh negeri hadir ke ijtimak kali ini.

Mereka berkampung di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad selama tiga hari sejak Jumaat lalu dengan pelbagai pengisian tarbiah diatur penganjur.

Selain pemimpin utama PAS, peserta juga didedahkan dengan pengalaman jemaah Islam luar negara seperti oleh wakil Hamas dari Palestin dan wakil Ikhwanul Muslimin dari Mesir.

Menyifatkan ianya sebagai mencapai sasaran, Nasruddin berkata ianya akan dijadikan acara tahunan dewan itu.

"Ijtimak ini adalah untuk membentuk pelapis di kalangan pemuda yang utuh prinsip perjuangan Islamnya.

"Kita anggarkan cecah 6,000 yang hadir kali ini sekaligus mencatat sejarah paling ramai berbanding tahun lepas," katanya.

Untuk rekod, Ijtimak Tarbawi kali pertama tahun lalu diadakan di Terengganu.

Demokrasi: Bila lagi Malaysia mahu berubah

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat (LPTWPP) yang mana di dalam rangka lawatan kerja ke United Kingdom dan Belanda telah dihidangkan dengan suasana demokrasi dalam erti kata yang sebenar.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, ini apabila melihat sendiri bagaimana satu demokrasi aman berlangsung di hadapan Pejabat Perdana Menteri Britian, David Cameron di Downing Street pada 23 Oktober yang lalu.

Katanya, perhimpunan aman yang menentang kekerasan dan kekejaman Negara China ke atas penduduk Tibet yang kebanyakannya disertai oleh wakil penduduk tempatan Tibet.

Bagaimanapun, ujarnya warga tempatan London yang prihatin dilihat turut menyertai perarakan sejauh 3 kilometer sebelum mereka berkumpul di seberang jalan menghadap pejabat Perdana Menteri Britian di Downing Street.

Mereka, katanya melaungkan slogan serta kata-kata semangat menggunakan pembesar suara.

Menurutnya lagi, mereka juga mengedarkan risalah berkaitan isu tersebut.

“Pihak polis dilihat mengawal suasana perhimpunan dan rata-rata penunjuk perasaan bertindak mengikut arahan pihak berkuasa. Suasana himpunan berlangsung dalam keadaan aman,” katanya kepada Harakahdaily.

Ini, tambahnya berlainan dengan situasi dengan negara kita di mana pihak berkuasa bertindak kejam dalam menghadapi perhimpunan aman.

Menurutnya, modus operandi mereka dalam menyuraikan himpunan seolah-olah mereka berhadapan dengan musuh yang ‘bersenjata berat’.

Beliau berkata, lihat sahaja bagaimana mereka bertindak di dalam kes himpunan aman Bersih 2.0 yang mana Parlimen juga mengesahkan bahawa kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM2 juta wang rakyat.

“Bukankah ini satu pembaziran sedangkan jikalau Malaysia benar-benar memahami erti demokrasi yang sebenar?” katanya.

Justeru, katanya Malaysia harus belajar daripada negara yang menjadi rujukan mereka dalam membentuk undang-undang yang menjadi ‘kiblat’ mereka sejak merdeka.

Katanya lagi, kalau mengikutkan ‘method’ yang ditunjukkan sebagai mana yang dicontohkan oleh pihak berkuasa UK, sudah pasti dapat menjimatkan kos.

“Barangkali tidak memerlukan kos sama sekali memandangkan berhimpun secara aman ada termaktud di dalam undang-undang,” katanya.

Justeru, pihaknya berharap agar dapat Kerajaan Umno BN mencontohi apa yang berlaku di UK.

“Janganlah jadikan pihak berkuasa ‘perkakas’ peribadi demi kepentingan ‘survival’ politik mereka yang semakin ‘pupus’ dan pihak berkuasa juga harus mencontohi apa yang berlaku supaya pihak berkuasa lebih berintegriti dan dipandang mulia di sisi masyarakat,” ujarnya.

RM1.7 juta: Pemuda PAS tuntut penjelasan JHEINS

Mohd Firdaus


KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menuntut penjelasan penuh daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) berhubung aliran perbelanjaan sejumlah RM1.7 juta yang disalurkan untuk perbelanjaan menaik taraf lima buah sekolah berasrama penuh.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan mendakwa, berdasarkan Laporan Audit 2010 menunjukkan secara jelas adanya berlaku penyelewangan terhadap sejumlah peruntukkan yang diberikan untuk kerja-kerja menaik taraf sekolah berkenaan.

“PAS mendesak agar dibuat penyiasatan rapi termasuk seluruh cabang dan bahagian dalam JHEINS untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan ke atas peruntukan itu.

“Ini institusi agama, bagaimana peruntukan tersebut diproses, ke mana peruntukan diagihkan dan apa kesan terhadap penambahbaikan itu berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas perasmian Majlis Konvokesyen Pasti Kawasan Kota Kinabalu kali ke-21 yang diadakan di Dewan Saadah, Wisma Muis, semalam.

Sebutir peluru atas nama sultan?

Viktor Wong, Malaysia Chronicle


Baru-baru ini pensyarah kanan undang-undang dan perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah menerima sepucuk sampul yang mengandungi sebutir peluru dengan disertakan dengan sekeping nota yang memberikan amaran kepada beliau agar tidak lagi “menderhakai” sultan.

Dr Aziz sebelum ini telah memberikan beberapa pendapat beliau berdasar kepakaran undang-undang dan perlembagaannya mengenai soal-soal kedudukan perlembagaan di dalam sesuatu isu yang dibangkitkan oleh beberapa orang pemimpin politik serta beberapa titah baginda sultan yang berkait dengan kepentingan umum.

Adakah kesemua pendapat beliau ini didapati mengancam kedudukan baginda sultan-sultan dan adakah Dr Aziz menunjukkan sebarang niat untuk mengancam atau menggulingkan sistem raja berpelembagaan di negara kita ini?

Sudah tentunya tidak. Dan jika diteliti dengan lebih mendalam kesemua pendapat dan kenyataan yang diberikan oleh Dr Aziz, kesemuanya adalah berbentuk maklumat yang disampaikan oleh seorang pakar akademik yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang yang sedang diamalkan oleh beliau.

Selain daripada itu, kesemua pendapat dan maklumat yang diberikan oleh Dr Aziz tersebut adalah juga bertujuan mendidik dan memperluaskan pengetahuan umum semata-mata dan ianya langsung tidak mempraktikkan sebarang tujuan politik.

Tidak bermoral nama sultan digunapakai

Adalah tidak bermoral sama sekali jika sekiranya ada pihak-pihak yang tertentu yang sanggup mempergunakan atau memperlekehkan nama sultan-sultan di dalam mencapai tujuan dan agenda politik mereka sewenang-wenangnya.

Setakat ini kita hanya telah mendengar dan melihat sebutir peluru dihantar kepada seseorang atas nama sultan kononnya kerana ingin “mempertahankan” baginda. Sebenarnya perbuatan tersebut hanya akan mencemarkan lagi nama-nama baginda sultan.

Apatah lagi jika sekiranya sebutir bom akan dihantar kepada seseorang mangsa atas nama sultan pada suatu hari nanti. Maka akan terjejaslah lagi nama institusi raja-raja di negara ini.

Kesemua perbuatan ini jelas adalah taktik politik yang tidak bermoral dan bertujuan untuk mencetuskan keganasan.

Raja-raja patut bersuara

Rakyat jelata kian berdukacita apabila tidak ada seorang pun di kalangan institusi raja-raja yang dapat tampil ke hadapan untuk mengutuk perbuatan yang sungguh keji dan tidak bermoral ini.

Oleh kerana perbuatan ini adalah berunsurkan jenayah dan ganas, kenapa tidak seorang pun baginda sultan yang tampil untuk memperbetulkan keadaan yang amat mengelirukan sekarang?

Kenapa hanya seorang putera diraja sahaja yang berani tampil ke hadapan untuk menjelaskan apakah itu hak rakyat, demokrasi, dan perlunya institusi tersebut untuk turut menerima sebarang pendapat membina daripada rakyat jelata?

Kenyataan putera diraja dari Negri Sembilan itu patut diteladani dan disanjungi oleh kerana baginda adalah satu-satunya ahli kerabat diraja yang sanggup keluar daripada ambang konservatif yang kuno dan tidak praktik untuk bersama dengan rakyat jelata untuk mempertahankan perlembagaan dan demokrasi.

Siapa yang menDemokrasikan institusi raja?

Sejak daripada 2008 lagi, kita telah banyak memerhati keadaan politik yang bergolak dan ianya bergolak dan bertambah goyah kerana institusi raja sering diheret masuk ke dalam kancah permasalahan politik dalam negara ini semata-matanya kerana ia perlu digunakan untuk mempertahankan satu parti politik elit yang sedang menghadapi kemerosotan sokongan.

Oleh kerana itulah, parti tersebut sering bersembunyi di belakang institusi raja apabila timbulnya persoalan mengenai kesahihan perlaksanaan atau tindakan parti tersebut dengan mengguna pakai istilah “menderhaka” bagi mengancam mereka-mereka yang tampil menyoal tindakan parti tersebut.

Jadi, adalah perlu kita kembali kepada kejadian asalnya iaitu siapakah yang telah menDemokrasikan institusi raja sebelum ini? Ya, semua pun tahu, bahawa Tun Dr Mahathir Mohamed, mantan perdana menteri pada masa itu yang juga presiden Umno di waktu itu telah menggerakkan usaha yang agresif bagi membendung kelebihan kuasa raja-raja dan menDemokrasikan institusi tersebut bagi membolehkan rakyat jelata memantau segala tindakan dan kegiatan baginda-baginda sultan demi kepentingan umum.

Malah yang meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menambahkan Bab XV bagi membolehkan raja-raja disaman oleh rakyat jika perlu, adalah juga atas hasil usaha Umno dan Tun Dr Mahathir pada masa itu. Ianya berlaku pada Januari 1993 dan sejak dari tahun itulah, istilah “derhaka” itu telahpun hilang taringnya akibat usaha Umno.

Oleh yang demikian, para “pendukung” raja yang fanatik perlu mengingati, memahami dan akur menerima hakikat bahawa demokrasi yang kian subur pada institusi raja pada hari ini adalah hasil daripada usaha gigih Umno dan jika sekiranya ada mana-mana rakyat yang tampil untuk mengkritik atau memantau apa jua perbuatan atau tindakan para baginda sultan, ianya adalah berlandaskan Bab XV Perlembagaan Persekutuan yang telah diperkukuhkan pada Januari 1993.

Fahamilah kemanusiaan yang sejagat

Kepada mereka-mereka yang masih tidak faham atau enggan menerima hakikat yang sebenarnya dengan menghantar peluru (atau berkemungkinan besar bahan letupan di suatu hari nanti), perhatikanlah kesemua kejadian dan permasalahan ini dari sudut kemanusiaan dengan lebih mendalam.

Raja-raja, sultan-sultan ataupun mereka yang bergelar maharaja semuanya adalah insan manusia sama seperti kita semua, yang boleh melakukan kesilapan dan kebaikan. Apabila berlakunya sebarang kesilapan, perlulah wujudnya keinsafan, pemahaman dan kesedaran yang boleh membawanya ke suatu era yang dapat memajukan dirinya lagi.

Jika sekiranya seseorang itu enggan menerima hakikat kesilapan yang dilakukannya itu, maka akan timbul keburukan demi keburukan yang bakal menimpa dirinya ataupun seluruh keluarganya dan jika ianya terjadi kepada sesebuah negara, maka rakyat akan berasa tidak puashati, lantas daripada itu pemberontakan bagi menegakkan keadilan akan tercetus bagi mempertahankan rakyat jelata daripada penindasan tersebut.

Oleh yang demikian, semua insan manusia tidak mengira kedudukan perlu menerima hakikat bahawa hidup di bawah pengasingan dan enggan menerima kritikan serta pendapat yang membina akan memudaratkan lagi keadaan seseorang.

Janganlah mengukir nama sultan di atas peluru lagi!

Ampun Tuanku, berhati terbukalah kepada rakyat jelata! - Malaysia Chronicle

Hudud: Biar Kelantan jadi model

"Jangan kita biarkan orang berfikir bahawa hudud itu semata-mata potong tangan sahaja," kata Aziz Bari.




PETALING JAYA: Kerajaan negeri Kelantan harus membuat persiapan dengan teliti agar pelaksanaan undang-undang hudud di negeri itu boleh dijadikan model kepada negeri-negeri lain di negara ini.

Ketika membuat saranan ini, pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, Kelantan harus membuktikan kepada negeri- negeri lain bahawa undang-undang hudud itu adalah praktikal, adil dan sesuai pada setiap masa dan suasana.

“Biar Kelantan laksanakan hudud dan lihat negeri itu sebagai contoh. Jangan kita biarkan orang berfikir bahawa hudud itu semata-mata potong tangan sahaja,” kata pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu kepada FMT.

Beliau berkata, mereka yang menentang hukum hudud sebenarnya tidak faham. Orang kata kita tidak bersedia (untuk melaksanakan hukum hudud). Tak apa kita buat di Kelantan. Kita akan buktikan kadar jenayah di negeri itu boleh turun, dengan izin Allah.

“Orang kata hukum hudud tidak sesuai. Nak tunggu sampai bila? Sampai kiamat pun tidak boleh laksana. Apa yang didedahkan oleh media Barat tentang hukum hudud, mungkin ada satu dua kes tertentu (isolated cases) yang berlaku.

Menurut beliau, sejarah Islam membuktikan bahawa pelaksanaan hudud itu amat ketat sekali, begitu berhati-hati dan teliti serta sukar sekali hendak dilaksanakan.

“Sebagai contoh, menuduh seseorang berzina harus dibuktikan dengan empat orang saksi yang adil. Adil bermakna seseorang itu tidak pernah melakukan perbuatan keji dan mungkar jauh sekali dari melakukan dosa-dosa besar,” katanya.

Aziz Bari berkata, Nigeria sebuah negara di Afrika Barat harus dijadikan contoh oleh Kelantan untuk melaksanakan hudud kerana negara itu juga mempunyai sistem federalisme yang hampir sama dengan Malaysia.

Lalau beliau menyarankan agar pakar undang-undang syariah dan sivil, para hakim dan mereka yang terlibat secara langsung dengan pelaksanaan di Kelantan supaya sering membuat lawatan ke Nigeria bagi mempelajari pelaksanaan undang-undang hudud di sana.

Beliau memuji kerajaan negara itu yang membenarkan beberapa wilayahnya yang majoriti penduduknya beragama Islam melaksanakan hudud walaupun Presidennya, Jonathan adalah seorang penganut agama Kristian.

Aziz Bari juga memuji Sultan Brunei Sultan Hassana Bolkiah yang yakin dengan keadilan undang-undang Islam dan mahu negara kecil di utara Borneo itu melaksanakan undang-undang hudud dengan secepat mungkin.

Sistem perbankan Islam

Aziz Bari menyingkap pengalamannya di sekitar tahun 1970an di mana cadangan untuk memperkenalkan sistem perbankan Islam di negara ini menimbulkan kegelisahan dan penentangan daripada ramai anggota masyarakat.

“Ramai yang takut ketika kami hendak melaksanakan sistem perbankan Islam. Mereka bimbang sistem ini akan menghancurkan sistem perbankan konvensional tetapi ternyata anggapan mereka meleset dan jauh dari benar.

“Malahan bank-bank tempatan seperti Maybank dan lain-lain berlumba-lumba untuk memperkenalkan sistem perbankan Islam sebagai suatu produk alternatif yang ‘viable’ (berdaya maju).

“Ternyata produk-produk perbankan Islam mendapat sambutan masyarakat, bukan sahaja daripada orang-orang Islam malah orang- orang bukan Islam turut merebut-rebut untuk mengambil peluang dari sistem ini,” katanya.

Beliau berkata, sistem perbankan Islam menjadi pilihan memandangkan ia lebih berdaya maju untuk bertahan terutama ketika ekonomi meleset berbanding sistem perbankan konvensional.

“Sistem perbankan Islam lebih berdaya maju kerana operasinya berdasarkan konsep ‘musyarakah’ dan ‘mudharabah’, yang berpaksikan perkongsian untung rugi berbanding sistem konvensional yang berpaksikan kepada sistem ‘interest’ (faedah),” jelas beliau.

Begitu juga dengan pelaksanaan hudud ini. Ramai di kalangan rakyat yang masih tidak memahami tentang hukum hudud ini. Mereka perlu diberi penerangan dan penjelasan tentang sebarang kekeliruan dan persepsi negatif mengenainya.

“Memanglah media Barat yang dikuasai oleh Yahudi tidak pernah dan tidak akan memberi gambaran yang baik tentang undang-undang Islam malah mereka suka mencemuh dan memberi gambaran buruk bagi menakut-nakutkan orang ramai.

Cuba timbul kekeliruan

Dalam pada itu beliau sempat membidas tindakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin yang cuba menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat bahawa undang-undang hudud yang PAS hendak laksanakan membenarkan suami meliwat isteri.

Zulkifli membuat tuduhan itu dengan merujuk kepada draf dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu.

Seksyen 14 enakmen itu tersebut menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri.

Kata Zulkifli, perkataan “kecuali dengan isteri” itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat. Inilah hudud PAS. Ini bercanggah dengan Islam.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Razali menjelaskan bahawa hukuman jenayah dalam Islam terbahagi kepada tiga iaitu hukuman hudud, qisas dan takzir. Kesalahan jenayah yang tidak termasuk dalam kategori hudud dan qisas dimasukkan dalam kategori takzir.

Katanya, Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai hukuman hudud tetapi hukuman takzir manakala Imam Shafie meletakkannya dalam kategori hukuman hudud.

Menurut peguam PAS, Hanifa Maidin, Seksyen 3 Enakmen tersebut sekali gus menjawab segala kekeliruan yang ditimbulkan oleh Zulkifli, yang juga seorang peguam.

“Seksyen 3 menunjukkan liwat ke atas isteri tetap salah menurut Enakmen yang digubal tetapi ia bukan kesalahan hudud sebaliknya termaktub dalam kesalahan takzir. Hukuman takzir tidak semestinya lebih ringan dari hukuman hudud.

“Adalah malang sekali apabila Zulkifli yang berstatus seorang peguam tidak memahami perundangan Islam lalu membuat penafsiran yang salah dan memberi kefahaman yang negatif kepada masyarakat,” kata Hanifa.

Kaji semula Akta Tentera 1972

Akta ini tidak adil kepada anggota tentera kerana bersifat zalim. Akta ini tidak melibatkan pegawai tertinggi.



KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini menggesa dan mencabar kerajaan untuk meminda dan mengkaji Akta Tentera 1972, yang disifatkan sebagai menzalimi anggota tentera peringkat bawahan.

Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan mendakwa, Kementerian Pertahanan perlu mengkaji serta membuat pindaan terhadap akta tersebut memandangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

“Akta ini tidak adil kepada anggota tentera kerana bersifat zalim. Akta ini tidak melibatkan pegawai tertinggi,” dakwanya kepada Sidang Media selepas Perasmian Majlis Konvokesyen PASTI Kawasan Kota Kinabalu Kali Ke-21 di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS disini pagi tadi.

Beliau menambah, kerajaan perlu melaksanakan undang-undang yang sama rata kepada semua anggota tentera dan tidak tertumpu kepada anggota bawahan sahaja.

Pada 25 Oktober lalu, beliau mendakwa berlakunya penindasan dan penyelewengan terhadap anggota apprentis Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketika diminta mengulas isu berkenaan, beliau mendakwa kerajaan sudah menghabiskan berbilion ringgit disebabkan penyelewengan dan penindasan tersebut. Dakwanya, kerajaan dan TLDM perlu memberi penjelasan lanjut dan bukannya berselindung mencari pelbagai alasan.

“Sekiranya kerajaan dan TLDM telus dan bersungguh-sungguh memperjuangkan hak dan kebajikan anggota tentera, maka PAS mencabar supaya isu ini dijawab dalam masa tujuh hari. Kerajaan tidak perlu khuatir terhadap pendedahan ini,” cabarnya.

Beliau juga meminta agar pihak pengurusan tertinggi TLDM tidak gelabah dan ‘melenting’ kerana penindasan tersebut juga melibatkan kepentingan anggota yang terdiri daripada golongan belia.

“PAS komited kepada golongan belia. PAS sama sekali tidak mempolitikkan isu ini, kerana PAS sudah sedia maklum sebagai parti yang memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat,” jelasnya.

Tambah beliau, walaupun skim berkenaan telah dimansuhkan oleh TLDM dan hampir 200 daripada 1,000 pelatih telah berhenti namun anggota yang berhenti tersebut wajar menerima pampasan dan ganti rugi terhadap penindasan tersebut.

“Mereka ini perlu diberikan pampasan dan ganti rugi. Mereka ini berada di kalangan mereka yang ditindas dan kerajaan yang menindas perlu bertanggungjawab,” ujarnya

Pairin: PATI di Sabah ibarat 'pekung perlu dibedah'


MALAYSIA KINI

Masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah umpama satu 'pekung' dalam badan 1Malaysia yang perlu dibedah, diubati dan dibuang, kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata ini kerana masalah itu masih lagi kekal dalam pemikiran rakyat Sabah walaupun sudah banyak langkah dan tindakan yang dirancang dan dibuat oleh pihak kerajaan termasuk Program 6P di Semenanjung dan 5P di negeri ini.

NONE"Kita mengharapkan program-program ini akan terus dilaksanakan dan berjaya. Ini kerana kita sedia maklum dengan keadaan yang kita terima daripada pentadbir-pentadbir yang lalu.

"Laporan dan tafsiran bahawa jika masalah kehadiran PATI tidak diselesaikan dengan betul, ia mungkin terus menjejaskan keselamatan dan ketenteraman kedaulatan negara dan mengancam keselamatan rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Tahunan PBS yang Ke-26 di Dewan KDCA, di Penampang, semalam.

Persidangan itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Salleh Said Keruak dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata PBS menyokong semua usaha kerajaan selama ini untuk menangani masalah PATI termasuklah penggunaan sistem biometrik.

"Tetapi dengan laporan adanya 'Projek IC' daripada pelbagai sumber, rakyat tempatan masih menunggu maklum balas daripada kerajaan atas permohonan daripada beberapa parti komponen BN, termasuk PBS supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk membuat penyelesaian muktamad ke atas masalah ini," katanya.

Sehubungan itu, PBS meminta supaya penubuhan suruhanjaya itu dapat dilaksanakan pada tahun 2012.

Pairin juga berharap isu-isu lain termasuk peluang pekerjaan, royalti minyak, perkongsian kuasa dan peluang kontraktor dari Sabah diberi perhatian.

Beliau berkata isu-isu itu perlu didengar dan diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada.

Pairin berkata PBS turut menyokong penuh saranan Timbalan Perdana Menteri yang menyeru semua bekerja keras dan sebagai satu pasukan, untuk memastikan kemenangan BN dengan lebih cemerlang pada pilihan raya akan datang.- Bernama

Karpal: Penjenayah bebas di bawah hukum hudud

Susan LoonePengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh menolak cadangan kerajaan negeri Kelantan bahawa undang-undang sivil harus setegas seperti undang-undang hudud .

Karpal, seorang peguam yang berpenfgalaman luas, berkata bahawa ia tanggapan salah untuk mentafsirkan bahawa hukum hudud atau undang-undang yang tegas seperti hukuman mati boleh menghalang seseorang daripada membuat kesalahan.

NONEKatanya, penyokong hukum akan berhujah, tidak seperti undang-undang jenayah, standard pembuktian adalah sangat tinggi bagi kes-kes jenayah.

Walaupun standard pembuktian bagi undang-undang jenayah adalah "tanpa sebarang keraguan yang munasabah", undang-undang hudud adalah berdasarkan "kepastian", katanya.

"Sebagai contoh, empat orang saksi Islam cukup syarat diperlukan untuk membuktikan kes-kes zina mengikut undang-undang hudud. Ini adalah mustahil dan tidak sesuai untuk negara ini," kata Karpal, pada sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam.

"Ia akan menjadi mustahil untuk membuat dakwaan. Penjenayah akan bebas kerana adalah mustahil bagi pihak pendakwa membuktikan kes kerana mememerlukan empat saksi beragama Islam yang cukup syaratnya.

"Malah, akan berlaku lebih banyak jenayah di negara ini apabila penjenayah tahu betapa sukarnya untuk membuktikan kes dan menghukum mereka. Perkara ini perlu dijelaskan kepada semua orang," kata Karpal lagi.

Bayaran RM20,000 untuk cat pintu yang patut diganti


Aidila RazakPelajar di beberapa sekolah agama di Sabah terpaksa tidur berkongsi katil dengan tilam yang koyak dan mandi di pili yang terletak di luar bangunan asrama, walaupun kerajaan negeri memperuntukkan jutaan ringgit untuk kerja-kerja menaiktaraf sekolah berkenaan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010, sejumlah RM1.7 juta dibelanjakan untuk kerja-kerja naiktaraf di lima buah sekolah berasrama penuh. Namun tinjauan mendapati sama ada kerja-kerja yang dilakukan itu tidak memuaskan atau belum dimulakan meskipun bayaran telah dibuat sepenuhnya.

"Kontraktor yang gagal menyiapkan kerja mengikut spesifikasi mestilah disenaraihitamkan dan bayaran tidak sepatutnya dibuat sebelum kerja dilakukan," petik laporan itu.

Laporan audit itu juga mendesak supaya siasatan dan tindakan diambil terhadap mereka yang didapati cuai atau terlibat dalam unsur-unsur rasuah.

Di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Tambunan, RM1.35 juta dibayar sepanjang tempoh 2009 hingga 2010 tetapi tidak ada apa-apa kerja menaik taraf yang pernah dilakukan.

Perkara yang sama berlaku di SMAN Pantai Manis di mana kontraktor yang dilantik secara terus, Milure Solution dibayar antara RM2,000 hingga RM24,000 bagi setiap kerja dilakukan yang bagaimanapun tidak pernah dilakukannya ataupun dibiarkan tanpa siap.

Syarikat Pembinanan Umum Kasariah pula, yang antara lain, dilantik melalui rundingan terus, dibayar RM20,000 untuk semata-mata mengecat semula sebuah pintu lama yang sepatutnya digantikan oleh syarikat berkenaan.

Sejumlah RM15,000 lagi dibayar kepada syarikat yang sama untuk membekalkan besen tangan, tetapi sinki besen itu tidak dapat dikesan.

Di SMAN Menipir, yang merupakan antara satu daripada 13 buah sekolah yang dikunjungi untuk diaudit, pihak audit mendapati kerajaan negeri membayar harga RM6,600, atau 340 peratus lebih tinggi daripada yang sepatutnya bagi membeli 60 kerusi plastik. Malah kerusi yang dibekalkan itu juga bukan daripada jenama yang telah dijanjikan kepada mereka.

Semua 13 sekolah yang dilawati itu juga didapati mempunyai pelbagai masalah. Antaranya menghadapi ancaman tanah runtuh kerana tembok rintangan yang sepatutnya dibina tidak menjadi kenyataan.

Ahad, 30 Oktober 2011

NAJIB TANGGUH PRU PULA!!! Hanya 8 kerusi selamat untuk BN di Kedah

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA


Saya diminta membuat analisis terhadap hasil kajiselidik yang dibuat oleh kumpulan pelajar IPT yang menggelar kumpulan mereka sebagai Istiqlal Center.

Kajiselidik rambang yang dibuat di seluruh negeri Kedah memberi keputusan bahawa Pakatan Rakyat masih mampu mempertahankan kerajaan di negeri ini dengan kedudukan 23-13.

Secara populariti PR masih disokong oleh 48.8 %, BN 39.4% manakala 11.8% tidak membuat keputusan.


Saya menghormati apa saja keputusan kajiselidik yang dibuat oleh mana-mana pihak pun tetapi tidak dapat menerimanya sebagai bayangan keputusan yang bakal dicatatkan dalam pilihanraya nanti.

Pertama, trend terkini peratus golongan yang tidak membuat keputusan dari awal semakin bertambah.

Mereka kebanyakannya terdiri dari golongan muda yang tidak taksub kepada mana-mana parti politik. Kedua, perubahan sikap berlaku sangat pantas mutakhir ini.

Ia macam pergerakan indeks bursa saham. Dalam masa sebulan, keputusan berbeza boleh diperolehi. Ketiga, kajiselidik rambang tidak akan menggambarkan realiti selepas pemilihan calon dibuat.

Semua masih ingat PRU12 di mana BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan tumbang di lima negeri. Sewaktu Pak Lah sebagai PM memilih tarikh pembubaran Parlimen, beliau tentu meneliti pelbagai keputusan dan analisis dari kajiselidik yang dijalankan.

Semua kumpulan penyelidik tersebut tentulah professional. Mustahil Pak Lah akan membubarkan Parlimen jika kajian yang dibuat menunjukkan BN akan kalah teruk.

Maknanya Pak Lah telah membubarkan Parlimen sewaktu pelbagai pentunjuk yang sampai kepadanya menunjukkan bahawa BN akan menang besar ataupun setidak-tidaknya menang 2/3.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sebuah badan penyelidikan professional mendedahkan bahawa perubahan sikap rakyat berlaku dengan ketara 3 hari menjelang hari pembuangan undi. (Peningkatan sokongan untuk PR).



Kajiselidik rambang tidak akan menggambarkan realiti selepas pemilihan calon dibuat kerana sikap pengundi mungkin lebih memihak kepada parti yang didokong sewaktu kajiselidik dibuat.

Misalnya orang PAS akan sokong PAS dan orang UMNO akan sokong BN. Namun apabila calon dikemukakan, sikap mereka boleh berubah selepas itu. Hal ini berlaku dengan ketara dalam UMNO dan akan terus berlaku dalam PRU13 nanti.

Individu yang tidak terpilih bersama kumpulannya akan melakukan sabotaj terhadap calon yang dipilih. Mereka tidak berniat untuk mengkhianati parti sebenarnya.

Apa yang dilakukan ialah mempastikan saingan mereka kalah dan peluang untuk mereka menjadi calon di masa depan masih ada. Jika sekali saingan mereka terpilih jadi YB, maka akan berakar umbilah dia di situ sampai bila-bila.

Dengan mengandaikan keputusan yang diperolehi oleh Istiqlal Center (PR23, BN13) sebagai asas maka saya yakin keputusan berbeza akan diperolehi selepas calon dinamakan nanti.


Pungutan pendapat secara rambang yang dibuat oleh Istiqlal Center BN akan menang di Kuah, Air Hangat, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kota Siputeh, Ayer Hitam, Pedu, Kuala Nerang, Bukit Lada, Sungai Tiang, Belantek, Jeneri dan Bayu.

PR akan menang di Bukit Pinang, Derga, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Kubang Rotan, Alor Mengkudu, Kota Darul Aman, Bakar Bata, Tokai, Sungai Limau, Guar Chempedak, Gurun, Tanjung Dawai, Bukit Selambau, Pantai Merdeka, Bakar Arang, Sidam, Kupang, Kuala Ketil, Lunas, Merbau Pulas, Kulim dan Bandar Baharu.

Pola sokongan menunjukkan PR selesa di kerusi yang terdapat pengundi campuran. Maka tidak pelik kalau Datuk Ahmad Bashah pun dijangka kalah di Bakar Bata yang mempunyai 30 peratus pengundi bukan Melayu.


11.8 peratus pengundi yang tidak berpihak adalah tinggi. Saya yakin majoritinya golongan muda.

Masalah bagi BN ialah kerana orang muda tidak berminat mendapat maklumat dari TV3 dan Utusan Malaysia. Mereka lebih ghairah dengan maklumat dari media kedua atau internet.


Kajiselidik barangkali tidak menemui pengundi pos yang bertambah dengan mendadak dan luarbiasa dalam DUN Tanjung Dawai. Maka apakah Tanjung Dawai masih boleh dimasukkan dalam kelompok kerusi PR? Biarlah diandaikan ia berada dalam kelompok BN.


Bukit Lada dan Ayer Hitam, PRU12 pun adalah kerusi yang dijangka dimenangi BN. Tapi mereka tewas juga. Percayalah siapa pun yang menjadi calon BN di kedua-dua kerusi tersebut akan menghadapi cabaran dari rakan-rakan separti mereka sendiri.

Sebenarnya bagi BN, terdapat dua lagi kerusi yang bakal mengalami nasib yang sama iaitu Kota Siputeh dan Kuala Nerang, yang dimasukkan dalam kelompok BN. Untuk kali ini, insya Allah Bukit Lada dan Ayer Hitam kekal di tangan PAS manakala Kuala Nerang dan Kota Siputeh akan dirampas.


Terdapat dua kerusi di mana BN menang dengan sokongan pengundi Siam iaitu Pedu dan Sungai Tiang pada PRU12. Perkembangan mutakhir menunjukkan pengundi Siam sudah berpaling tadah dari BN.

Undi mereka adalah undi kelompok, ia meletakkan BN terus mengalami kesukaran. Kedua kerusi tersebut juga boleh dimasukkan dalam kelompok PR.


Jika berlaku seperti diandaikan maka PR akan peroleh 28 kerusi manakala BN hanya 8 kerusi. Itu andaian di atas kertas. Realiti mungkin tidak semudah itu.

Apapun, akhirnya saya sangat percaya bahawa keputusan yang bakal ditentukan oleh Allah SWT adalah keputusan yang muktamad. PAS kalah teruk pada 2004 sewaktu ‘menjentik kerongkong’ dengan slogan PAS Tawan Kedah 2004. Sebaliknya menang besar pada 2008 sewaktu berusaha untuk menang dengan banyak, sambil mengharap pertolongan Allah SWT.


Untuk PRU13, InsyaAllah PAS/PR boleh menang lagi besar jika terus menyerah diri dan mengharap pertolongan Allah SWT sambil bekerja lebih gigih.

Jangan angkuh, jangan dabik dada dengan kekuatan kita kononnya yang akan menangkan kita. Kalah atau menang biarlah dengan restu dan redho Allah SWT. Itu dasar aqidah dan keimanan kita.Kedah La