HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Oktober 2011

Pesta Pantai Bisikan Bayu 2011

MSO


KALAU bukan kerana Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta menemuinya di Pasir Puteh, nescaya saya tidak akan tahu bahawa di Pantai Bisikan Bayu Pasir Puteh sedang berlangsung Pesta Pantai Bisikan Bayu 2011.

Nasib baik Tok Guru menyuruh saya ke Pasir Puteh dapatlah saya menyaksikan perasmian pesta berkenaan yang dilakukan oleh Tengku Mahkota Kelantan dengan penuh gilang gemilang.

Petang semalam Tok Guru ke Rantau Panjang merasmikan kilang biji besi di Bukit Kwong dan menyampaikan sumbangan korban Aidi Adha. Saya tidak sempat ke sana hanya menyampaikan salam menerusi Datuk Speaker Nasaruddin Daud dan memaklumkan ingin bertemu 'secara rasmi' dengannya di pejabat keesokannya.


Bagaimana pun kata Nasaruddi Tok Guru agak kesibukan, beliau meminta saya turun ke Pasir Puteh berjumpa di sana, kerana beliau mungkin tidak akan masuk pejabat.

Saya tidak tahu apakah acara di sana? Tidak ada sesiapa memaklumkan dan begitu juga hebahan di dalam akhbar atau blog atau Fb. Tidak ada pula maklumat yang disandarkan di wall Fb saya.

Mungkin saya tidak ternampak mana-mana publisiti yang dibuat. Anihnya juga, selalunya kalau ada program sebesar itu akan terlihatlah pemaklumannya di Fb dan lain-lain medan sosial. Tetapi ternyata acara di Pasir Puteh itu seperti terlindung dan dilindungi?

Molek juga kerana agak lama saya tidak menjejak pantai yang penuh kenangan itu. Segalanya kini sudah berubah. Pohon rhu yang dulunya tumbuh berjajaran sudah tidak ada lagi. Tebing pentai juga sudah menjadi semakin 'pendek' dan kemetot kerana hakisan. Namun atas sifat alamiah pantai dan laut, Pantai Bisikan Bayu masih tetap cantik dan menawan, desir ombaknya tetap menyeru bayangan kasih yang entah ke mana menghilang. Ewah....

Semasa remaja dulu, akhir tahun 70-an saya dan kawan-kawan dalam pesatuan Penulis Pasir Puteh (Puspa) kerap berpuisi dan bermandah di pantai berkenaan. Kami akan melewatinya hampir setiap bulan kalau pun tidak dua kali seminggu. Teman-teman yang dulu gila mahu menjadi pendeklamator puisi akan berlatih di situ melaungkan suara menjerit kepada laut semahu mungkin.

Manakal yang gila berteater akan melakukan meditasi di pantai itu untuk mengenali diri dan belajar menghayati watak. Mereka juga kini sudah entah ke mana, mungkin sudah ada banyak yang kembali ke alam abadi. Al Fatihah untuk mereka.

Kira bertuah jugalah saya ke pantai itu semalam. Selain dapat menyaksikan suasana pantai yang sudah banyak berubah, dan persekitaran yang dijenguk pembangunan... sempat menyaksikan pesta pantai yang diadakan di situ.

Paling bererti juga kerana buat pertama kali dapat melihat majlis yang disempurnakan perasmiannya oleh Tengku Mahkota Kelantan yang baru, Tengku Muhammad Fa'iz Sultan Ismail Petra.

Pesta itu memang hebat, lengkap dengan pamiran oleh beberapa buah agensi kerajaan serta gerai jualan barangan keperluan pakaian dan makanan. Apabila seorang rakan memberi tahu pesta itu bertaraf internasional, saya tidak percaya dan benar-benar mengejutkan saya dan hampir tidak mempercayainya. Kerana apa kerana tidak ada publisiti meluas mengenai pesta berkenaan. Apakah ianya boleh dikategorikan antarabangsa kalau publisitinya setakat Bachok, Pasir Puteh saja.

"Internasional?" tanya saya kepada kawan yang juga lama tidak jumpa. Dia kebetulan ahli Majlis Daerah Pasir Puteh pihak yang menjadi tuan rumah dan diberikan tanggungjawab mengelolakan pesta berkenaan.

Sebagai sebuah pesta bertaraf dunia tidak sepatut ianya dibuat tanpa publisiti yang besar dan hebat. Mungkin ini melibatkan masalah kewangan maka ia tidak boleh memperhebatkan siarayanya. Tetapi kalau semua pihak bersatu masalah kewangan dapat diatasi. Bukankah hari ini kebanyakan wakil rakayt atau pendokong parti memiliki laman sosial yang boleh dimanfaatkan.

Kalau ada laman sosial tetapi setakat hendak bercerita fasal makanan sedap ataupun di kalangan wakil rakyat pula setakat mengeposkan gambar mereka melawat orang sakit, atau gambar berdempet dengan Tok Guru cara itu tidak begitu efektif dan membangun minda.

Sepatutnya bila ada acara begitu semua pendokong parti dan juga laman sosial yang menyokong mana-mana individu bergabung tenaga menghebahkan perkara itu. Lebih malang lagi sejak akhir-akhir ini ada laman sosial atau 'grup bual' menggunakan laman itu untuk memburuk dan menghentam sesama sendiri.

Dalam pada itu kerajaan negeri juga sepatut menyediakan peruntukan secukupnya untuk mengajurkan sebuah pesta bertaraf dunia sebegitu. Kalau kita tidak mempunyai kewangan yang cukup majlis-majlis yang kononnya bertaraf antarabangsa begitu usahlah diadakan.

Seorang kakitangan Majlis Daerah Pasir Puteh bila diajukan perkara itu, memberi opolegetik, katanya pesta itu dirancang dalam masa terhad. "Mulanya ia tidak terfikir untuk dijadikan pesta antarabangasa.... dibuat saat-saat akhir. InsyaAllah tahun depan kita perkemaskan lagi," katanya sambil menyembunyikan rasa malu. Rupanya pesta seumpama itu dibuat pada setiap tahun dan ia merupakan pesta tahunan.

Jawaban sebegitu sepatutnya tidak perlu timbul lagi. Apa lagi dalam konteks kerajaan Kelantan yang sudah 20 tahun memerintah Kelantan. Tidak perlu lagi ada alasan-alasan masa singkat, wang tidak cukup dan sebagainya. Alasan itu tidak akan mudah diterima kerana kerajaan Pas Kelantan sudah berusia 20 tahun lebih dari tahap matang.

Sebelum membuat sesuatu juga patut diukur kepada badan sendiri. Kalau kita merasakan tidak mampu buatlah sekadar - di kalangan anak beranak saja dan jangan dinamakan pesta antarabangsa. Tidak ada nama hebat kalau pencapaiannya kelas kampung.

Perhatian di sini perlu diberikan semua pihak, khususnya Exco Kerajaan Tempatan, Takiyuddin Hassan yang bertanggungjawab ke atas kerajaan tempatan. Rasanya masalah kewangan tidak menjadi halangan kalau semua pihak bersatu dan tidak diserahkan kepada satu pihak saja. Usaha kerajaan tempatan itu akan berjaya kalau ada sokongan dan bantuan semua pihak.

Saya yakin kalau pesta itu diuruskan secara teratur, dibuat publitisi yang meluas dan mendapat kerjasama semua pihak ia akan lebih berjaya. Dengan kunjungan orang ramai pada hari pertama itu dianggarkan melebihi 5,000 ia memberi kesan yang baik. Kalaulah pesta itu dibuat secara tersusun tentu jumlahnya akan melebihi dari angka berkenaan. Tidak mustahil juga pesta itu akan dimasukan dalam kelender pelancungan negara maupun hatta dunia.

Ada beberapa aspek yang pada saya pesta itu perlu diperkemaskan lagi. Selain ia dimasukan dalam kelender pelancungan negeri, tapak pesta itu juga hendaklah disusun dan diatur dengan kemas, menggambarkan profesional sebuah kerajaan tempatan. Mungkin keadaan yang bercelaru atau pun ala santai begitu sudah tidak sesuai. Ahli majlis daearah sepatutnya menggunakan pengalaman yang mereka timba semasa mengadakan lawatan di luar negara. Khabarnya hampir semua majlis daerah mengadakan lawatan sambil belajar ke luar negeri pada setiap tahun.

Seeloklah apa-apa pembaharuan dan idea baru yang tercetus dari hasil lawatan itu dimanfaatkan untuk membangunkan keadaan setempat. Janganlah lawatan itu sekadar dibuat kerana untuk bertanding di antara satu sama lain atau pun untuk menghabiskan wang kerajaan saja. Lebih malang lagi kalau lawatan itu hanya berjaya membawa balik cenderamata berupa kain baju atau t shirt berlambangkan bandaraya yan dikunjungi itu untuk isteri-isteri dan anak-anak.

(Disebut isteri-isteri sebab hampir 80% wakil rakyat Kelantan kahwin lebih dari satu dan sudah ada yang melangkah ke angka tiga?)

Masa atau tempoh pesta itu hanya tiga hari juga perlu diperpanjangkan kepada seminggu. Begitu juga musim hendak diadakan perlu dilihat kepada keadaan masa. Saat laut bergelora hujan turun pesta sebegitu tidak berapa kondusif.

Kesimpulan Pesta Pantai Bisikan Baru 2011 itu dari sudut politik ia berjaya memberi pertunjuk bahawa kerajaan pimpinan Tok Guru Nik Aziz masih mendapat kepercayaan rakyat dan para teknokratnya (pegawai kerajaan) juga mampu berfikir setanding dengan teknokrat pusat.

Diperingkat kepimpinan kerajaan dan politik di Pasir Puteh saya nampak semua wakil rakyat hadir kecuali Dr Nik Mazian Nik Mohamad Adun Gaal.

Tiada ulasan: