KUALA LUMPUR − Kerajaan Kelantan yang terus meletakkan harapan mahu mencapai hasrat dua dekad melaksanakan hukum hudud mahu bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan perkara tersebut sebaik sahaja segala pendekatan berkaitan selesai diadakan.
Kelmarin, pentadbiran Nik Aziz mengumumkan pembentukan jawatankuasa teknikal berhubung pelaksanaan hukum hudud.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata pihaknya sudah pun menghantar surat kepada Najib berhubung cadangan mengadakan pertemuan dengan kerajaan persekutuan.
“Kita sebenarnya sudah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri bagi menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk bertemu beliau membincangkan tentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
“Tetapi sebelum kita bertemu dengan beliau, kita perlu dapatkan keputusan Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah II, barulah perkara tersebut kita dapat bentangkan dengan lebih baik,” katanya dipetik Harakahdaily.
Mohd Amar berkata pertemuan rasmi dengan Najib belum ada lagi dan ia akan dilakukan apabila semuanya sudah sedia.
“Manakala untuk jawatankuasa teknikal kita tidak meletakkan tempoh masa kerana kita tahu dalam usaha untuk kita melaksanakan hukum hudud ini kita memerlukan tempoh masa bukannya dalam keadaan tekanan.
“Selesai semuanya kita akan bertemu dengan Perdana Menteri dan nyatakan hasrat kita, apa jua persoalan yang timbul kita akan jawab dengan sebaik mungkin, kalau boleh biarlah Kelantan ini melaksanakan hudud serta menjadi contoh kepada negeri-negeri lain,” jelasnya.
Bulan lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh mengadakan pertemuan dengan Najib jika masih berhasrat meneruskan usaha melaksanakan hukum hudud.
Dalam satu surat kepada Nik Aziz pada 1994, Dr Mahathir menolak rancangan Kelantan atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kelantan terus mendakwa hukum hudud gagal dilaksanakan ekoran pendirian dan sekatan kerajaan pusat.
Polemik bermusim ini muncul semula akhir bulan lalu dengan wujud pelbagai pandangan iaitu Kelantan boleh melaksanakannya dan pada masa yang sama ia juga bercanggah dengan undang-undang pusat.
Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan memberitahu, jika terlalu susah untuk pemimpin di atas meluluskan pelaksanaan hudud, secara yang mudah ialah mengubah sahaja kerajaan yang ada sekarang pada pilihan raya yang akan datang.
Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah II telah ditubuhkan secara rasmi kelmarin yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan mempunyai 19 ahli jawatankuasa dari pelbagai latar belakang termasuk agensi penguat kuasa negara.
Mohd Amar juga memberitahu sebenarnya Kelantan sudah bersedia dari peringkat asas dalam perlaksanaan hudud yang mana rotan dan juga pegawai yang ditugaskan untuk melaksanakan hukuman sebat juga telah disediakan.
“Rotan untuk hukuman sebatan kita telah simpan di Penjara Pengkalan Chepa, begitu juga dengan pegawai yang ingin melaksanakan hukuman tersebut juga telah ada, asas kepada hukuman telah ada hanya tunggu pelaksanaan.
“Kita tidak mahu perkara yang sama berulang pada kes yang lepas di mana mahkamah telah memutuskan hukuman sebat tetapi tidak ada rotan, siapa yang akan lakukan dan juga di mana ia ingin dilakukan. Keadaan ini amat memalukan kita, jadi secara dasar Kelantan sudah bersedia sepenuhnya,” kata beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan